David De Gea antara `sisa’
pembelian dari era Sir Alex Ferguson yang masih tinggal. Pada 2011, kelab
membayar £18.9 juta kepada Atletico Madrid bagi mendapatkan khidmat De Gea
sebagai pengganti Edwin Van der Sar yang mengumumkan persaraannya selepas
legenda Belanda itu melakukan 266 penampilan selama enam musim di Old Trafford.
Selepas sembilan tahun mengawal gawang United, De Gea sudah melakukan 306
penampilan dalam saingan Liga Perdana. Dari jumlah itu, beliau berjaya
memastikan gawang United tidak bolos dalam 109 perlawanan, melakukan 851 aksi
penyelamatan, meraih 169 kemenangan dan 65 kekalahan.
Meskipun De Gea agak goyah di
peringkat awal keberadaan beliau selaku penjaga gol utama United, namun secara
perlahan-lahan warga Sepanyol ini mula membuktikan bahawa Fergie sudah memilih
sosok yang tepat sebagai pengganti Van der Sar. Selain berjaya membantu United
menjulang trofi Liga Perdana pada musim terakhir Fergie sebagai pengendali, De
Gea juga berjaya memenangi beberapa anugerah individu menerusi ketangkasan
beliau ketika mengawal gawang United. Pada musim 2017/18 beliau berjaya
memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 18 kali dan melakukan 115 aksi
penyelamatan lantas menyaksikan beliau memenangi anugerah Golden Gloves.
Mula Goyah
Bagaimanapun sejak kebelakangan
ini, aksi De Gea mula menjadi sorotan ramai pihak. Bukan kerana tindakan
refleks beliau dalam menyelamatkan pintu gol United, tetapi kerana beberapa
siri kesilapan yang dilakukannya hingga menyaksikan lawan begitu mudah
menewaskannya. Terbaru, De Gea menerima kecaman teruk dari Roy Keane selepas
kegagalannya menepis rembatan Steven Bergwijn ketika United berdepan Tottenham
Hotspurs pada 20 Jun lalu. Menurut Keano, aksi seperti itu tidak sepatutnya
dipamerkan oleh seorang penjaga gol bertaraf antarabangsa. Tidak cukup dengan
itu, Keano juga melabel De Gea sebagai penjaga gol yang `overrated’.
Sejak dari era beliau sebagai
pemain, Keano memang seorang yang cukup vokal. Jadi tidak hairanlah mengapa
Fergie pernah mengatakan bahawa Keano boleh `membunuh’ rakan sepasukan hanya
dengan kata-katanya. Mungkin kritikan Keano kepada De Gea juga agak keras
kerana sepanjang sembilan musim beliau mengambilalih posisi Van der Sar, `Dave
Save’ sudah menunjukkan kualiti beliau sebagai penerus legasi kepada
penjaga-penjaga gol handalan United sebelumnya seperti Harry Gregg, Alex
Stepney, Gary Bailey, Peter Schmeichel, Fabien Barthez dan Van der Sar.
Jika tidak bagus masakan De Gea
diberikan pengiktirafan apabila pernah tersenarai sebanyak lima kali dalam PFA
Team of the Year, empat kali dinamakan sebagai pemain terbaik kelab dan
pernah masuk dalam senarai FIFPro World 11. Namun itu cerita dahulu
kerana menurut Keano, De Gea kini bukanlah lagi penjaga gol yang boleh United
harapkan. Untuk mengkritik De Gea secara melulu juga bukanlah satu tindakan
yang adil terutamanya jika hanya berdasarkan gol yang beliau lepaskan ketika
berdepan Spurs tempohari.
Gol itu tidak akan berlaku jika
Harry Maguire dan Victor Lindelof dapat menghalang larian yang dilakukan Bergwijn
lebih awal sebelum beliau melepaskan rembatan. Perlu juga diperhatikan faktor
bahawa rembatan yang dilakukan pemain antarabangsa Belanda itu sangat deras
yang memungkinkan mana-mana penjaga gol terbaik Liga Perdana pun boleh
tertewas. Dalam beberapa musim terakhir De Gea antara pemain United yang boleh
diharapkan, tetapi benarkah sekarang beliau bukan lagi pemain yang sama
sepertimana ketika beliau dinamakan sebagai pemenang anugerah Golden Gloves
dua tahun lalu?
Tekanan Penyokong Sepanyol
Selepas kejohanan Piala Dunia
2018, prestasi De Gea memang agak menurun setidak-tidak jika anda mengambil
kira catatan clean sheet yang dilakukannya dalam tempoh dua musim
terakhir. Musim lalu beliau cuma mampu mengelakkan gawang United dari dibolosi
sebanyak tujuh kali berbanding 18 pada musim sebelumnya. Musim ini catatan
tersebut lebih baik berbanding musim lalu apabila sehingga aksi ke-31 United
dalam saingan liga, De Gea sudah melakukan catatan sembilan clean sheet.
Meskipun begitu tiga blunder yang beliau lakukan ketika United berdepan
Crystal Palace, Everton dan Watford adalah jumlah yang agak membimbangkan jika
mengambilkira status De Gea.
Penurunan prestasi De Gea sudah
berlanjutan selama setahun, jadi memang wajarlah jika terdapat
penyokong-penyokong United yang mula bimbang setiap kali melihat aksi beliau di
atas padang. Adakah layanan yang diterimanya dari penyokong-penyokong Sepanyol
terutamanya selepas kejohanan Piala Dunia 2018 mempengaruhi prestasi De Gea?
Mungkin juga ada kebenarannya kerana jumlah gol yang masuk ke gawang United
dalam tempoh dua musim terakhir agak membimbangkan. Pada musim 2017/18, De Gea
cuma bolos sebanyak 28 kali, tetapi jumlah tersebut meningkat hampir sekali
ganda pada musim 2018/19 apabila beliau dibolosi lawan sebanyak 54 kali.
Musim ini pula, dari 31 aksi
liga yang sudah diharungi United, De Gea sudah dibolosi sebanyak 31 kali. Angka
ini mungkin boleh meningkat memandangkan United masih perlu mengharungi tujuh
lagi aksi sebelum saingan liga berakhir. Selain itu menurut catatan Opta, De
Gea sudah melakukan tujuh kesilapan yang mengakibatkan pintu golnya dibolosi
lawan sejak awal musim lalu. Statistik ini meletakkan beliau `setaraf’ dengan
Martin Dubravka dan Bernd Leno di tangga teratas. Melihat kepada segala catatan
tersebut, adakah wajar Solskjaer menamatkan tempoh pinjaman Dean Henderson di
Bramall Lane dan memanggil penjaga gol muda itu pulang semula ke Old Trafford?
Tiba Masa Untuk Berubah?
Selepas menimba pengalaman
sejak 2018 di Bramall Lane, prestasi Henderson sebagai prospek penjaga gol masa
depan United dan skuad kebangsaan mula meningkat naik. Aksinya bersama
Sheffield United musim ini menyaksikan penjaga gol berusia 23 tahun itu melakar
11 clean sheet dari 29 penampilan. Meletakkan semula Henderson ke dalam
skuad utama antara dilema yang perlu dihadapi Solskjaer jika beliau berhasrat
menamatkan tempoh pinjaman penjaga gol muda itu bersama skuad The Blades
yang bakal berakhir pada bulan ini (Jun).
Melihat kepada prestasi
Henderson di gawang Sheffield United, beliau sebenarnya sudah layak untuk
memikul beban sebagai penjaga gol utama United. Bagaimanapun persoalan paling
besar ialah sejauh mana Solskjaer memiliki `kekuatan’ untuk meletakkan nama De
Gea dalam senarai pemain simpanan dan memberikan peluang buat Henderson
mengambilalih peranan sebagai penjaga gol utama United. Bagaimanapun secara
peribadi saya berpendapat Henderson wajar dibiarkan bermain semusim lagi di
Bramall Lane kerana penting untuk prestasi beliau terus berkembang dan memiliki
minit permainan yang lebih banyak.
Di Old Trafford, tiada jaminan
untuk Henderson bermain setiap minggu kerana meskipun prestasi De Gea dikatakan
sudah merosot namun setidak-tidaknya Solskjaer tetap berkeyakinan bahawa warga
Sepanyol itu masih antara penjaga gol terbaik dunia. Menentukan kedudukan
Henderson dalam hirarki penjaga gol United memang bukannya mudah kerana
Solskjaer turut memiliki `pengawal gawang’ yang berkualiti dalam diri Sergio
Romero. Pada usia yang masih muda, Henderson perlukan minit permainan yang
lebih banyak sebelum mampu meletakkan dirinya sebagai penjaga gol kelas dunia
suatu hari nanti.
Penutup
Pada 22 Februari 2018, United
berjaya menewaskan Arsenal (3-1) dalam aksi liga yang dilangsungkan di Stadium
Emirates. Usah tertipu dengan keputusan akhir perlawanan di scoreboard
kerana kecuali jumlah gol, Arsenal sebenarnya kesebelasan yang jauh lebih
dominan sepanjang tempoh 90 minit permainan. Statistik perlawanan menunjukkan
Arsenal menguasai 75% penguasaan bola dan melepaskan 33 percubaan (15 on
target) ke arah gawang lawan (berbanding 8 percubaan oleh United). Anda
mungkin tertanya-tanya, mengapa dari 15 percubaan on target yang
dilepaskan Arsenal, mereka cuma mampu menghasilkan satu gol sahaja?
Tiada persoalan yang terlalu
besar dalam perlawanan ini kerana jawapan sebenar kejayaan United menakluk
Arsenal di Stadium Emirates ialah ada dalam diri David De Gea. “Ia adalah
sebuah misteri mengapa Arsenal gagal menjaringkan banyak gol. Tetapi sangat
jelas bahawa David De Gea adalah pemain terbaik dalam perlawanan ini”, komen
Arsene Wenger selaku pundit dalam perlawanan itu. Sejak statistik perlawanan
mula dirakamkan di Liga Perdana, De Gea muncul penjaga gol ketiga yang berjaya
melakukan 14 penyelamatan dalam satu perlawanan selepas Tim Krul dan Vito
Mannone.
Di Stadium Emirates ketika itu,
De Gea muncul penyelamat kepada taktik `parkir bas’ yang diterapkan Jose
Mourinho. Sejak dari awal lagi, taktik Mourinho memang mudah dibaca, iaitu
beliau mengarahkan agar pemain-pemainnya menghukum lawan menerusi skema
permainan serangan balas pantas. Apatah lagi Mourinho juga sedar bahawa Arsenal
sering berdepan masalah bila menghadapi lawan yang mengamalkan pendekatan
permainan seperti itu. Taktik Mourinho berhasil apabila dua gol pantas di awal
permainan berjaya dijaringkan menerusi Antonio Valencia dan Jesse Lingard.
Penyokong-penyokong Arsenal
mungkin boleh mengatakan bahawa United cuma bernasib baik menang perlawanan
itu, tetapi di pihak De Gea pula, 14 aksi penyelamatan yang dilakukan beliau
bukanlah sekadar faktor nasib semata-mata. United bermain sesuai dengan apa
yang Mourinho perlukan iaitu bertahan dan melakukan serangan balas pantas.
Akhirnya meskipun Arsenal tampil lebih dominan, United pula pulang ke Old
Trafford dengan tiga mata penuh sambil dibantu aksi-aksi penyelamatan kelas
dunia dari De Gea.
Suatu hari nanti De Gea akan
berundur juga bagi membolehkan Dean Henderson atau sesiapa sahaja mengambilalih
posisinya, tetapi saya percaya ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Selama
bertahun-tahun De Gea sudah membuktikan kepada kita mengapa Sir Alex Ferguson memilih
dirinya berbanding Manuel Neuer sebagai pengganti Edwin Van der Sar. Cuma apa
yang perlu beliau lakukan sekarang ialah berusaha untuk kembali ke prestasi
terbaiknya kerana dalam diri De Gea saya masih melihat kualiti seorang penjaga
gol kelas dunia. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan