Selepas tamat aksi pusingan
ketiga Piala FA menentang Everton pada 6 Januari lalu, Ian Wright menyifatkan
bahawa Marcus Rashford sudah menemui semula sentuhan terbaik dalam permainannya.
Menurut legenda Arsenal itu, Erik Ten Hag memainkan peranan besar kepada
peningkatan prestasi Rashford. Manakala Roy Keane yang kebiasaannya begitu
kritis dalam setiap komentarnya pula melabelkan ini adalah malam terindah buat
pemain itu. Apa tidaknya kerana pada perlawanan itu, Rashford terlibat dengan
ketiga-tiga gol yang yang dihasilkan United ke gawang Everton.
Rashford mencipta `assist’ yang
disempurnakan Antony untuk gol pertama perlawanan. Gol kedua jaringan sendiri
dari Conor Coady terhasil menerusi gerakan yang dilakukan beliau dari sisi
kanan pertahanan lawan. Dan akhirnya Rashford melengkapkan malam gemilang
beliau menerusi gol ketiga United dari sepakan penalti yang disempurnakannya di
penghujung perlawanan. Sebaik sahaja saingan domestik bersambung usai tamatnya
kejohanan Piala Dunia di Qatar, prestasi Rashford benar-benar mengagumkan kita.
Dari 15 penampilan terakhir
dalam semua peringkat kejohanan, Rashford menjaringkan 13 gol, mencipta empat
bantuan gol dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan sebanyak empat kali.
Enam hari sebelum aksi menentang Everton, Rashford membantu United meraih tiga
mata penuh di Stadium Molineux walaupun beliau tidak diturunkan dalam
kesebelasan utama gara-gara isu disiplin. Pada usia yang sudah menjangkau 25
tahun, tindak balas beliau selepas `digantung’ selama 45 minit ketika berdepan
Wolves oleh Ten Hag menunjukkan kematangan Rashford sebagai pemain.
Semangat Baru
Bumi Qatar seolah-olah
memberikan nafas baharu kepada Rashford, apa tidaknya kerana selepas
berakhirnya tugasan beliau bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia, naluri
penyudah Rashford tampak seperti sukar dibendung. Gol yang dijaringkan beliau
ke gawang Leeds United kelmarin, menyaksikan Rashford berjaya meledak tiga gol
berturut-turut dalam saingan liga. Malah beliau juga muncul pemain pertama
United sejak 2012 yang berjaya menjaringkan gol dalam tujuh penampilan
berturut-turut di Old Trafford.
Selepas pemergian Cristiano
Ronaldo pada November tahun lalu, timbul persoalan adakah barisan hadapan
United mampu `hidup’ tanpa sentuhan mega bintang Portugal itu. Bagaimanapun
segala kebimbangan dan persoalan dijawab Rashford menerusi gol demi gol yang
dijaringkannya, satu isyarat jelas bahawa United boleh bergantung kepada beliau
dalam survival mereka untuk menamatkan saingan liga musim ini di posisi kelompok
empat teratas. Secara keseluruhannya setakat ini, Rashford sudah meledak 21 gol
hanya dari 34 penampilan dalam semua kejohanan.
Faktor Kebangkitan
Sejak melakukan penampilan
pertamanya untuk skuad utama United, Rashford sudah bermain di kesemua posisi
di barisan hadapan. `Eksperimen’ yang dilakukan oleh pengurus-pengurus United
sebelumnya antara faktor yang melambatkan perkembangan Rashford. Beliau tidak
memiliki naluri pembunuh yang bagus untuk berperanan sebagai penyerang tengah,
tetapi beliau memiliki kepantasan untuk `membunuh’ bek sisi lawan menerusi
kawalan bola dan larian-larian pantasnya sama ada dari sisi kiri mahupun kanan.
Kehadiran Erik Ten Hag antara
faktor utama kebangkitan semula Rashford selaku peledak berbisa United. Ironinya
sepanjang musim lalu, Rashford cuma mampu meledak lima gol dari keseluruhan 32
penampilan beliau untuk United dalam semua kejohanan. Di era Ten Hag, Rashford
lebih selesa bergerak di sebelah sisi (kiri), posisi yang memang kita tahu
menjadi kegemaran beliau. Menurut catatan Fbref, peratus gol dari situasi permainan
terbuka Rashford meningkat ke angka 91% berbanding ketika beliau berperanan
sebagai penyerang tengah (78%).
Penutup
Apa yang dapat anda lihat musim
ini ialah Rashford secara konsisten berjaya melepaskan percubaan ke arah gawang
lawan. Dari 0.29 percubaan per perlawanan musim lalu, catatan beliau meningkat
kepada angka 0.47 musim ini. Secara puratanya beliau juga melepaskan 2.06
percubaan dari jarak 15 meter manakala indeks `expected goal’ (xG) beliau
meningkat dari 0.23 musim lalu kepada 0.37. 21 gol yang diledak beliau setakat
ini menyaksikan Rashford berjaya melepasi angka 20 gol semusim buat kali ketiga
sepanjang kariernya di Old Trafford.
Dengan baki saingan musim ini
yang masih panjang, tiada masalah untuk Rashford melepasi rekod 22 jaringan
semusim yang dilakukannya empat tahun lalu. Rashford sudah melepasi angka 100
gol dalam kariernya di Old Trafford, malah 30 gol semusim bukanlah sesuatu yang
mustahil untuk digapai. Di kaki beliau, kita mahu melihat gol-gol terus
terhasil dan dikaki beliau juga terletaknya harapan dan impian bahawa musim ini
United bakal meraih trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan