09 Februari 2023

PROSES DAN PROGRES SEPANJANG ENAM BULAN TEN HAGI DI OLD TRAFFORD

 


Sudah bermusim-musim Manchester United berdepan kecelaruan. Mereka bukan lagi kesebelasan yang digeruni, pelaburan besar menerusi pembelian beberapa pemain ternama tetapi akhirnya gagal, kemarau trofi sejak kali terakhir barisan kendalian Jose Mourinho memenangi kejuaraan Piala Liga dan Liga Europa (selain Perisai Komuniti) pada musim 2016/17, serta prestasi tidak konsisten bak `roller coaster’ saban musim yang mengorbankan jawatan David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali di Old Trafford.

 

Ralf Rangnick, individu yang dilabel Pep Guardiola sebagai `bapa gegenpressing’ juga gagal menyelamatkan United dari kemunduran selepas beliau dilantik selaku pengurus interim menggantikan posisi Solskjaer pada baki saingan musim lalu. Pada April tahun lalu, teka teki dan saga siapa yang bakal menduduki kerusi panas di Old Trafford akhirnya terjawab apabila United mengumumkan Erik Ten Hag sebagai pengurus baharu mereka. Pemilihan Ten Hag memang sudah diduga meskipun kelab turut dikaitkan dengan minat mereka terhadap Mauricio Pochettino.

 

Antara Pochettino Dan Ten Hag

 

Berbanding Mauricio Pochettino, United memilih Ten Hag atas beberapa sebab. Menurut John Murtough yang juga merupakan pengarah bolasepak United, pemilihan Ten Hag dibuat kerana kelab tertarik dengan falsafah bolasepak dan komitmen tinggi beliau terhadap bakat-bakat muda. “Selama empat tahun di Ajax, Erik membuktikan bahawa beliau antara pengurus paling berjaya dan mengujakan di Eropah. Dia sangat dikenali dengan gaya bolasepak menarik dan menyerang serta komitmennya terhadap bakat muda”, kata Murtough.

 

Di Eredivisie, Ten Hag berjaya mengangkat semula martabat Ajax selaku gergasi bolasepak Belanda, tetapi cabaran yang menanti beliau di England sebenarnya lebih sukar dan mencabar. United sudah lama `tidur lena’ tanpa ada tanda-tanda kemampuan untuk bangkit semula pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Bagi mereka yang faham tentang maksud sebuah perjuangan, kejayaan tidak datang dalam sekelip mata. `Fergie’ pernah melaluinya malah beliau hampir saja dipecat, dan United di era Ten Hag juga bakal melalui proses yang sama.

 

Proses Adaptasi

 

Pada awalnya para pemain tampak agak goyah dalam usaha mereka beradaptasi dengan gaya dan falsafah bolasepak yang dibawa Ten Hag. Apa yang berlaku di awal musim ialah United tewas dua perlawanan pembukaan liga berturut-turut kepada Brighton dan kemudiannya Brentford. Ketika itu sudah timbul pertanyaan di kalangan penyokong, adakah kehadiran Ten Hag satu lagi bentuk `jenaka’ yang dibawa pengurusan United ke Old Trafford. Bagaimanapun United bangkit dan menang pada perlawanan ketiga liga mereka.

 

Kemenangan ke atas Liverpool di gelanggang sendiri itu sebenarnya sangat penting kepada survival karier Ten Hag di Old Trafford dan melonjakkan kembali moral pasukan. Apa yang berlaku selepas itu ialah United menang tiga perlawanan liga berturut-turut (menewaskan Southampton, Leicester City dan Arsenal). Sejak kekalahan besar kepada Manchester City pada Oktober tahun lalu, United juga sudah mengharungi 25 aksi dalam semua kejohanan. Sepanjang tempoh empat bulan itu juga (dari Oktober 2022 hingga Februari 2023), hanya Aston Villa dan Arsenal sahaja yang berjaya menewaskan mereka.

 

Apa yang berlaku ketika ini atau lebih tepatnya enam bulan selepas Ten Hag menguruskan pasukan? United kini berada di tangga ketiga liga, mara ke pusingan kelima Piala FA, bakal berdepan Barcelona untuk satu slot ke pusingan 16 pasukan Liga Europa dan cuma selangkah untuk menamatkan kemarau enam tahun tanpa sebarang trofi menerusi kejayaan mereka mara ke final kejuaraan Piala Liga. Pencapaian ini tentunya tidak pernah anda bayangkan ketika melihat United tewas perlawanan pertama liga mereka kepada Brighton sebelum dibelasah Brentford pada perlawanan kedua.

 

Ketika artikel ini ditulis, United sudah mengharungi 35 perlawanan dalam semua kejohanan di era kendalian Ten Hag. Peratus kemenangan yang berjaya dirakam pula mencapai angka 73%, dan dalam 16 perlawanan United berjaya memastikan pintu gol mereka tidak dibolosi. Apa yang lebih menariknya ialah, sejak kemenangan ke atas Omonia Nicosia dalam saingan Liga Europa, United sudah mengharungi 16 perlawanan di Old Trafford tanpa tewas, catatan yang sebenarnya cuma mampu dilakukan barisan `The Red Devils’ ketika era Fergie.

 

Penutup

 

United kini satu-satunya kelab Inggeris yang masih bersaing dalam empat kejohanan utama (Liga Perdana, Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa), malah terdapat potensi besar untuk mereka menamatkan saingan musim ini dengan sekurang-kurangnya satu kejuaraan menerusi kejayaan mara ke pentas final Piala Liga. Enam bulan selepas kedatangan Ten Hag, United kini bernyawa semula, mereka mula memberikan cabaran kepada seteru domestik yang lain, lebih konsisten, tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan dan bermain bolasepak yang atraktif.

 

Ambisi utamanya ketika beliau menjejakkan kakinya di Old Trafford buat pertama kali ialah menamatkan dominasi Jurgen Klopp dan Pep Guardiola. Itu satu keinginan yang cukup besar dari Ten Hag, dan untuk melakukannya ia perlukan usaha yang besar kerana Manchester City dan Liverpool sudah berada jauh di hadapan dalam tempoh beberapa musim terakhir. Berikan masa untuk Ten Hag, berikan juga sokongan penuh kepada beliau. Sementara itu biarkan proses terus berjalan kerana progresnya akan dapat anda lihat selepas itu. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan