Melangkah ke Wembley tetap satu
momen yang istimewa buat mana-mana pemain, apatah lagi beraksi di pentas
`final’ demi merebut sebuah trofi. Berada di podium sambil menjulang trofi
kejuaraan boleh dianggap kemuncak kepada pencapaian bagi sesetengah pemain,
kerana tidak ramai yang bernasib baik dan berpeluang berada di sana. Awal pagi
Isnin nanti, lapangan hijau di Wembley akan menjadi medan pertempuran antara
Manchester United dan Newcastle United yang menawarkan Piala Liga sebagai
ganjaran kepada si pemenang.
Ini adalah final pertama
kejohanan domestik untuk United dalam tempoh empat musim, sejak kali terakhir
skuad Jose Mourinho tewas kepada Chelsea dalam penampilan mereka di pentas
akhir Piala FA pada 2018. Dan Mourinho jugalah pengurus terakhir United yang
berjaya membawa trofi Piala Liga ini ke Old Trafford. Ketika eranya sebagai
pengurus United, Mourinho sentiasa memandang tinggi kejohanan ini. Ketika
kebanyakkan kelab besar Inggeris menggunakan kejohanan Piala Liga sebagai medan
pendedahan kepada pemain muda, Mourinho pula memilih sebaliknya.
Anda boleh katakan apa sahaja
tentang kejohanan Piala Liga. Sama ada ia kejohanan kelas ketiga atau `Piala
Mickey Mouse’, tetapi Piala Liga tetap ada di tempat yang sangat istimewa di
hati Mourinho. Kerana trofi inilah kejuaraan pertama yang beliau menangi sejak
memulakan kariernya di England pada 2004. Kejayaan membantu United menjulang
kejuaraan ini pada 2017, meletakkan Mourinho sebagai pengurus ketiga selepas
Brian Clough dan Sir Alex Ferguson yang berjaya memenangi kejuaraan ini
sebanyak empat kali.
Ketika ramai pihak yang
bersikap agak sinikal dengan prestij Piala Liga, pentas `final’ kali ini
menjadi misi yang sangat penting buat United, kerana aksi di Wembley nanti
bakal menjadi penentu adakah mereka mampu menamatkan kemarau enam tahun tanpa
kejuaraan atau tidak. Meskipun United juga masih bersaing dalam merebut tiga
lagi kejuaraan (Liga Europa, Liga Perdana dan Piala FA), peluang memenangi
`piala kecil’ ini tidak harus dilepaskan. Bagi Erik Ten Hag, memenangi Piala
Liga akan menjadi langkah permulaan kepada revolusi beliau di Old Trafford.
Menentang Barcelona dalam
perlawanan `play-off’ Liga Europa merupakan momen penting Ten Hag sebagai
pengurus, tetapi menurut beliau final Piala Liga nanti adalah aksi penting dan
besar dalam kariernya. “Dua pasukan besar dan hebat bertemu di Old Trafford.
Itu menjadi momen yang besar dan suasananya sungguh hebat. Bagaimanapun saya tidak
yang suka melihat ke belakang. Hari minggu ini, ada perlawanan besar yang perlu
kami hadapi. Ini bukan tentang pujian tetapi memenangi trofi. Dan pada hari
minggu ini, kami berpeluang memenangi trofi” kata Ten Hag.
Newcastle United bakal menjadi
halangan terakhir yang perlu dilepasi United jika mereka mahu berarak ke podium
kejuaraan di Wembley nanti. Sebelum memburu kesuksesan yang lebih besar, United
perlu memenangi `piala kecil’ ini terlebih dahulu, dan peluang ini tidak harus
dilepaskan. United kesebelasan yang jauh berbeza berbanding musim lalu yang penuh
dengan kecelaruan. Bagi Ten Hag, melangkaui `ekspektasi’ dengan memenangi empat
kejuaraan bukan lagi satu gurauan jika anda melihat progres yang beliau bawa ke
dalam kelab.
Lima musim tanpa sebarang
kejuaraan satu penantian yang cukup panjang buat kelab besar seperti United. Dan
selepas kegagalan memenangi sebarang trofi di era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer,
Ten Hag di bawa ke Old Trafford bagi mematikan segala stigma yang menganggap
United sebagai `kelab besar tanpa kejuaraan’. Kini `piala kecil’ ini menjadi
sasaran pertama United yang mesti mereka menangi di era Ten Hag. Percayalah,
selepas itu kesan domino akan berlaku, dan `piala besar’ akan dibawa pula ke
Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan