22 Februari 2023

MALAM PENENTUAN

 


Bukan tugas mudah menentang Barcelona, apatah lagi beraksi di hadapan 90 ribu penyokong mereka di Camp Nou. Bagaimanapun Manchester United melaksanakan tugas mereka dengan baik apabila berjaya mengikat Barca (2-2) pada perlawanan pertama pusingan `play-off’ Liga Europa di gelanggang lawan, sekaligus menamatkan rentetan 11 kemenangan berturut-turut Barca dalam semua peringkat kejohanan. Semua orang bercakap tentang perlawanan ini, meskipun ia cuma membabitkan pertembungan dua kelab di kejohanan `kelas dua’ Eropah.

 

Anda tidak boleh membandingkan gemerlapnya saingan Liga Juara-Juara dengan Liga Europa, tetapi pertembungan di Camp Nou pada 17 Februari lalu secara keseluruhannya menepati kehendak dan harapan penyokong kedua-dua pasukan. Meskipun ini bukanlah pertembungan yang boleh dilabel sebagai epik, secara keseluruhan, aksi pertama di Camp Nou berlangsung dengan sangat menarik dan seimbang. Barca menguasai 61% dalam aspek penguasaan bola, tetapi United masih mampu melepaskan 18 percubaan sepanjang tempoh permainan.

 

Lega

 

Penyokong United tentunya kelompok yang paling gembira selepas pertarungan di Camp Nou itu selesai. Keputusan seri itu bukan sahaja memberikan United kelebihan bila beraksi di Old Trafford nanti, tetapi juga satu petunjuk jelas bahawa United di era Erik Ten Hag kesebelasan yang semakin sukar dikalahkan. Sejak aksi peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara musim 1998/99, ini merupakan kali pertama dalam tempoh 25 tahun United berjaya membolosi pintu gol Barca sebanyak dua kali ketika mereka beraksi di Camp Nou.

 

Apa yang berlaku selepas gol pembukaan perlawanan dari Marcos Alonso di minit ke 50 itu? Gol itu sepatutnya meningkatkan keyakinan Barca, malah mereka sepatutnya lebih menggila untuk memburu lebih banyak gol sebagai bekalan sebelum bertandang ke Old Trafford. Ketika ramai pihak yang percaya bahawa United akan sekali lagi ditenggelami asakan Barca selepas gol Alonso terhasil, barisan Ten Hag sebaliknya cuma perlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan. Dan tujuh minit selepas itu mereka `mematikan’ Camp Nou seketika menerusi gol kedua.  

 

Susahnya Nak Hentikan Rashy

 

Marcus Rashford adalah bintang pada malam itu meskipun Raphinha dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan. Tiada keraguan untuk mengatakan bahawa musim ini adalah musim terbaik Rashford. Sejak berakhirnya kempen Piala Dunia di Qatar, cuma tiga kali beliau gagal menjaringkan gol dari 17 penampilan. 45 minit pertama di Camp Nou, Rashford agak tenggelam, tetapi di babak kedua ketika beliau diberikan ruang dan umpanan, bermulalah ancaman Rashford kepada benteng pertahanan Barca.

 

Gol pertama yang dijaringkan beliau dan gol kedua yang terhasil menerusi gerakannya adalah tipikal sebenar permainan Rashford. Sebelum perlawanan, Xavi Hernandez sedar akan bahaya yang mampu diberikan Rashford terutamanya menerusi gerakan-gerakan dari sisi kiri. Atas sebab itulah beliau memberikan peranan khusus kepada Ronald Araujo bagi meneutralkan ancaman pemain berusia 25 tahun itu. Idea yang sama digunakan Xavi ketika Araujo `menjinakkan’ Vinicious Junior pada aksi final Supercopa bulan lalu.

 

Penampilan Berbeza

 

United di Camp Nou adalah skuad dengan penampilan jauh berbeza, setidak-tidaknya jika anda membandingkan prestasi mereka sepanjang musim lalu, kerana mereka kini bukanlah kesebelasan yang mudah tenggelam bila diasak. David De Gea kekal `pemegang kunci’ pintu gol United yang boleh dipercayai menerusi beberapa penyelamatan hebat yang dilakukannya sepanjang perlawanan. Wout Weghorst meskipun statusnya cumalah sebagai pemain pinjaman tetapi beraksi seperti tiada lagi hari esok untuknya.

 

Fred pula seolah-olah ingin memberitahu kepada para pengkritiknya, “Berikan saya rakan gandingan yang tepat, kemudian anda akan lihat Fred dalam versi yang berbeza”. `Assist’ yang diciptanya untuk gol pertama jaringan Rashford adalah jawapan tepat mengapa amarah penyokong United terhadap beliau boleh bertukar kepada cinta dalam hanya sekelip mata. Casemiro tetaplah Casemiro, `si penyerap asakan’ yang sentiasa kekal tenang dalam tekanan, type pemain yang membuatkan rakan-rakan sepasukan berasa lebih selamat ketika beliau bermain.

 

Di bahagian tengah anda tidak boleh tercicir nama Bruno Fernandes dalam setiap perlawanan, apatah lagi aksi penting seperti ini. Visi permainan dan hantaran-hantaran tepat dari beliau yang sering memecah benteng pertahanan lawan antara elemen yang menjadikan United kesebelasan lebih baik sejak kehadirannya tiga tahun lalu. Dan akhir sekali, United tidak akan mampu keluar dari Camp Nou dengan keputusan seri jika tidak kerana disipinnya barisan pertahanan mereka menyerap setiap asakan lawan meskipun turun tanpa Lisandro Martinez.

 

Penutup

 

Aroma emosi akibat persaingan sengit antara kedua-dua kelab adakalanya menyaksikan pertembungan antara United dan Barca ini sedikit unik. Meskipun tidaklah hingga melangkaui euforia dan `suhu’ pertembungan `Roses Derby’, `Manchester Derby’ atau `North-West Derby’ dalam saingan domestik, persaingan antara United dan Barca tetap punya keunikan dan tarikan tersendiri di pentas Eropah. Sejak kali pertama kedua-dua kelab bertemu, Barca lebih dominan menerusi enam kemenangan yang dilakar mereka, selain lima keputusan seri dan tiga kekalahan.

 

United bertarung di Camp Nou dengan penuh keberanian, dan mereka meninggalkan gelanggang keramat gergasi Catalan itu dengan rasa hormat dari lawan. Melihat penampilan United pada perlawanan pertama, Xavi sedar aksi di Old Trafford nanti bukan kerja mudah untuk Barca, meskipun kali terakhir mereka tewas di sini ialah pada 2008. Bagi United, ini adalah masa terbaik untuk mereka menyingkirkan Barca, dan menjadikan trofi Liga Europa satu lagi kejuaraan yang realistik untuk mereka menangi musim ini. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan