Cuma berbaki lima hari sahaja
sebelum bursa perpindahan pemain musim panas ditutup. Setakat ini Manchester
United sudah menandatangani tiga pemain baharu, jadi anda boleh simpulkan
bahawa `maneuver’ kelab dalam bursa perpindahan kali ini berjalan dengan lancar
dan teratur. Meskipun Mason Mount, Andre Onana dan Rasmus Hojlund, berjaya ditandatangani,
masih timbul khabar angin tentang kemungkinan United membawa masuk seorang lagi
pemain baharu sebelum detik tengah malam pada 1 September nanti.
Kecederaan yang dialami Luke Shaw
menyebabkan United kini berdepan krisis di posisi bek kiri mereka. Pada awalnya
Erik Ten Hag memang tidak memerlukan tambahan bek kiri baharu, memandangkan
beliau sudah memiliki tiga pemain di posisi tersebut (Shaw, Tyrell Malacia dan
Brandon Williams). Bagaimanapun Malacia masih tersisih akibat kecederaan, manakala
Williams pula menyertai Ipswich Town dengan status sebagai pemain pinjaman.
Jadi apa yang perlu dilakukan Ten Hag ialah penyelesaian jangka pendek bagi
mengatasi krisis tersebut.
Bek Kiri Baharu?
Pada aksi menentang Nottingham
Forest tempohari, Diogo Dalot digunakan Ten Hag untuk beroperasi di sisi kiri
pertahanan United. Tetapi perlu diingat, bahawa Dalot bukanlah bek kiri tulen kerana
posisi utama pemain Portugal itu adalah sebagai bek kanan. Dalam perlawanan itu
juga, Ten Hag menyenaraikan Alvaro Fernandez dalam skuad utama, tetapi pada
usia yang baru menjangkau 20 tahun, pemain muda itu bukanlah pilihan yang ideal
untuk memikul beban berat sebagai pengganti Shaw. Jadi membawa masuk bek kiri
baharu adalah pilihan yang perlu Ten Hag pertimbangkan.
Setakat ini ada dua nama yang
disebut-sebut sebagai calon bek kiri paling realistik untuk kelab tandatangani.
Mereka ialah Sergio Reguillon dan Marc Cucurella. Sepertimana yang anda tahu,
Reguillon dan Cucurella hilang tempat dalam kesebelasan utama Spurs dan
Chelsea. Reguillon mengharungi musim lalu sebagai pemain pinjaman di Atletico
Madrid dan cuma tersenarai dua kali dalam kesebelasan utama skuad kendalian Diego
Simeone itu dari sebelas penampilan. Jadi sukar untuk mendapatkan gambaran
jelas tentang kualiti sebenar bekas pemain Real Madrid itu.
Meskipun tiba di Stamford
Bridge dengan status sebagai bek kiri termahal dunia, Cucurella gagal beradaptasi
dengan persekitaran baharu dan gaya bolasepak yang dimainkan Chelsea. Musim
lalu, beliau cuma melakukan 24 penampilan untuk Chelsea dalam saingan liga,
manakala musim ini selepas tiga aksi berlangsung, bekas tonggak Brighton itu
masih gagal menambat hati Mauricio Pochettino. Jadi dalam situasi sekarang,
sebarang kemungkinan untuk berpindah dan menikmati minit permainan yang lebih
banyak adalah peluang yang perlu dipertimbangkan Cucurella.
Perbandingan
Situasi terkini yang dialami
Reguillon sebenarnya sangat kontras berbanding musim pertama beliau di kota
London. Dalam skuad Jose Mounrinho ketika itu, Reguillon merupakan pemain
penting dalam kesebelasan utama Spurs menerusi 25 penampilan yang dilakukannya
dalam saingan liga bagi musim 2021/22. Dari jumlah tersebut, beliau disenaraikan
dalam kesebelasan utama sebanyak 22 kali, menjaringkan dua gol dan mencipta
tiga bantuan gol. Begitu juga dengan Cucurella pada musim yang sama ketika
beliau masih beraksi untuk Brighton.
Sebagai bek kiri, kualiti
bertahan antara aspek penting yang perlu ada dalam permainan mereka. Dalam hal
ini, statistik mencatatkan bahawa Cucurella melakukan lebih banyak `defensive
actions’ berbanding Reguillon. Semasa kempen musim 2021/22 Brighton, beliau
melakukan purata 1.28 `tackle’, 1.22 `block’ dan 1.46 `intercept’ per
perlawanan berbanding Reguillon (1.03, 0.94 dan 0.87). Sebagai seorang
pengendali yang sangat dikenali kerana falsafah penguasaan bolanya, Ten Hag mahukan
seorang bek kiri yang sangat piawai dalam melakukan hantaran.
Jadi adakah kualiti ini
dimiliki Cucurella dan Reguillon? Dalam aspek ini, Cucurella dan Reguillon
memiliki kualiti tersendiri. Dalam skema permainan penguasaan bola Brighton
yang diterapkan Graham Potter ketika itu, Cucurella melakukan purata 55.1 hantaran
per perlawanan berbanding Reguillon (35.2), dengan peratus ketepatan hantaran
yang dilakukannya ialah sebanyak 80.2%. Bagi Reguillon, statistik peratus
ketepatan hantaran yang dilakukannya pula ialah sebanyak 75.5%. Bagaimanapun di
zon `final third’ catatan Reguillon lebih impresif berbanding Cucurella.
Reguillon mencatatkan purata 0.14
bantuan gol, 1.36 `key passes’ dan 0.99 hantaran silang ke petak penalti lawan
per perlawanan berbanding Cucurella (0.03, 1.22 dan 0.50). Statistik ini
menyaksikan mengapa Reguillon muncul bek kiri yang lebih unggul berbanding
Cucurella dalam menghasilkan gol sepanjang penampilan beliau bersama Spurs. Apabila
membandingkan kedua-dua mereka, Cucurella nampaknya lebih unggul dalam aspek
bertahan manakala Reguillon pula bek kiri yang lebih aktif dalam situasi
ofensif.
Penutup
12 bulan terakhir merupakan
satu tempoh yang sangat sukar buat Cucurella dan Reguillon. Jadi potensi untuk
beraksi bersama United adalah peluang yang tidak harus dilepaskan demi
menyelamatkan semula karier mereka. Ten Hag dalam situasi terdesak kerana ketiadaan
Shaw dan Malacia dalam jangka masa lama merupakan krisis yang perlu beliau
atasi.
Cucurella dan Reguillon mungkin
bukanlah bek kiri yang ideal jika prestasi mereka dalam tempoh 12 bulan terakhir
diambilkira. Tetapi bukanlah satu dosa besar untuk Ten Hag melakukan perjudian
ke atas dua pemain ini. Adakah United akan melakukan satu lagi `maneuver’ sebelum
bursa perpindahan musim panas ditutup? Glory Glory Manchester United!!!