Beliau antara pemain yang
sering dijadikan sasaran kritikan setiap kali Manchester United bermain di
bawah par. Keberadaan Fred dengan jersi merah United adalah jenaka, sering
dilabel sebagai titik lemah, tidak layak bermain untuk United malah ada yang
menyarankan agar kelab mendapatkan pemain baharu bagi menggantikan tempat
beliau. Di Old Trafford, kritikan seolah-olah sudah sebati dalam diri Fred,
lantas memadam segala harapan tinggi yang diletakkan ke atas dirinya ketika
beliau tiba di sini lima tahun lalu.
Bersama Shakhtar Donetsk, Fred
adalah tipikal pemain tengah `box to box’ moden, pemain penting yang mampu menjayakan
skema taktikal Mircea Lucescu atau Paulo Fonseca dengan sangat berkesan. Di
Donetsk, Fred diberikan kebebasan untuk mara dari kawasan sendiri hingga jauh
ke zon pertahanan lawan. Tugas hakiki Fred ketika itu bukan sekadar melakukan
sedikit kerja-kerja kotor ketika bertahan, tetapi juga mencipta peluang kepada
rakan di barisan hadapan atau melakukan percubaan terus ke gawang lawan.
Jose Mourinho secara terbuka
pernah mengatakan bahawa sepanjang dua musim setengah karier pengurusannya di
Old Trafford, beliau sering diberikan `pemain yang tidak dimahukannya’ oleh
pihak pengurusan kelab. Untuk itu, terdapat rumour yang mengatakan bahawa Fred
antara pemain yang dimaksudkan Mourinho. Jadi tidak hairanlah mengapa dalam
tempoh empat bulan terakhir karier pengurusan Mourinho bersama United, beliau
hanya menyenaraikan Fred sebanyak tiga kali sahaja dalam kesebelasan utamanya.
Nafas Baru
Kedatangan Ole Gunnar Solskjaer
sedikit sebanyak mengubah nasib Fred. Corak permainan `direct football’ yang
diterapkan Solskjaer menuntut agar Fred tidak mengawal bola terlalu lama. Di
era Solskjaer, beliau menggunakan Fred sebagai `breaker’ untuk memutuskan
rantaian gerakan yang dilakukan lawan di bahagian tengah. Jika ada peluang
barulah Fred akan naik ke atas untuk membantu aliran bola dalam situasi
`offensive’. Dalam skema `direct football’ Solskjaer, arahan beliau jelas…iaitu
Fred tidak boleh mengawal bola terlalu lama.
Dalam satu wawancara bersama
`Coaches Voices’, Solskjaer mengatakan bahawa beliau cuma membenarkan Fred
menyentuh bola sebanyak sekali atau dua kali sahaja, dan selepas itu hantaran
perlu segera dilakukan. Pendekatan ini dilakukan beliau bagi melindungi Fred
dari `pressing’ yang dilakukan lawan, selain mempercepatkan transisi permainan dari
bertahan ke menyerang. Berbanding ketika beliau bersama Dontesk, Fred ketika
era Solskjaer lebih banyak digunakan untuk melakukan kerja-kerja bertahan.
Untuk itu, Fred melaksanakan peranan beliau dengan cukup baik.
Dari 29 penampilan beliau di
Liga Perdana pada musim 2019/20, Fred mencatatkan purata 2.7 `tackle’ sukses,
1.5 `intercept’, dan 1.3 `clearance’ per perlawanan. Selain daripada itu, Fred
juga mencatatkan 75 kali `ball recoveries’ sepanjang musim tersebut, sekaligus
muncul pemain kedua United paling banyak melakukannya selepas Harry Maguire (77
kali). Siapa boleh melupakan penampilan Fred dalam aksi menentang Liverpool di
Anfield pada 20 Januari 2020. Meskipun United tewas (0-2) dalam perlawanan itu,
Fred muncul pemain paling menonjol di atas padang.
Dalam kerja-kerja `defensive’,
Fred memenangi lapan dari 15 `duel’ yang dilakukannya, melakukan empat
`intercept’, dua `block’, 13 `ball recoveries’ serta sukses melakukan tiga
`tackle’. Manakala dalam situasi
`offensive’ pula, Fred melakukan 96 sentuhan bola, 59 hantaran tepat, tiga
`dribble’ dan satu percubaan tepat. Tatkala Nemanja Matic dan Andreas Pereira
kelihatan agak tenggelam dalam perlawanan itu, Fred pula seperti berjuang
secara bersendirian berdepan jentera tengah Liverpool yang serba kompak.
`McFred’
Sepanjang era pengurusan
Solskjaer, Fred sering digandingkan bersama Scott McTominay bagi membentuk dua
`pivot’ yang bertindak melindungi benteng pertahanan. Dua pemain ini juga
sebenarnya memiliki karakter permainan dan peranan yang hampir sama. Ralf
Rangnick pernah menyebut bahawa gandingan `McFred’ ini adalah `role’ nombor
enam yang sangat berguna ketika United tidak menguasai bola. Menurut Rangnick,
sama ada Fred atau McTominay, mereka adalah pemain yang akan digunakan beliau
sebagai `breaker’ di bahagian tengah.
Masih ingatkah lagi dengan
kejayaan United melakukan kebangkitan pada aksi menentang Paris St Germain di
pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim 2017/19? Kejayaan United menundukkan
PSG di Parc des Princes pada tanggal 6 Mac 2019 itu antara penampilan terbaik
yang pernah dipamerkan gandingan `McFred’. Sepanjang aksi di Parc des Princes
itu, Fred melakukan empat `tackle’, satu `intercept’ dan satu `clearance’, satu
statistik yang sederhana, tetapi menunjukkan bagaimana berkesannya strategi
Solskjaer menggunakan kualiti bertahan yang dimiliki Fred.
Fred digunakan Solskjaer bagi
merosakkan tempo permainan lawan, dan tugasnya dalam perlawanan itu ialah
memberikan tekanan demi tekanan ketika Marco Verratti menguasai bola. Kesukaran
yang dihadapi Verratti dalam usahanya mengerakkan jentera tengah PSG
menyaksikan perubahan sistem permainan dari 4-2-3-1 kepada 3-4-3 cuba dilakukan
Thomas Tuchel. Bagaimanapun ia tidak
memberikan impak yang signifikan, kerana dominasi Fred di bahagian tengah
menyaksikan pola gerakan-gerakan PSG lebih tertumpu di sisi sayap kanan dan
kiri mereka.
Antara Cinta Dan Benci
Aksi menentang PSG Pada Mac
2019 dan Liverpool pada Januari 2020 antara contoh terbaik mengapa adakalanya
Fred begitu disayangi penyokong United. Jika Fred berada dalam prestasi
terbaiknya, United tampak seperti kesebelasan yang sangat kompak di bahagian tengah
mereka. Begitupun, beliau juga adakalanya tidak terlepas dari sasaran kritikan.
Sejak ketibaannya di Old Trafford pada musim panas 2018, Fred dilabel antara
pemain yang gagal menepati potensi sesuai dengan harga £47 juta yang dibayar
United ketika mereka mendapatkan khidmatnya.
Pada 22 Ogos 2021 dalam satu
aksi menentang Southampton, Fred mempamerkan aksi yang boleh dilabel sebagai
terburuk dalam kariernya di Old Trafford. Hanya seminggu sebelum itu, Fred
bermain dengan sangat baik di sebalik kemenangan besar (5-1) yang dilakar
United keatas Leeds di Old Trafford. Bagaimanapun penampilannya di St Mary
benar-benar diselubungi kecelaruan. Gagal mengawal tempo permainan serta
kesilapan-kesilapan `dungu’ ketika melakukan hantaran menyebabkan takat kesabaran
penyokong terhadap beliau berada dikemuncaknya.
Penutup
Topik perbincangan tentang Fred
kebiasaannya akan lebih terarah kepada sisi negatif berbanding positif dalam
permainan beliau. Di Old Trafford, Fred sering dianggap sebagai watak antagonis
dan `sisi gelap’ kepada permainan United. Lima tahun lalu ketika beliau tiba,
ramai yang menyebut bahawa Fred adalah mesin penting yang bakal menggerakkan
jentera tengah United. Sama ada ketika United menguasai bola atau tidak, Fred
yang anda bayangkan ketika itu ialah seorang pemain tengah yang agresif ketika
melakukan `pressing’ atau dalam peranannya sebagai `box to box midfielder’.
`Rumour’ tentang misi menjual
Fred sudah kedengaran sejak pertengahan musim lalu lagi, kerana pemain berusia 30
tahun itu bukanlah kepingan `puzzle’ yang diperlukan di jentera tengah United. Keputusan
kelab menandatangani Mason Mount menguatkan lagi khabar angin tentang pemergian
Fred. Jelas Fred memang tiada dalam perancangan Ten Hag bagi menghadapi musim
baharu. Begitupun, 213 penampilan yang dilakukan beliau selama lima musim di
Old Trafford menobatkan Fred sebagai pemain Brazil paling banyak melakukan
penampilan untuk United.
Musim ini, anda tidak akan melihat
lagi kelibat beliau dengan jersi merah United, seorang pemain yang sangat energetik,
lelaki yang sentiasa tersenyum dan ceria, juga pemain yang memiliki dua sisi dalam
penampilannya di atas padang. Adakalanya beliau begitu antagonis di mata kita
kerana penampilan buruknya, tetapi adakalanya beliau juga boleh berubah kepada
sang protagonis yang menyebabkan kita menyayanginya. Terima kasih Fred, untuk
lima musim yang telah anda berikan kepada kami. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan