07 Ogos 2023

APA YANG MAMPU DITAWARKAN HOJLUND KEPADA UNITED?

 


Kata Johan Cryuff, “Untuk menang perlawanan, anda perlu menjaringkan lebih satu gol berbanding pasukan lawan”. Dalam bolasepak, untuk melakukan apa yang Cryuff sebut itu, mana-mana pasukan perlu memiliki seorang penyerang yang efektif kerana ia adalah komponen penting dalam sesebuah pasukan. Dalam tempoh beberapa musim terakhir, Manchester United juga sangat memerlukan sentuhan seorang penyerang yang efektif untuk mengisi posisi pemain nombor 9 mereka. Biarpun Marcus Rashford meledak 30 gol musim lalu, United sangat memerlukan seorang pemain nombor 9 baru bagi menggantikan tempat Cristiano Ronaldo.

 

Ketika United tidak lagi boleh berharap kepada Anthony Martial untuk berperanan sebagai penyerang tengah, dan lihat bagaimana bergelutnya Wout Weghorst yang cuma mampu meledak 2 gol dari 31 penampilan selepas beliau menyertai United dari Besiktas secara pinjaman, misi menandatangani seorang penyerang tengah baharu merupakan prioriti utama Erik Ten Hag bagi menghadapi musim baharu. Jadi tidak hairanlah mengapa sebaik musim 2022/23 berakhir, kelab dikaitkan dengan beberapa nama besar yang mengujakan seperti Harry Kane dan Victor Osimhen.

 

Pilihan Ke-3?

 

Dua atau tiga bulan yang lalu, nama Kane dan Osimhen sering disebut-sebut sebagai sasaran utama United, namun perubahan drastik berlaku ketika jendela perpindahan pemain musim panas dibuka. Menurut Fabrizio Romano, United mengemukakan tawaran lisan kepada Atalanta untuk sebarang kemungkinan mereka mendapatkan khidmat Rasmus Hojlund pada awal Julai lalu. Melihat kepada penampilan Hojlund di Serie A, liga yang sangat terkenal dengan seni bertahannya, bintang muda Denmark ini diramal bakal menjadi penyerang bernilai £100 juta dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

 

Atalanta sedar akan potensi besar yang dimiliki Hojlund, jadi mereka perlu bertindak cepat dengan menandatangani beliau dari Sturm Graz setahun yang lalu.  Hanya satu gol berjaya diledak Hojlund dari sebelas penampilan pertama beliau di Serie A, tetapi sebaik bermulanya tahun baharu, bintang muda ini meledak empat gol dalam empat perlawanan berturut-turut untuk Atalanta. Tiga gol diledak beliau dalam saingan liga dan satu di pentas Coppa Italia. Ketika itu penyokong Atalanta sudah mula yakin bahawa mereka sedang melihat potensi yang sangat besar dalam diri pemain berusia 20 tahun ini. 

 

Potensi Besar

 

Pada bulan Mac, penampilan Hojlund menerusi lima gol yang beliau ledak ketika Denmark berdepan Finland dan Kazakhstan di pusingan kelayakan Euro 2024 menyebabkan fokus peminat bolasepak dunia tertumpu kepadanya. Mereka mula bertanya siapa sebenarnya Rasmus Hojlund ini? Manakala di Itali pula, Atalanta menyedari bahawa mereka kini sudah memiliki bintang dalam pembikinan yang boleh mendatangkan keuntungan besar jika mereka memutuskan mahu menjualnya. Ketika Hojlund mula mempamerkan prestasi impresifnya di tahun baharu, Atalanta juga sedar bahawa sukar untuk mereka mengekalkan pemain itu di Bergamo.

 

Akhirnya dengan wang sebanyak £72 juta yang ditawarkan United, Hojlund berpindah ke England, menyertai kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya. Ramai yang melabel beliau sebagai `jelmaan Erling Haaland’, tetapi buat masa ini adalah tidak adil untuk membandingkan Hojlund dengan mesin gol milik Manchester City itu. Musim lalu, Haaland menjaringkan 36 gol dari 35 penampilan untuk City dalam saingan liga. Atau secara purata beliau menjaringkan satu gol setiap 77 minit. Manakala dalam saingan Serie A pula, Hojlund menjaringan purata satu gol setiap 204 minit.

 

Tatkala Haaland berjaya membantu City menjulang kejuaraan `treble’ musim lalu, kemampuan Hojlund pula masih belum terbukti di Liga Perdana. Apatah lagi beliau baru melalui dua musim penuhnya sebagai pemain profesional. Liga Perdana merupakan gelanggang pertempuran yang sukar, apatah lagi jika anda bermain untuk Manchester United. Bagaimanapun Hojlund dan Haaland ada persamaan dalam gaya permainan mereka, kerana kedua-duanya berkaki kidal, serta dikenali sebagai penyerang yang memiliki aset kekuatan dan kelajuan untuk memecah benteng pertahanan lawan.

 

Elemen Kelajuan

 

Dengan adanya pemain seperti Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho, United sebenarnya sudah memiliki tiga penggempur yang memiliki kelajuan di Liga Perdana. Elemen kelajuan bakal menjadi antara aspek penting kepada permainan United, kerana musim lalu mereka muncul kesebelasan paling banyak menghasilkan gol menerusi gerakan `counter attack’. Seorang penyerang tunggal bukan sahaja mampu bertindak sebagai penjaring gol ulung, tetapi juga `bring others into play’ dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Ten Hag. Dalam hal ini, Hojlund merupakan profil penyerang yang mampu melaksanakan skema permainan Ten Hag.

 

Musim lalu dari 20 penampilan beliau di Serie A, statistik merakamkan Hojlund melepaskan 435 hantaran dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya ialah sebanyak 74.3%. Jadi beliau bukanlah penyerang tengah klasik, kerana kecenderungannya untuk terlibat secara langsung dengan setiap pergerakan bola. Dalam sistem permainan Atalanta, Hojlund sering beroperasi sebagai penyerang tunggal dan disokong dua pemain tengah menyerang yang bergerak di belakangnya. Sebagai penyerang yang memiliki postur tubuh seperti beliau, Hojlund juga unggul dalam melakukan `holding the ball’.

 

Ten Hag bukan sahaja memerlukan seorang penyerang tengah yang produktif dalam menghasilkan gol, tetapi seorang penyerang tengah yang memiliki `work rate’ tinggi, juga penyerang yang boleh bertindak sebagai `pertahanan pertama’ ketika pertahanan lawan menguasai bola. Dalam skema permainan yang diterapkan Ten Hag, Hojlund bakal menjadi pemain yang penting menerusi intensiti tinggi serta kemampuan beliau dalam melakukan `pressing’. Hojlund bukan sekadar pemain nombor 9 moden tetapi juga seorang`pressing forward’ dalam falsafah dan sistem bolasepak moden.

 

Penutup

 

Ketika Liverpool menandatangani Darwin Nunez musim lalu, manakala Manchester City pula membawa masuk Erling Haaland, United pula perlu bertindakbalas dengan segera. Saya tidak mengharapkan keajaiban segera dibawa Hojlund ke Old Trafford, sepertimana keajaiban yang dibawa Haaland ke Stadium Etihad. Tetapi percayalah, beliau sedang `dibina’ untuk menjadi sebagus Haaland dan penyerang yang lebih `complete’ di masa hadapan. Pada usia yang masih mentah, Hojlund merupakan projek jangka panjang Ten Hag dan prospek masa depan United. “Velkommen Rasmus Hojlund”…Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan