Beliau pernah dilabel sebagai
`masa depan’ Manchester United, pemain muda yang memiliki bakat besar dan
pemain contoh kepada rakan-rakan dari generasinya. Ketika era pengurusan Ole
Gunnar Solskjaer, United ketika itu memang sedang membentuk generasi baharu
menerusi kelibat pemain-pemain muda seperti Tahith Chong, James Garner, Angel
Gomes, Scott McTominay, Brandon Williams dan Mason Greenwood. Diantara mereka
yang paling menonjol, paling mengujakan dan diramal mampu menjadi bintang besar
suatu hari nanti tentunya budak yang bernama Mason Greenwood.
Di akademi United, Mason antara
bakat muda yang memiliki potensi sangat besar. Hanya setahun dalam skuad U-16
United, beliau dipromosikan ke skuad U-18 meskipun umurnya ketika itu belumpun
genap 16 tahun. Pada usia semuda itu, penampilan Mason sebenarnya sudah jauh melangkaui
rakan-rakan seangkatannya. Pada musim 2017/18, Mason dinobatkan selaku
penjaring terbanyak Liga Inggeris U-18 menerusi 17 gol yang dihasilkannya. Pada
musim 2019/20, Mason diberikan kontrak profesional pertamanya yang menyaksikan
beliau kekal di Old Trafford hingga Jun 2023, juga musim dimana beliau
mencetuskan sensasi.
Sensasi
10 gol yang diledak beliau
dalam saingan liga dan keseluruhan 19 gol yang dihasilkannya dalam semua
kejohanan merupakan angka yang sangat menakjubkan bagi seorang pemain yang baru
berusia 18 tahun. Apatah lagi peranannya ketika itu cumalah sebagai pelapis
kepada Marcus Rashford dan Anthony Martial. Aksi menentang Paris St Germain di
saingan Liga Juara-Juara pada 6 Mac 2019 merupakan penampilan pertama Mason
untuk skuad utama, sekaligus muncul pemain kedua termuda United melakukan
penampilan di pentas Eropah selepas Norman Whiteside.
Apa yang menariknya, Mason
menikmati penampilan pertama beliau untuk skuad senior hanya dalam tempoh tiga
bulan selepas Solskjaer menggantikan posisi Jose Mourinho. Bagi seorang legenda
kelab yang berhasil meledak 91 gol untuk United ketika kariernya sebagai
pemain, Solskjaer pantas menghidu potensi besar yang dimiliki Mason. Dan tiga
hari selepas penampilan Mason di Parc des Princes, beliau diturunkan Solskjaer
dalam saingan liga pula ketika United berdepan Arsenal di gelanggang lawan.
Prospek Masa Depan
Pada 2019, Goal International
pernah menamakan Mason sebagai pemain muda terbaik United, malah mereka juga meletakkan
beliau di tangga ke-16 dalam senarai pemain muda terbaik dunia ketika itu. Mason
memang pemain muda yang mengujakan, bukan sahaja kerana ketajamannya dalam
menyudahkan peluang tetapi juga kerana `versatility’ dalam permainannya yang sudah diasah sejak beliau
berada di akademi lagi. “Dia boleh bermain di empat posisi di barisan hadapan.
Dia selalu berada di depan untuk menjaringkan gol atau mencipta peluang”, kata
Solskjaer.
Kemampuan Mason menggunakan
kedua-dua kakinya dengan baik merupakan nilai tambah bagi seorang penyerang.
Menurut Clayton Blackmore, melihat Mason mengambil sepakan percuma atau penalti
menggunakan kaki kiri adalah perkara biasa walaupun beliau bukanlah pemain
berkaki kidal. Dua atau tiga tahun yang lalu, Mason adalah prospek masa depan
bolasepak Inggeris, dan United sangat beruntung kerana memiliki pemain muda
dengan potensi besar seperti beliau sekaligus mengingatkan kita kepada sosok
Wayne Rooney.
Penggempur Lengkap
20 tahun yang lalu, Rooney muncul
pemain muda Inggeris paling `spectacular’, dan Mason sendiri mengakui bahawa
bekas penggempur United itu merupakan idolanya. Meskipun begitu, gaya permainan
Mason sebenarnya lebih mirip kepada penampilan Robin Van Persie. Sepertimana
Robin, Mason juga memiliki kekuatan pada sepasang kakinya, kombinasi `skill’
yang bagus, fizikal yang kuat dan visi permainan yang tinggi. Solskjaer ketika
itu memiliki tiga pilihan yang beliau boleh letakkan untuk berperanan sebagai
pemain nombor 9 (Rashford, Martial dan Mason).
Bagaimanapun menurut Gary
Neville, Mason adalah contoh penyerang tengah yang `complete’. “Anda melihat
Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood sebagai pilihan. Tetapi
siapakah di antara mereka yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut, di
dalam atau di luar petak penalti dengan menggunakan kaki kanan atau kiri?
Pemain itu pastilah Mason Greenwood yang baru berusia 18 tahun”, kata Neville. Dengan
bakat besar seperti itu, kita mendambakan agar suatu hari nanti Mason mampu
meletakkan dirinya selaku penggempur berbisa, tonggak utama dan legenda kelab
seperti idola beliau iaitu Rooney.
Detik Hitam
Bagaimanapun pada Februari 2022
yang lalu, kita digemparkan dengan berita serangan seksual yang dilakukan Mason
ke atas kekasihnya. Hanya dalam tempoh 24 jam selepas Mason didakwa, United
mengumumkan penggantungan pemain itu dari sebarang aktiviti bolasepak bersama
kelab. Dan sejak itu, kita tidak lagi melihat kelibat seorang pemain muda
berbakat besar, pemain yang dilabel sebagai masa depan kelab dan penggempur
muda yang sudah terlihat keunggulannya dalam merobek pintu gol lawan beraksi di
atas padang dalam seragam United.
Sejak itu juga kita
berteka-teki, bertanya dan cuba meramal tentang kemungkinan nasib yang bakal
menimpa Mason. Selepas lama terpalit dengan kes jenayah serangan seksual yang
menyebabkan nama beliau hilang dari radar bolasepak, kelab akhirnya mengambil
keputusan sukar dengan melepaskan pemain muda itu. Dalam kenyataan yang
dikeluarkan United kelmarin, selepas melakukan proses siasatan dalaman sejak
Februari tahun lalu, mereka tidak menemui sebarang bukti kukuh bagi mengesahkan
bahawa Mason tidak bersalah.
Penutup
Keputusan yang diambil kelab
ini pastinya bukanlah satu keputusan yang mudah. Kelab menyedari potensi besar
yang dimiliki Mason, tetapi membawa beliau beraksi kembali di atas padang
merupakan satu `dosa’ yang pastinya sukar untuk dimaafkan oleh kebanyakkan
penyokong wanita United. Dan kelab juga akhirnya memahami bahawa melepaskan
Mason pergi merupakan satu keputusan yang tepat meskipun sukar untuk mereka
ambil. Tandatanya tentang nasib Mason akhirnya terjawab kerana `kisah cinta’
beliau dan United akhirnya terlerai.
Sebelum Februari 2022, Mason berada di laluan dalam membina kariernya dan membentuk dirinya untuk menjadi bintang besar suatu hari nanti. Sebelum Februari 2022, segalanya tampak memihak kepada Mason. Beliau berbakat besar, juga penyerang yang menurut Solskjaer memiliki `teknik halus tetapi mudah dilihat’. Akhirnya `tragedi Februari’ itu bukan sahaja memusnahkan Mason, tetapi meleraikan impian kita untuk melihat agar suatu hari nanti beliau menjelma sebagai `finisher’ menggerunkan seperti idolanya…Wayne Rooney. Agak malang untuk melihat bakat besar seperti Mason akhirnya tenggelam begitu saja. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan