Manchester United membuka tirai
aksi liga musim ini dengan langkah kanan meskipun mereka terpaksa bergelut
sepanjang tempoh 90 minit perlawanan aksi menentang Wolverhampton Wanderers. Di
sebalik `sengsara’nya United untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan yang
berlangsung di Old Trafford itu, aksi Mason Mount menjadi tumpuan. Pemilik
jersi nombor 7 itu tiba di Old Trafford dengan harapan besar, pemain tengah
yang dilabel mampu membuatkan jentera tengah United lebih kompak, solid dan
teratur.
Dalam kem United, selain Mount,
Andre Onana juga merupakan pemain yang melakukan penampilan pertama dengan
jersi `The Red Devils’ di Liga Perdana. Bagaimanapun berbanding Mount, penampilan
Onana pada `debut’ beliau untuk United wajar diberikan pujian. Enam aksi penyelamatan
dan catatan `clean sheet’ yang dilakukan penjaga gol Cameroon itu menyaksikan
beliau diberikan `rating’ 7.74 oleh laman WhoScored.com, sekaligus muncul
pemain pemain kedua terbaik United selepas Aaron Wan-Bissaka dalam perlawanan
itu.
Apa sebenarnya yang berlaku
kepada Mount? Secara keseluruhannya Wolves merupakan kesebelasan yang lebih
baik dan dominan dalam perlawanan itu meskipun mereka beraksi di Old Trafford.
Dan Mount pula tenggelam hampir sepanjang tempoh 68 minit aksinya di atas
padang. Sepanjang 68 minit penampilannya, Mount gagal menjaringkan sebarang
gol, gagal mencipta bantuan gol, gagal mencipta peluang jaringan gol, gagal
melepaskan sebarang hantaran silang, gagal memenangi sebarang `tackle’ dan
gagal memenangi walau satu pun perebutan bola tinggi.
Agak malang, selama lebih sejam
beliau berada di atas padang, hampir tiada apa-apa sumbangan yang mampu
diberikan Mount kecuali satu `intercept’ yang dilakukannya. Dan paling
mengecewakan, Mount cuma mampu melakukan 33 sentuhan sepanjang aksinya, jumlah
terendah berbanding mana-mana pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama
United. Fakta ini pastinya membuatkan ramai penyokong United kecewa bila
memikirkan bahawa beliau antara bakat terbaik bolasepak Inggeris masa kini dan
harapan tinggi yang diberikan kepadanya ketika kelab mengumumkan kejayaan
mereka mendapatkan khidmatnya.
Penampilan buruk Mount pada
`debut’ beliau untuk United di Liga Perdana sepatutnya sudah boleh dijangka. Musim
lalu dari 35 penampilan keseluruhannya bersama Chelsea, Mount cuma mampu
menjaringkan tiga gol dan menyumbang tiga bantuan gol. Prestasi Mount musim
lalu jelas tidak disenangi penyokong `The Blues’ dan `trend’ negatif tersebut berterusan
pula pada kempen pra musim United. Jadi tidak hairanlah jika penyokong United mula
bimbang tentang kemungkinan ini adalah satu lagi pelaburan sia-sia yang
dilakukan kelab.
Penampilan pertama Mount mungkin
tidak menepati harapan dan impian anda, tetapi ada sebab yang kukuh mengapa
United sanggup berbelanja sehingga £55 juta bagi membawanya beraksi di sini. Bersama
Chelsea, Mount sangat dikenali sebagai pemain tengah yang memiliki naluri
membunuh yang cukup tajam. 38 gol dan 37 bantuan gol dari 178 penampilan
bersama Chelsea merupakan satu statistik yang sangat mengagumkan buat pemain
tengah seperti beliau. Kreativiti adalah antara masalah terbesar United musim
lalu, jadi atas sebab itulah mengapa kelab menandatangani profil pemain tengah
seperti Mount.
Penampilan pertama menentang
Wolves pastinya penampilan yang tidak mahu dikenang Mount. Prestasi beliau bersama
Chelsea musim lalu mencetuskan kebimbangan tentang kemampuan Mount untuk
memberikan impak kepada jentera tengah United musim ini. Walaupun statistik ketika
menentang Wolves tidak menyebelahi Mount, namun Ten Hag gembira dengan
`sumbangan’ pemain antarabangsa England itu. “Saya fikir ini adalah persembahan
yang baik. Dia melakukan apa yang kami harapan dan apa yang kami minta dia
lakukan”, kata Ten Hag.
Mount pada musim 2020/21 dan 2021/2022
merupakan sosok yang tidak tergantikan tempatnya dalam kesebelasan utama
Chelsea. Sepanjang tempoh dua musim tersebut, Mount menjaringkan 17 gol, mencipta
15 bantuan gol, melepaskan 52 percubaan `on target’, melakukan 2547 hantaran
tepat, memenangi 52 `tackle’, melakukan 58 `block’ dan 44 `intercept’. Ringkasnya
dalam situasi bertahan mahupun menyerang, Mount adalah pemain penting dalam
menjayakan skema permainan Chelsea. Apa yang perlu dilakukan Ten Hag sekarang ialah
mendapatkan kembali Mount pada versi terbaiknya. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan