09 Oktober 2009

United Lebih Baik dari Liverpool

http://soccerlens.com/wp-content/uploads/2007/10/michael-owen.jpg
Penyerang Manchester United, Michael Owen mengatakan bahawa Liverpool merupakan salah sebuah kelab terbaik dunia namun tewas kepada Manchester United dari segi pendapatan, sokongan peminat dan stadium. Jika diambil kira ketiga-tiga faktor itu, United ternyata jauh meninggalkan bekas kelabnya itu. Kenyataan Owen ini dijangka menyemarakan lagi suasana pertembungan Liverpool dan Manchester United pada 25 Oktober ini. United akan bertandang ke Anfield dalam usaha memadamkan memori buruk musim lalu apabila tewas 1-2 kepada anak-anak buah Rafa Benitez di gelanggang yang sama. "Saya tidak memperkecilkan mana-mana pihak. Apa yang ingin saya katakan ialah dari segi sokongan peminat, pendapatan dan stadium. Manchester United menduduki senarai teratas dari segi itu. Tetapi Real Madrid, Barcelona dan Liverpool berada dalam kelas mereka sendiri untuk perkara yang lain", ujar Owen.

Bercakap mengenai pertembungan 25 Oktober ini, Owen mengakui dia tidak mempunyai perasaan berbeza kerana ini bukanlah kali pertama dia berhadapan dengan bekas kelab yang disokong sejak zaman remajanya lagi. Ketika mewakili Newcastle United, dia sudah beberapa kali berhadapan dengan Liverpool. Meskipun demikian, Owen yakin akan ada berbezaan sambutan ke atas dirinya ketika di Anfield nanti berbanding ketika bersama Newcastle United memandangkan skuad Red Devils adalah seteru tradisi Liverpool. "Seperti biasa pertembungan Liverpool dan United akan menjadi saingan yang sangat kompetitif kerana kedua-dua kelab merupakan antara yang terbaik di dunia. Saingan antara kedua-dua pasukan akan lebih seimbang berbanding ketika saya ke Anfield bersama Newcastle. Jadi, ia akan menjadi pertembungan yang cukup menarik", tambahnya lagi.

08 Oktober 2009

Van Der Sar Sedia Diturunkan

http://debalisnietrond.web-log.nl/debalisnietrond/images/2008/06/10/van_der_sar.jpg
Edwin Van Der Sar sudah pulih dari kecederaan tangannya dan bersedia kembali semula mengisi posisinya sebagai penjaga gol utama Manchester United. Van Der Sar bertekad memberikan prestasi terbaiknya buat United bagi merampas semula kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dari Chelsea. United kini menghuni tangga kedua dengan 19 mata, 2 mata di belakang pendahulu, Chelsea. Ramai penyokong United berpendapat, Ben Foster sebenarnya masih belum bersedia menggantikan tempat Van Der Sar sebagai penjaga gawang utama United. Ini terbukti dengan beberapa siri kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol simpanan England itu terutamanya ketika pertemuan derby menentang Manchester City, 21 September lalu. Van Der Sar beraksi penuh ketika membantu skuad simpanan United menewaskan skuad simpanan Everton minggu lalu. Gol kemenangan United dihasilkan oleh bintang muda mereka, Federico Macheda.

Van Der Sar akan menggunakan sepenuhnya tempoh rehat liga kerana tidak terlibat dengan kempen kelayakan Piala Dunia 2010 bagi menyediakan dirinya untuk pertembungan dengan Bolton Wanderers minggu hadapan. Ia menyatakan bahawa perlawanan menentang Sunderland seharusnya menjadi kegagalan terakhir United meraih mata penuh. "Agak mengecewakan apabila kami gagal meraih mata penuh ketika menentang Sunderland terutama ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri. Kami tidak sepatutnya kehilangan mata lagi selepas ini dan perlu segera melupakan keputusan minggu lalu. Kami perlu terus positif untuk memburu keputusan lebih baik" ujar Van Der Sar. "Bagi rakan-rakan yang tidak beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia, banyak kerja yang perlu dibuat sebelum menghadapi Bolton. Kami juga akan melihat bagaimana keadaan setiap individu yang pulang dari tugasan antarabangsa", tambahnya lagi.

07 Oktober 2009

United Dekati Julio Cesar

http://quotidianonet.ilsole24ore.com/sport/2008/06/01/93683/images/4886-julio.jpg
Isteri Julio Cesar yang juga merupakan penjaga gol Inter Milan, Sussana Werner, mendedahkan bahawa suaminya mendapat tawaran dari sebuah kelab gergasi Eropah dan media-media Itali mengatakan bahawa kelab tersebut ialah Manchester United. Menurut Werner, suaminya telah menolak tawaran itu namun kemungkinan untuk Cesar meninggalkan San Siro tetap ada. Cesar diiktiraf sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia dan posisinya sebagai penjaga gol nombor satu Brazil dan Inter yang tidak tercabar sudah cukup membuktikan kualiti yang ada pada dirinya.

Menurut media Itali, prestasi Cesar nyata menarik minat United ditambah pula mereka memang memerlukan seorang penjaga gol bertaraf dunia bagi menggantikan Edwin Van Der Sar sekiranya penjaga gol Belanda itu bersara penghujung musim ini. "Ini merupakan minggu yang sungguh menyenangkan kerana anak kami akan menyambut ulang tahun ketujuh manakala Cesar pula mendapat tawaran dari sebuah kelab besar", ujar Werner dalam blognya. "Kami tidak berniat meninggalkan Milan tetapi dalam dunia bolasepak segala-galanya boleh berlaku," tambahnya lagi. Cesar pula terkejut dengan khabar angin itu kerana menurutnya, dia tidak pernah mendapat tawaran dari mana-mana pasukan.

04 Oktober 2009

Black Cats Ikat Red Devils Di Old Trafford

Manchester United terselamat dari mengalami kekalahan kedua mereka selepas pertahanan Sunderland, Anton Ferdinand menjaringkan gol sendiri di penghujung permainan. Keputusan ini agak mengecewakan memandangkan United bermain di gelanggang sendiri dan mereka melepaskan peluang untuk menjarakkan kedudukan di tangga teratas. United memulakan aksi dibabak pertama dengan hantaran-hantaran kurang kemas dan The Red Devils akhirnya dihukum pelawat apabila rembatan Darren Bent dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Ben Foster untuk memberikan lawan pendahuluan diminit ke 8. United berusaha mencari gol penyamaan namun dikejutkan dengan aksi bersemangat lawan yang begitu rajin menutup ruang dan menguasai bahagian tengah, ditambah dengan aksi buruk United sepanjang babak pertama. United dilihat bergelut untuk menembusi benteng lawan yang dikawal Anton Ferdinand serta bekas pemain United sendiri Phil Bardsley dan corak kawalan ketat yang diamalkan lawan menyaksikan tidak banyak gerakan-gerakan bahaya yang mampu dilakukan pemain-pemain United.
Andy Reid of Sunderland battles for the ball with Nani of Manchester United
Memasuki babak kedua permainan, United cuba mencari gol penyamaan secepat mungkin dan akhirnya menerusi hantaran lambung dari sebelah kanan John O'Shea, Dimitar Berbatov melakukan aksi menarik untuk menyamakan kedudukan diminit ke 50. Gol itu seolah-olah memberi nafas baru buat pemain-pemain United yang selepas itu melancarkan serangan-serangan bertali arus ke kubu lawan tetapi lapan minit kemudian benteng United dihukum lagi oleh pelawat. Gol kedua pelawat berpunca apabila Ben Foster gagal menangani situasi bola tinggi ketika cuba menyaingi Kenwyne Jones di udara. Jones yang menerima hantaran Andy Reid mudah menanduk masuk menewaskan Foster untuk meletakkan pelawat di depan buat kali kedua. Selepas mendahului, pelawat kembali mengamalkan taktik kawalan ketat dan untuk memecah kebuntuan, Sir Alex memasukkan Antonio Valencia dan Michael Carrick tetapi United tetap gagal menembusi kubu lawan. Semangat pelawat tersentap apabila Kieran Richardson diperintah keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua diminit ke 80.
Dimitar Berbatov of Manchester United holds off Lee Cattermole of Sunderland
Dengan masa yang semakin suntuk, United akhirnya berhasil menyamakan kedudukan melalui keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol lawan. Rembatan Patrice Evra dari dalam kotak penalti yang cuba ditampan Anton Ferdinand terus menerjah ke gawang sendiri menewaskan Craig Gordon. Gol penyamaan dimasa kecederaan itu berjaya mengelakkan United dari menerima aib di gelanggang sendiri dan kekal sebagai peneraju liga untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam. Chelsea berpeluang memintas United di tangga teratas jika menang ke atas Liverpool di Stamford Bridge malam ini. Sementara itu, Sir Alex mengkritik tahap kecergasan Alan Wiley yang mengadili perlawanan itu. "Pengadil tidak cukup cergas untuk mengadili perlawanan itu bahkan dia mengambil masa hampir 30 saat untuk melayangkan kad kuning kepada pemain. Saya rasa, semasa dia mencatatkan kesalahan pemain, ketika itulah dia mengambil kesempatan untuk berehat", ujar Ferguson. Ini bukanlah kali pertama Ferguson mengkritik Wiley kerana sebelumnya Ferguson pernah mengkritik pengadil itu disebabkan kurang melindungi pemainnya dari terjahan keras lawan dan didenda 10 ribu Pound atas kritikan itu.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Bolton (2) lwn Tottenham (2)
Burnley (2) lwn Birmingham (1)
Hull City (2) lwn Wigan Athletic (1)
Wolverhampton (0) lwn Portsmouth (1)
Arsenal (6) lwn Blackburn (2)
Everton (1) lwn Stoke City (1)
West Ham (2) lwn Fulham (2)
Chelsea (2) lwn Liverpool (0)

03 Oktober 2009

United Sedia Jarak Kedudukan

http://d.yimg.com/a/p/rids/20090930/i/r3893916488.jpg
Manchester United berpeluang menjarakkan kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris apabila melayan kunjungan Sunderland awal pagi ini. Steve Bruce akan pulang semula ke Old Trafford dengan misi sekurang-kurangnya mencuri satu mata dari bekas kelabnya itu. Dengan Chelsea dan Liverpool yang akan berentap sesama sendiri esok, peluang ini seharusnya digunakan oleh United untuk terus melebarkan kedudukan ditakhta liga. Ketika ini United terikat 18 mata bersama Chelsea namun skuad Red Devils mempunyai kelebihan jaringan gol. Dengan United sudah mula menemui sentuhan pemusnah mereka, agak sukar buat skuad The Black Cats melakukan sesuatu di Old Trafford nanti. Sejak tewas mengejut kepada Burnley, anak-anak buah Sir Alex Ferguson sudah merakamkan sembilan kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan pasukan-pasukan yang dianggap pencabar musim ini seperti Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Manchester City.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20090930/capt.a1d27f9195054f5ea8512721490252e6.britain_soccer_champions_league_lts124.jpg
Sir Alex dijangka merehatkan Ryan Giggs pagi ini bagi memberi ruang buat pemain veteran itu memulihkan semula kecergasannya. Giggs muncul pemain paling cemerlang United setakat ini dan prestasinya mendapat pujian menggunung dari Ferguson sendiri. Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov pastinya akan mengetuai jentera penggempur United memandangkan Michael Owen terpaksa direhatkan selama tiga minggu akibat kecederaan paha. Di bahagian tengah pula, Ferguson dijangka mengekalkan gandingan Michael Carrick dan Anderson yang begitu cemerlang ketika menentang Wolfsburg kelmarin manakala sayap kanan dan kiri akan diisi oleh Antonio Valencia dan Park Ji Sung. Barisan pertahanan United pastinya tidak banyak berubah dengan Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, John O'Shea dan Patrice Evra akan mengisi posisi tersebut. Wes Brown, Jonny Evans dan Fabio da Silva mungkin menjadi pilihan jika Ferguson berhasrat merombak benteng United dalam perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!!

02 Oktober 2009

Steve Bruce: "Giggs Tak Pernah Berubah"

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00390/giggs_390068a.jpg
Bekas bintang pertahanan Manchester United, Steve Bruce, tidak merasa hairan jika Ryan Giggs masih mampu memberikan aksi bertenaga bersama Manchester United biarpun sudah dua dekad bersama juara Inggeris itu. Giggs merupakan pemain tertua di United ketika ini dan telah mencatatkan 849 penampilan bersama The Red Devils sejak tahun 1991. Penampilan sulung Giggs bersama United ialah ketika menentang Everton pada 2 Mac 1991 di Old Trafford. Sehingga kini pemain berusia 36 tahun itu tampil konsisten dan kelmarin Giggs merakamkan gol peribadi ke 150 untuk United ketika membenam cabaran Wolfsburg dalam kempen Liga Juara. Bruce yang pernah bermain untuk United dari tahun 1987 hingga 1996 mengimbas Giggs sebagai seorang anak kecil diakhir tahun 1980 an. Giggs baru berusia 14 tahun ketika dibawa oleh Sir Alex Ferguson dari akademi jiran setempat United, Manchester City.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20090930/capt.ffb030b4caa942449b2a1a9d1b47cc07.britain_soccer_champions_league_lts125.jpg
"Sir Alex berkata, kita telah berjaya mendapatkan anak muda ini dan dia akan berlatih bersama skuad utama. Jadi jaga dia baik-baik", imbas Bruce ketika diawal kedatangan Giggs. "Kami fikir dia akan gugup ketika menghadapi kami tetapi ketika dia berhadapan dengan Viv Anderson (pertahanan United ketika itu), dia menggelecek Viv selama hampir tiga minit dan kami semua berfikir, siapakah pemuda ini? Dia telah `membunuh' Viv, dia masih remaja dan Viv pula adalah pertahanan antarabangsa England. Itulah kenangan pertama tentang Giggs", tambah Bruce lagi. Dimata Bruce, Giggs merupakan pemain yang lahir dengan bakat semulajadinya. Bersama pasukan manapun, bintang Giggs tetap akan bersinar. "Dia telah berhadapan dan bermain dengan ramai pemain handalan tapi itu tidak pernah mengubah dirinya. Pada usia 36 tahun, prestasinya tidak pernah menurun kerana dia punya kemampuan semulajadi yang membuatkannya seperti itu", akui Bruce.
Bruce melabelkan Giggs sebagai seorang pemain versatil yang boleh diletakkan di mana-mana sahaja. Menjadi perancang utama, di sayap kiri atau kanan ataupun dibahagian tengah sepertimana musim ini, semuanya mampu dilaksanakan Giggs dengan berkesan. "Saya rasa ketika ini dia tetap sama seperti sebelumnya. Satu jangkamasa yang begitu lama dan dia bermain dengan keinginan yang cukup tinggi. Saya jarang memberikan kata-kata hebat untuk individu lain, tapi Ryan Giggs adalah pemain yang sangat, sangat hebat. Dia dianugerahi dengan bakat dan kemampuan luar biasa dan merupakan seorang pemain bolasepak sejati" tambahnya lagi. Giggs merupakan pemain United paling istimewa tetapi dia hampir menjadi pemain Manchester City jika tidak kerana campurtangan Sir Alex Ferguson. Giggs menghadiri Sekolah Kecemerlangan Manchester City ketika zaman remaja tetapi Sir Alex melakukan kunjungan peribadi ke rumah Giggs pada hari lahirnya yang ke 14 lantas menandatanganinya untuk dibawa ke Old Trafford.

01 Oktober 2009

Giggs Inspirasi Kemenangan United

Ryan Giggs terus mempamerkan prestasi hebatnya disebalik kejayaan Manchester United memungut tiga mata penuh dalam perlawanan peringkat kumpulan B Liga Juara menewaskan juara Jerman, VFL Wolfsburg awal pagi tadi. Bagaimanapun kemenangan United itu diselubungi kecederaan pangkal paha yang dialami Michael Owen memaksa pemain berusia 29 tahun itu direhatkan selama tiga minggu. Owen diturunkan dalam kesebelasan permulaan United tetapi terpaksa meninggalkan padang selepas beraksi selama 20 minit. Bagaimanapun Sir Alex Ferguson tidak bimbang dengan siri kecederaan baru Owen dan yakin penyerangnya itu akan tampil semula dalam masa tiga minggu. Wolfsburg menguasai tempo di awal permainan namun dilihat bergelut untuk memecah kubu United, sebaliknya tuan rumah hampir didepan melalui gerakan Dimitar Berbatov dan Antonio Valencia. Bagaimanapun tolakan sayap antarabangsa Ecuador itu sedikit tersasar kesebelah kanan gawang lawan. United terus mencipta peluang diminit ke 30, tetapi sepakan Michael Carrick yang berjaya melepasi perangkap offside lawan berjaya ditampan Diego Benaglio. Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua Wolfsburg akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila hantaran lambung Makoto Hasebe berjaya ditanduk masuk Edin Dzeko diminit ke 55. Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan selama 4 minit apabila Ryan Giggs berjaya menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 25 meter untuk kembali mengikat kedudukan 1-1. United terus menguasai perlawanan dengan memaksa juara Bundesliga itu bertahan di kawasan sendiri sehingga Michael Carrick muncul wira apabila menyudahkan gerakan yang dimulakan Ryan Giggs dan Dimitar Berbatov. Pemain tengah itu yang menerima umpanan Giggs pantas melencongkan bola melepasi jangkauan Benaglio untuk gol kemenangan United diminit ke 78 sekaligus melonjakkan The Red Devils ditangga teratas kumpulan B. Pemain terbaik United disebalik kemenangan itu pastinya lagenda hidup mereka, Ryan Giggs. Giggs terus mempamerkan prestasi luarbiasanya musim ini melalui larian-larian pantas dan gerakan-gerakan menarik sepanjang perlawanan, tidak menampakkan langsung yang usianya sudah mencecah 36 tahun. Ternyata visi dan ketajamannya terus menjadi igauan lawan manakala kesungguhannya akan terus menjadi contoh buat pemain-pemain muda United.