Manchester United terselamat dari mengalami kekalahan kedua mereka selepas pertahanan Sunderland, Anton Ferdinand menjaringkan gol sendiri di penghujung permainan. Keputusan ini agak mengecewakan memandangkan United bermain di gelanggang sendiri dan mereka melepaskan peluang untuk menjarakkan kedudukan di tangga teratas. United memulakan aksi dibabak pertama dengan hantaran-hantaran kurang kemas dan The Red Devils akhirnya dihukum pelawat apabila rembatan Darren Bent dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Ben Foster untuk memberikan lawan pendahuluan diminit ke 8. United berusaha mencari gol penyamaan namun dikejutkan dengan aksi bersemangat lawan yang begitu rajin menutup ruang dan menguasai bahagian tengah, ditambah dengan aksi buruk United sepanjang babak pertama. United dilihat bergelut untuk menembusi benteng lawan yang dikawal Anton Ferdinand serta bekas pemain United sendiri Phil Bardsley dan corak kawalan ketat yang diamalkan lawan menyaksikan tidak banyak gerakan-gerakan bahaya yang mampu dilakukan pemain-pemain United.
Memasuki babak kedua permainan, United cuba mencari gol penyamaan secepat mungkin dan akhirnya menerusi hantaran lambung dari sebelah kanan John O'Shea, Dimitar Berbatov melakukan aksi menarik untuk menyamakan kedudukan diminit ke 50. Gol itu seolah-olah memberi nafas baru buat pemain-pemain United yang selepas itu melancarkan serangan-serangan bertali arus ke kubu lawan tetapi lapan minit kemudian benteng United dihukum lagi oleh pelawat. Gol kedua pelawat berpunca apabila Ben Foster gagal menangani situasi bola tinggi ketika cuba menyaingi Kenwyne Jones di udara. Jones yang menerima hantaran Andy Reid mudah menanduk masuk menewaskan Foster untuk meletakkan pelawat di depan buat kali kedua. Selepas mendahului, pelawat kembali mengamalkan taktik kawalan ketat dan untuk memecah kebuntuan, Sir Alex memasukkan Antonio Valencia dan Michael Carrick tetapi United tetap gagal menembusi kubu lawan. Semangat pelawat tersentap apabila Kieran Richardson diperintah keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua diminit ke 80.
Dengan masa yang semakin suntuk, United akhirnya berhasil menyamakan kedudukan melalui keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol lawan. Rembatan Patrice Evra dari dalam kotak penalti yang cuba ditampan Anton Ferdinand terus menerjah ke gawang sendiri menewaskan Craig Gordon. Gol penyamaan dimasa kecederaan itu berjaya mengelakkan United dari menerima aib di gelanggang sendiri dan kekal sebagai peneraju liga untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam. Chelsea berpeluang memintas United di tangga teratas jika menang ke atas Liverpool di Stamford Bridge malam ini. Sementara itu, Sir Alex mengkritik tahap kecergasan Alan Wiley yang mengadili perlawanan itu. "Pengadil tidak cukup cergas untuk mengadili perlawanan itu bahkan dia mengambil masa hampir 30 saat untuk melayangkan kad kuning kepada pemain. Saya rasa, semasa dia mencatatkan kesalahan pemain, ketika itulah dia mengambil kesempatan untuk berehat", ujar Ferguson. Ini bukanlah kali pertama Ferguson mengkritik Wiley kerana sebelumnya Ferguson pernah mengkritik pengadil itu disebabkan kurang melindungi pemainnya dari terjahan keras lawan dan didenda 10 ribu Pound atas kritikan itu.
Lain-Lain Keputusan Perlawanan:
Bolton (2) lwn Tottenham (2)
Burnley (2) lwn Birmingham (1)
Hull City (2) lwn Wigan Athletic (1)
Wolverhampton (0) lwn Portsmouth (1)
Arsenal (6) lwn Blackburn (2)
Everton (1) lwn Stoke City (1)
West Ham (2) lwn Fulham (2)
Chelsea (2) lwn Liverpool (0)
Lain-Lain Keputusan Perlawanan:
Bolton (2) lwn Tottenham (2)
Burnley (2) lwn Birmingham (1)
Hull City (2) lwn Wigan Athletic (1)
Wolverhampton (0) lwn Portsmouth (1)
Arsenal (6) lwn Blackburn (2)
Everton (1) lwn Stoke City (1)
West Ham (2) lwn Fulham (2)
Chelsea (2) lwn Liverpool (0)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan