Bekas bintang pertahanan Manchester United, Steve Bruce, tidak merasa hairan jika Ryan Giggs masih mampu memberikan aksi bertenaga bersama Manchester United biarpun sudah dua dekad bersama juara Inggeris itu. Giggs merupakan pemain tertua di United ketika ini dan telah mencatatkan 849 penampilan bersama The Red Devils sejak tahun 1991. Penampilan sulung Giggs bersama United ialah ketika menentang Everton pada 2 Mac 1991 di Old Trafford. Sehingga kini pemain berusia 36 tahun itu tampil konsisten dan kelmarin Giggs merakamkan gol peribadi ke 150 untuk United ketika membenam cabaran Wolfsburg dalam kempen Liga Juara. Bruce yang pernah bermain untuk United dari tahun 1987 hingga 1996 mengimbas Giggs sebagai seorang anak kecil diakhir tahun 1980 an. Giggs baru berusia 14 tahun ketika dibawa oleh Sir Alex Ferguson dari akademi jiran setempat United, Manchester City.
"Sir Alex berkata, kita telah berjaya mendapatkan anak muda ini dan dia akan berlatih bersama skuad utama. Jadi jaga dia baik-baik", imbas Bruce ketika diawal kedatangan Giggs. "Kami fikir dia akan gugup ketika menghadapi kami tetapi ketika dia berhadapan dengan Viv Anderson (pertahanan United ketika itu), dia menggelecek Viv selama hampir tiga minit dan kami semua berfikir, siapakah pemuda ini? Dia telah `membunuh' Viv, dia masih remaja dan Viv pula adalah pertahanan antarabangsa England. Itulah kenangan pertama tentang Giggs", tambah Bruce lagi. Dimata Bruce, Giggs merupakan pemain yang lahir dengan bakat semulajadinya. Bersama pasukan manapun, bintang Giggs tetap akan bersinar. "Dia telah berhadapan dan bermain dengan ramai pemain handalan tapi itu tidak pernah mengubah dirinya. Pada usia 36 tahun, prestasinya tidak pernah menurun kerana dia punya kemampuan semulajadi yang membuatkannya seperti itu", akui Bruce. Bruce melabelkan Giggs sebagai seorang pemain versatil yang boleh diletakkan di mana-mana sahaja. Menjadi perancang utama, di sayap kiri atau kanan ataupun dibahagian tengah sepertimana musim ini, semuanya mampu dilaksanakan Giggs dengan berkesan. "Saya rasa ketika ini dia tetap sama seperti sebelumnya. Satu jangkamasa yang begitu lama dan dia bermain dengan keinginan yang cukup tinggi. Saya jarang memberikan kata-kata hebat untuk individu lain, tapi Ryan Giggs adalah pemain yang sangat, sangat hebat. Dia dianugerahi dengan bakat dan kemampuan luar biasa dan merupakan seorang pemain bolasepak sejati" tambahnya lagi. Giggs merupakan pemain United paling istimewa tetapi dia hampir menjadi pemain Manchester City jika tidak kerana campurtangan Sir Alex Ferguson. Giggs menghadiri Sekolah Kecemerlangan Manchester City ketika zaman remaja tetapi Sir Alex melakukan kunjungan peribadi ke rumah Giggs pada hari lahirnya yang ke 14 lantas menandatanganinya untuk dibawa ke Old Trafford.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan