Manchester United berpeluang menjarakkan kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris apabila melayan kunjungan Sunderland awal pagi ini. Steve Bruce akan pulang semula ke Old Trafford dengan misi sekurang-kurangnya mencuri satu mata dari bekas kelabnya itu. Dengan Chelsea dan Liverpool yang akan berentap sesama sendiri esok, peluang ini seharusnya digunakan oleh United untuk terus melebarkan kedudukan ditakhta liga. Ketika ini United terikat 18 mata bersama Chelsea namun skuad Red Devils mempunyai kelebihan jaringan gol. Dengan United sudah mula menemui sentuhan pemusnah mereka, agak sukar buat skuad The Black Cats melakukan sesuatu di Old Trafford nanti. Sejak tewas mengejut kepada Burnley, anak-anak buah Sir Alex Ferguson sudah merakamkan sembilan kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan pasukan-pasukan yang dianggap pencabar musim ini seperti Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Manchester City.
Sir Alex dijangka merehatkan Ryan Giggs pagi ini bagi memberi ruang buat pemain veteran itu memulihkan semula kecergasannya. Giggs muncul pemain paling cemerlang United setakat ini dan prestasinya mendapat pujian menggunung dari Ferguson sendiri. Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov pastinya akan mengetuai jentera penggempur United memandangkan Michael Owen terpaksa direhatkan selama tiga minggu akibat kecederaan paha. Di bahagian tengah pula, Ferguson dijangka mengekalkan gandingan Michael Carrick dan Anderson yang begitu cemerlang ketika menentang Wolfsburg kelmarin manakala sayap kanan dan kiri akan diisi oleh Antonio Valencia dan Park Ji Sung. Barisan pertahanan United pastinya tidak banyak berubah dengan Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, John O'Shea dan Patrice Evra akan mengisi posisi tersebut. Wes Brown, Jonny Evans dan Fabio da Silva mungkin menjadi pilihan jika Ferguson berhasrat merombak benteng United dalam perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan