Edwin Van Der Sar sudah pulih dari kecederaan tangannya dan bersedia kembali semula mengisi posisinya sebagai penjaga gol utama Manchester United. Van Der Sar bertekad memberikan prestasi terbaiknya buat United bagi merampas semula kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dari Chelsea. United kini menghuni tangga kedua dengan 19 mata, 2 mata di belakang pendahulu, Chelsea. Ramai penyokong United berpendapat, Ben Foster sebenarnya masih belum bersedia menggantikan tempat Van Der Sar sebagai penjaga gawang utama United. Ini terbukti dengan beberapa siri kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol simpanan England itu terutamanya ketika pertemuan derby menentang Manchester City, 21 September lalu. Van Der Sar beraksi penuh ketika membantu skuad simpanan United menewaskan skuad simpanan Everton minggu lalu. Gol kemenangan United dihasilkan oleh bintang muda mereka, Federico Macheda.
Van Der Sar akan menggunakan sepenuhnya tempoh rehat liga kerana tidak terlibat dengan kempen kelayakan Piala Dunia 2010 bagi menyediakan dirinya untuk pertembungan dengan Bolton Wanderers minggu hadapan. Ia menyatakan bahawa perlawanan menentang Sunderland seharusnya menjadi kegagalan terakhir United meraih mata penuh. "Agak mengecewakan apabila kami gagal meraih mata penuh ketika menentang Sunderland terutama ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri. Kami tidak sepatutnya kehilangan mata lagi selepas ini dan perlu segera melupakan keputusan minggu lalu. Kami perlu terus positif untuk memburu keputusan lebih baik" ujar Van Der Sar. "Bagi rakan-rakan yang tidak beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia, banyak kerja yang perlu dibuat sebelum menghadapi Bolton. Kami juga akan melihat bagaimana keadaan setiap individu yang pulang dari tugasan antarabangsa", tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan