09 Februari 2010

UNITED LEBIH PRODUKTIF TANPA RONALDO

http://www.themanchesterunited.com/UserFiles/2009/9/7/Andrew-Cole---Wayne-Rooney-.jpg
Keputusan Manchester United menjual Cristiano Ronaldo ternyata bukan satu kesilapan besar buat kelab berpangkalan di Old Trafford itu. Ini terbukti biarpun tanpa kelibat Ronaldo, skuad Red Devils masih lagi pasukan yang cukup digeruni dan dicemburui lawan malah lebih produktif dalam menghasilkan gol. Ketiadaan Ronaldo juga memberi ruang kepada Wayne Rooney menonjolkan kehebatannya musim ini dan penyerang antarabangsa England itu muncul penjaring terbanyak liga setakat ini. Musim lalu Rooney lebih banyak bertindak sebagai pengumpan dan penyerang sokongan di belakang Ronaldo sehingga pemain antarabangsa Portugal itu mampu menjaringkan 42 gol dalam pelbagai kejohanan. Kini setelah ketiadaan Ronaldo, Rooney diberikan tanggungjawab sebagai pemain yang menjadi `sasaran utama' dalam setiap gerakan United. Tanggungjawab itu nampaknya berjaya dipikul dengan baik oleh Rooney dan prestasi hebatnya ketika ini mendapat pujian dari kawan mahupun lawan malah Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menilai Rooney sebagai penyerang terbaik dunia ketika ini.
Wayne Rooney was named Barclays Player of the Month for January
Statistik menunjukkan selepas mengharungi 25 perlawanan liga musim ini, United sudah menjaringkan 61 gol berbanding 44 gol yang dicatatkan musim lalu. Ini menunjukkan jentera serangan United lebih tajam selepas mencatatkan lebihan 17 gol berbanding musim lalu pada peringkat yang sama. Selepas apa yang dipamerkan United musim ini, ramai pemerhati bolasepak menilai bahawa Rooney sebenarnya adalah kunci utama kekuatan skuad Red Devils selama ini. Rooney sememangnya merupakan penyerang serba lengkap era bolasepak moden menerusi larian-larian pantasnya, cekap menghidu peluang di depan pintu gol, tidak mudah goyah apabila diasak pertahanan lawan serta mampu menjaringkan gol dalam berbagai situasi. Jika ada kelebihan Ronaldo yang tidak dimiliki Rooney ianya lebih merupakan keterampilan dalam permainan. Corak permainan Rooney dilihat agak `keras' manakala Ronaldo pula lebih mementingkan gaya dalam permainannya, namun Rooney lebih efektif berbanding Ronaldo. Rooney telah dipilih sebagai pemain terbaik bagi bulan Januari dan menerima anugerah kasut emas kerana muncul pemain pertama menjaringkan 20 gol musim ini.

07 Februari 2010

UNITED RAMPAS KEMBALI KEDUDUKAN TERATAS

Wayne Rooney of Manchester United scores to make it 1-0
Tanpa belas United merobek gawang kelab bermasalah, Portsmouth lima kali dan kembali merampas kedudukan teratas liga dengan kelebihan satu mata ke atas pencabar mereka Chelsea. Kelebihan satu mata milik United boleh dipintas skuad The Blues itu dengan syarat mereka mesti menewaskan Arsenal tengah malam ini dan jika keputusan sebaliknya berlaku, United kekal sebagai pendahulu. Skuad bergelar The Pompey bimbingan Avram Grant yang dilanda masalah kewangan dan berada dalam zon penyingkiran berharap mampu melakukan sesuatu di Old Trafford tetapi mereka jelas bukan tandingan United. Sejak wisel permulaan ditiupkan, United menguasai segenap penjuru padang dengan hampir kesemua pemain lawan dipaksa berkubu dikawasan sendiri. Biarpun cuba bertahan, kubu pelawat akhirnya berjaya dirobek melalui tandukan Wayne Rooney diminit ke 40 yang menerima hantaran dari Darren Fletcher dari sebelah kanan. Keyakinan pelawat semakin luntur apabila selang lima minit selepas itu gawang mereka bocor lagi apabila hantaran lintang Nani tertampan ke gawang sendiri oleh pertahanan mereka Anthony Vanden Borre.
Nani of Manchester United in action with Marc Wilson of Portsmouth
Bersambung di separuh masa kedua, United terus memberi tekanan buat pelawat dan mereka menambah gol lagi melalui Michael Carrick diminit ke 59. Rembatan dari jarak 25 meter pemain tengah itu terkena Richard Hughes sekaligus memperdaya David James buat kali ketiga. United kemudiannya hanya memerlukan tiga minit untuk menambah gol keempat melalui gerakan Dimitar Berbatov dihujung petak penalti lawan. Patrice Evra menutup pesta gol United diminit ke 69 apabila hantaran lintangnya dari sebelah kiri yang cuba ditampan Marc Wislon akhirnya menerjah ke gawang sendiri. Sementara itu Sir Alex Ferguson menganggap kesabaran pemainnya merupakan kunci utama kemenangan besar United semalam. "Kami terpaksa bersabar menanti gol pertama dan terus memberi tekanan kepada lawan. Saya rasa itu sangat penting", kata Ferguson kepada MUTV. "Mereka menyukarkan kami sepanjang separuh masa pertama namun akhirnya kami berjaya menjaringkan gol sebelum waktu rehat dan bertuah memperolehi gol kedua selepas itu," tambah Ferguson.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Liverpool (1) lwn Everton (0)
Stoke City (3) lwn Blackburn Rovers (0)
Hull City (2) lwn Manchester City (1)
Burnley (2) lwn West Ham (1)
Bolton (0) lwn Fulham (0)
Tottenham Hotspurs (0) lwn Aston Villa (0)
Sunderland (1) lwn Wigan Athletic (1)

06 Februari 2010

FERDINAND KAPTEN BARU ENGLAND

http://cache.daylife.com/imageserve/070E23v1A80mj/610x.jpg
Rio Ferdinand telah dilantik sebagai kapten baru skuad kebangsaan England menggantikan John Terry. Kelmarin Terry telah dilucutkan jawatannya sebagai ketua pasukan oleh Fabio Capello kerana skandal seksnya dengan Veronica Perroncel yang juga merupakan bekas teman wanita Wayne Bridge. Bridge juga merupakan bekas rakan sepasukan Terry di Chelsea sebelum pemain itu berhijrah ke Manchester City musim lalu. Perlantikan Ferdinand boleh dianggap satu kejutan memandangkan pemerhati meramalkan Steven Gerrard yang sebelum ini berperanan sebagai penolong kepada Terry akan diberikan lilitan lengan ketua pasukan skuad Three Lions. Bagaimanapun peranan Gerrard dikekalkan sebagai penolong ketua pasukan. Seorang lagi calon yang hangat diperkatakan akan mengambilalih tempat Terry ialah penyerang Manchester United, Wayne Rooney. Pemilihan Ferdinand nampaknya meneruskan kecenderungan Capello memilih pemain pertahanan sebagai ketua pasukan skuad pimpinannya.

UNITED SEDIA PINTAS SEMULA CHELSEA

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2010/1/31/1264969381960/Wayne-Rooney-002.jpg
Manchester United akan menanti kunjungan pasukan bermasalah, Portsmouth di Old Trafford dengan misi memintas kedudukan Chelsea di tangga teratas liga. Anak-anak buah Sir Alex Ferguson dilihat tidak menghadapi masalah untuk meraih mata maksimum dalam perlawanan ini tatkala lawan mereka sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran. Tambahan pula kemenangan ke atas Arsenal, antara pencabar serius kejuaraan liga musim ini pastinya akan menyuntik keyakinan ke atas juara bertahan itu. Segalanya tampak memihak kepada United ketika ini apabila dua pencabar utama mereka Chelsea dan Arsenal yang akan bertembung sesama sendiri malam esok berada dalam siatuasi tidak menentu. Kem Chelsea dibelenggu dengan skandal seks ketua pasukan berpengaruh mereka, John Terry manakala Arsenal pula diuji dengan krisis keyakinan diri selepas rentetan 11 perlawanan tanpa kalah mereka lebur ditangan United minggu lalu. Sementara itu, Wayne Rooney menerima suntikan semangat menjelang perlawanan ini selepas dipilih sebagai pemain terbaik bagi bulan Januari.

Sepanjang bulan lalu, Rooney menjaringkan enam gol dalam pelbagai kejohanan dan jaringannya dimasa kecederaan berjaya membawa United ke perlawanan akhir Piala Carling selepas mengenepikan jiran setempat Manchester City. Minggu lalu Rooney sekali lagi membuktikan bahawa sentuhan pemusnah semakin tajam apabila meledak gol kedua United di Stadium Emirates ketika United merakam kemenangan 3-1 ke atas skuad The Gunners. Perlawanan malam ini juga akan menyaksikan kemunculan semula Nemanja Vidic selepas pulih dari kecederaan dan pertahanan antarabangsa Serbia itu dijangka akan digandingkan dengan Jonny Evans. Rafael da Silva yang mengalami kecederaan ketika pertemuan dengan Arsenal minggu lalu masih belum cergas sepenuhnya. Biarpun turun menjalani latihan, Ferguson pastinya tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain muda itu dalam kesebelasan utamanya. Tempatnya di sebelah kanan akan diisi oleh Wes Brown manakala Patrice Evra disebelah kiri. Di bahagian tengah pula Ferguson dijangka menurunkan Antonio Valencia, Paul Scholes, Darren Fletcher dan Park Ji Sung manakala Rooney dan Berbatov akan bergandingan dijentera serangan.

03 Februari 2010

HENRY TABIK ROONEY

Thierry Henry by lkalamujic.
Thierry Henry

Bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry tidak dapat menyembunyikan kekagumannya terhadap Wayne Rooney. Sabtu lalu, Henry melihat sendiri bagaimana barisan Arsenal cuba melakukan apa yang terdaya untuk mengekang Rooney di sepanjang perlawanan namun akhirnya gagal menangani kehebatan penyerang antarabangsa England itu. Arsenal terpaksa akur bahawa United adalah pasukan yang jauh lebih baik selepas mereka tewas 1-3 di gelanggang sendiri kepada juara bertahan itu. Menurut Henry, Rooney menjadi pemain yang jauh lebih baik selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo di Old Trafford dan prestasi terkini penyerang itu menyebabkan ketiadaan Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid tidak lagi dirasai. Rooney mencatatkan gol peribadi ke 100 dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas menjaringkan gol kedua United di Stadium Emirates Sabtu lalu. "Sebelum ini tidak ramai yang menghiraukan kehadiran Rooney kerana dia belum mencatatkan rekod seperti apa yang dilakukannya ketika ini", ujar Henry yang menjaringkan 174 gol sepanjang penampilannya bersama Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris. "Kini dia telah menjaringkan gol dengan gaya yang cukup memukau. Musim ini anda akan melihat Rooney sebagai pemain yang cukup berbeza. Jika dia terus bertahan di sana (Old Trafford) dalam tempoh sepuluh tahun, saya pasti dia akan terus menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya", tambah Henry lagi.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100127/capt.26d99fe5fde7498a981b2245ed40d1bc.britain_soccer_league_cup_nsh133.jpg
Sementara itu, pihak pengurusan United telah bersiap sedia memperbaharui kontrak penyerang berusia 24 tahun itu yang akan berakhir pada tahun 2012. Kelibat Rooney musim ini turut diintai dua gergasi dari Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid malah Pengerusi Madrid, Florentino Perez pernah mengeluarkan kenyataan untuk melakukan apa yang terdaya bagi membawa Rooney ke Santiago Bernabeu. United diberitakan akan memberikan kontrak jangka panjang kepada Rooney sehingga membolehkan pemain yang dibawa dari Everton itu mengakhiri kariernya di Old Trafford. "Kami berharap ia akan terus bersama kami sehingga penghujung kariernya. Rooney memiliki kontrak sehingga tahun 2012 namun kami akan memperbaharuinya selepas musim ini berakhir. Kami akan menawarkan kontrak jangka panjang kepadanya", kata David Gill yang juga merupakan Ketua Eksekutif United. Rooney dijangka akan ditawarkan kontrak selama lima tahun dengan gaji sebanyak 150,000 Pound seminggu dan sekaligus menjadikannya antara pemain yang menerima gaji paling tinggi di England. "Kami memang masih belum bertemu untuk melakukan perbincangan kerana Wayne sedang memberikan sepenuh perhatian terhadap bolasepak dan Piala Dunia 2010. Dia baru berusia 24 tahun dan akan menikmati tahun-tahun terbaiknya. Selain dari itu jarang benar pemain Inggeris yang ingin meninggalkan United", tambah Gill lagi.

02 Februari 2010

NANI BUAT FERGIE PENING KEPALA

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100131/i/r230372558.jpg
Sir Alex Ferguson mengakui bahawa prestasi cemerlang yang ditunjukkan pemain sayapnya dari Portugal, Nani sejak kebelakangan ini membuatkan pengurus berbangsa Scotland itu pening kepala. Ferguson ternyata berpuas hati dengan apa yang dipamerkan Nani mutakhir ini namun tempatnya dalam kesebelasan utama United masih belum terjamin. United memiliki seorang lagi pemain handalan di posisi sayap kanan iaitu Luis Antonio Valencia yang pastinya tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh Ferguson. Nani sebelum ini sering diberikan peranan kecil dan hanya diturunkan ketika United berhadapan dengan lawan dari kelompok bawahan. Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati pemain itu yang sebelumnya dilabel sebagai pengganti kepada Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid. Malah Nani pernah mengancam untuk berhijrah keluar dari Old Trafford kerana merasakan situasi ini boleh menggugat tempatnya dalam skuad kebangsaan Portugal ke Piala Dunia Afrika Selatan. Kesempatan yang diberikan Ferguson ketika United menentang Burnley di Old Trafford pada 16 Januari lalu digunakan sepenuhnya oleh Nani menunjukkan perwatakan sebenarnya.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100131/capt.98007859b2d24da0a097345b5574c470.britain_soccer_premier_league_lst116.jpg
Nani terus diberi kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama ketika United berhadapan Hull City dalam kempen liga dan Manchester City dalam perlawanan peringkat kedua separuh akhir Piala Carling. Nani terus mempamerkan belangnya ketika United membelasah Arsenal 3-1 di Stadium Emirates, Sabtu lalu dengan memainkan peranan penting ke atas dua gol awal yang dihasilkan United. Akibatnya, Ferguson yang sebelum ini berkira-kira mahu menurunkan Valencia ketika United menanti kunjungan Portsmouth dalam perlawanan Liga Perdana hujung minggu ini terpaksa memikirkan semula niatnya. "Prestasi Nani semakin hebat dan dia semakin dewasa. Dia masih keanak-anakan ketika mula tiba di kelab ini namun anda sedang melihat kemajuannya sekarang. Dia merupakan pemuda yang pemalu dan saya berharap perlawanan ketika menentang Arsenal akan memberikannya keyakinan diri bahawa dia adalah pemain Manchester United", ujar Ferguson. "Kami semua senang dengannya dan sangat luarbiasa apabila saya bercakap dengan pemain, mereka mahukan agar Nani beraksi. Ini membuatkan saya terpaksa memilih antara Valencia dan Nani", tambah Ferguson lagi.

01 Februari 2010

UNITED TAKLUK ARSENAL DI EMIRATES

Nani of Manchester United is congratulated after his effort on goal in pushed in for an Manuel Almunia of Arsenal own goal
Manchester United mengulangi pencapaian mereka musim lalu selepas berjaya menundukkan Arsenal 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris tengah malam tadi. Musim lalu United turut berjaya membolosi gawang Arsenal tiga kali di Stadium Emirates dalam perlawanan peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara. Memulakan aksi saingan, kedua-dua pasukan seperti yang diramalkan saling berbalas serangan dengan Cecs Fabregas dan Wayne Rooney merupakan pemain yang menjadi tumpuan buat pasukan masing-masing. United terlebih dahulu mencemas benteng lawan apabila sepakan sudut Luis Nani diminit ke 8 yang cuba ditanduk keluar Cesc Fabregas sebaliknya menuju ke gawang sendiri namun berjaya ditampan Samir Nasri di atas garisan gol. Lima minit selepas itu giliran Andrei Arshavin pula melakukan gerakan dari sebelah kiri. Biarpun cuba dihalang Wes Brown namun pemain antarabangsa Rusia itu sempat melepaskan rembatan yang sedikit tersasar dari pintu gol United. United mencipta peluang lagi diminit ke 26 apabila Wayne Rooney yang menerima hantaran Michael Carrick sekadar melihat percubaan jarak dekatnya diselamatkan Manuel Almunia. Seminit selepas itu United kembali mencemaskan benteng lawan tetapi rembatan Nani dari dalam kotak penalti sedikit tersasar kesebelah kiri gawang. United akhirnya membuka tirai jaringan diminit ke 33 melalui gerakan bijak Nani dari sebelah kanan yang berjaya menewaskan tiga pemain lawan sebelum sepakan lambungnya gagal ditepis keluar Manuel Almunia. Diminit ke 37, United terus menggamamkan penyokong tuan rumah apabila melebarkan penguasaan mereka melalui gol kedua yang dijaringkan Wayne Rooney melalui gerakan pantas yang menarik.
Ji-Sung Park of Manchester United shoots and scores the third goal
Bersambung di babak kedua, United tidak perlu menunggu lama untuk menambah derita tuan rumah melalui gol ketiga yang dijaringkan Park Ji Sung diminit ke 52. Ji Sung yang menerima hantaran Michael Carrick dari kawasan sendiri berjaya melarikan bola kegawang lawan dan dia yang hanya berhadapan dengan Manuel Almunia mudah menolak masuk untuk terus menjarakkan kelebihan milik United. Arsenal akhirnya memperolehi gol saguhati mereka melalui Thomas Vermaelen diminit ke 79. Voli dari pertahanan antarabangsa Belgium itu yang terkena Wes Brown terus menerjah jaring dan mengelirukan Edwin Van Der Sar. Kemenangan ini juga menyaksikan United berjaya menjarakkan kedudukan mereka dari anak-anak buah Arsene Wenger itu dengan kelebihan empat mata dan hanya ketinggalan satu mata di belakang Chelsea selaku pendahulu. Nani turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ini dan persembahan cemerlangnya sejak akhir-akhir ini pastinya melegakan Sir Alex Ferguson. Nani membuktikan kepada Ferguson bahawa dia merupakan pemain yang perlu diberikan perhatian dan tempat dalam kesebelasan utama United selepas ini. Kekalahan Arsenal di gelanggang sendiri buat musim kedua berturut-turut kepada United menimbulkan persoalan tentang kemampuan anak-anak buah Arsene Wenger itu menangani tekanan bagi menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang kali terakhir mereka menangi pada tahun 2002. Barisan Arsenal yang dilabel punya potensi untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini terpaksa akur dengan corak permainan kemas dan berdisiplin skuad The Red Devils.