01 Februari 2010

UNITED TAKLUK ARSENAL DI EMIRATES

Nani of Manchester United is congratulated after his effort on goal in pushed in for an Manuel Almunia of Arsenal own goal
Manchester United mengulangi pencapaian mereka musim lalu selepas berjaya menundukkan Arsenal 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris tengah malam tadi. Musim lalu United turut berjaya membolosi gawang Arsenal tiga kali di Stadium Emirates dalam perlawanan peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara. Memulakan aksi saingan, kedua-dua pasukan seperti yang diramalkan saling berbalas serangan dengan Cecs Fabregas dan Wayne Rooney merupakan pemain yang menjadi tumpuan buat pasukan masing-masing. United terlebih dahulu mencemas benteng lawan apabila sepakan sudut Luis Nani diminit ke 8 yang cuba ditanduk keluar Cesc Fabregas sebaliknya menuju ke gawang sendiri namun berjaya ditampan Samir Nasri di atas garisan gol. Lima minit selepas itu giliran Andrei Arshavin pula melakukan gerakan dari sebelah kiri. Biarpun cuba dihalang Wes Brown namun pemain antarabangsa Rusia itu sempat melepaskan rembatan yang sedikit tersasar dari pintu gol United. United mencipta peluang lagi diminit ke 26 apabila Wayne Rooney yang menerima hantaran Michael Carrick sekadar melihat percubaan jarak dekatnya diselamatkan Manuel Almunia. Seminit selepas itu United kembali mencemaskan benteng lawan tetapi rembatan Nani dari dalam kotak penalti sedikit tersasar kesebelah kiri gawang. United akhirnya membuka tirai jaringan diminit ke 33 melalui gerakan bijak Nani dari sebelah kanan yang berjaya menewaskan tiga pemain lawan sebelum sepakan lambungnya gagal ditepis keluar Manuel Almunia. Diminit ke 37, United terus menggamamkan penyokong tuan rumah apabila melebarkan penguasaan mereka melalui gol kedua yang dijaringkan Wayne Rooney melalui gerakan pantas yang menarik.
Ji-Sung Park of Manchester United shoots and scores the third goal
Bersambung di babak kedua, United tidak perlu menunggu lama untuk menambah derita tuan rumah melalui gol ketiga yang dijaringkan Park Ji Sung diminit ke 52. Ji Sung yang menerima hantaran Michael Carrick dari kawasan sendiri berjaya melarikan bola kegawang lawan dan dia yang hanya berhadapan dengan Manuel Almunia mudah menolak masuk untuk terus menjarakkan kelebihan milik United. Arsenal akhirnya memperolehi gol saguhati mereka melalui Thomas Vermaelen diminit ke 79. Voli dari pertahanan antarabangsa Belgium itu yang terkena Wes Brown terus menerjah jaring dan mengelirukan Edwin Van Der Sar. Kemenangan ini juga menyaksikan United berjaya menjarakkan kedudukan mereka dari anak-anak buah Arsene Wenger itu dengan kelebihan empat mata dan hanya ketinggalan satu mata di belakang Chelsea selaku pendahulu. Nani turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ini dan persembahan cemerlangnya sejak akhir-akhir ini pastinya melegakan Sir Alex Ferguson. Nani membuktikan kepada Ferguson bahawa dia merupakan pemain yang perlu diberikan perhatian dan tempat dalam kesebelasan utama United selepas ini. Kekalahan Arsenal di gelanggang sendiri buat musim kedua berturut-turut kepada United menimbulkan persoalan tentang kemampuan anak-anak buah Arsene Wenger itu menangani tekanan bagi menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang kali terakhir mereka menangi pada tahun 2002. Barisan Arsenal yang dilabel punya potensi untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini terpaksa akur dengan corak permainan kemas dan berdisiplin skuad The Red Devils.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan