Sir Alex Ferguson mengakui bahawa prestasi cemerlang yang ditunjukkan pemain sayapnya dari Portugal, Nani sejak kebelakangan ini membuatkan pengurus berbangsa Scotland itu pening kepala. Ferguson ternyata berpuas hati dengan apa yang dipamerkan Nani mutakhir ini namun tempatnya dalam kesebelasan utama United masih belum terjamin. United memiliki seorang lagi pemain handalan di posisi sayap kanan iaitu Luis Antonio Valencia yang pastinya tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh Ferguson. Nani sebelum ini sering diberikan peranan kecil dan hanya diturunkan ketika United berhadapan dengan lawan dari kelompok bawahan. Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati pemain itu yang sebelumnya dilabel sebagai pengganti kepada Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid. Malah Nani pernah mengancam untuk berhijrah keluar dari Old Trafford kerana merasakan situasi ini boleh menggugat tempatnya dalam skuad kebangsaan Portugal ke Piala Dunia Afrika Selatan. Kesempatan yang diberikan Ferguson ketika United menentang Burnley di Old Trafford pada 16 Januari lalu digunakan sepenuhnya oleh Nani menunjukkan perwatakan sebenarnya.
Nani terus diberi kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama ketika United berhadapan Hull City dalam kempen liga dan Manchester City dalam perlawanan peringkat kedua separuh akhir Piala Carling. Nani terus mempamerkan belangnya ketika United membelasah Arsenal 3-1 di Stadium Emirates, Sabtu lalu dengan memainkan peranan penting ke atas dua gol awal yang dihasilkan United. Akibatnya, Ferguson yang sebelum ini berkira-kira mahu menurunkan Valencia ketika United menanti kunjungan Portsmouth dalam perlawanan Liga Perdana hujung minggu ini terpaksa memikirkan semula niatnya. "Prestasi Nani semakin hebat dan dia semakin dewasa. Dia masih keanak-anakan ketika mula tiba di kelab ini namun anda sedang melihat kemajuannya sekarang. Dia merupakan pemuda yang pemalu dan saya berharap perlawanan ketika menentang Arsenal akan memberikannya keyakinan diri bahawa dia adalah pemain Manchester United", ujar Ferguson. "Kami semua senang dengannya dan sangat luarbiasa apabila saya bercakap dengan pemain, mereka mahukan agar Nani beraksi. Ini membuatkan saya terpaksa memilih antara Valencia dan Nani", tambah Ferguson lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan