Thierry Henry
Bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry tidak dapat menyembunyikan kekagumannya terhadap Wayne Rooney. Sabtu lalu, Henry melihat sendiri bagaimana barisan Arsenal cuba melakukan apa yang terdaya untuk mengekang Rooney di sepanjang perlawanan namun akhirnya gagal menangani kehebatan penyerang antarabangsa England itu. Arsenal terpaksa akur bahawa United adalah pasukan yang jauh lebih baik selepas mereka tewas 1-3 di gelanggang sendiri kepada juara bertahan itu. Menurut Henry, Rooney menjadi pemain yang jauh lebih baik selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo di Old Trafford dan prestasi terkini penyerang itu menyebabkan ketiadaan Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid tidak lagi dirasai. Rooney mencatatkan gol peribadi ke 100 dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas menjaringkan gol kedua United di Stadium Emirates Sabtu lalu. "Sebelum ini tidak ramai yang menghiraukan kehadiran Rooney kerana dia belum mencatatkan rekod seperti apa yang dilakukannya ketika ini", ujar Henry yang menjaringkan 174 gol sepanjang penampilannya bersama Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris. "Kini dia telah menjaringkan gol dengan gaya yang cukup memukau. Musim ini anda akan melihat Rooney sebagai pemain yang cukup berbeza. Jika dia terus bertahan di sana (Old Trafford) dalam tempoh sepuluh tahun, saya pasti dia akan terus menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya", tambah Henry lagi.
Sementara itu, pihak pengurusan United telah bersiap sedia memperbaharui kontrak penyerang berusia 24 tahun itu yang akan berakhir pada tahun 2012. Kelibat Rooney musim ini turut diintai dua gergasi dari Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid malah Pengerusi Madrid, Florentino Perez pernah mengeluarkan kenyataan untuk melakukan apa yang terdaya bagi membawa Rooney ke Santiago Bernabeu. United diberitakan akan memberikan kontrak jangka panjang kepada Rooney sehingga membolehkan pemain yang dibawa dari Everton itu mengakhiri kariernya di Old Trafford. "Kami berharap ia akan terus bersama kami sehingga penghujung kariernya. Rooney memiliki kontrak sehingga tahun 2012 namun kami akan memperbaharuinya selepas musim ini berakhir. Kami akan menawarkan kontrak jangka panjang kepadanya", kata David Gill yang juga merupakan Ketua Eksekutif United. Rooney dijangka akan ditawarkan kontrak selama lima tahun dengan gaji sebanyak 150,000 Pound seminggu dan sekaligus menjadikannya antara pemain yang menerima gaji paling tinggi di England. "Kami memang masih belum bertemu untuk melakukan perbincangan kerana Wayne sedang memberikan sepenuh perhatian terhadap bolasepak dan Piala Dunia 2010. Dia baru berusia 24 tahun dan akan menikmati tahun-tahun terbaiknya. Selain dari itu jarang benar pemain Inggeris yang ingin meninggalkan United", tambah Gill lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan