07 Februari 2010

UNITED RAMPAS KEMBALI KEDUDUKAN TERATAS

Wayne Rooney of Manchester United scores to make it 1-0
Tanpa belas United merobek gawang kelab bermasalah, Portsmouth lima kali dan kembali merampas kedudukan teratas liga dengan kelebihan satu mata ke atas pencabar mereka Chelsea. Kelebihan satu mata milik United boleh dipintas skuad The Blues itu dengan syarat mereka mesti menewaskan Arsenal tengah malam ini dan jika keputusan sebaliknya berlaku, United kekal sebagai pendahulu. Skuad bergelar The Pompey bimbingan Avram Grant yang dilanda masalah kewangan dan berada dalam zon penyingkiran berharap mampu melakukan sesuatu di Old Trafford tetapi mereka jelas bukan tandingan United. Sejak wisel permulaan ditiupkan, United menguasai segenap penjuru padang dengan hampir kesemua pemain lawan dipaksa berkubu dikawasan sendiri. Biarpun cuba bertahan, kubu pelawat akhirnya berjaya dirobek melalui tandukan Wayne Rooney diminit ke 40 yang menerima hantaran dari Darren Fletcher dari sebelah kanan. Keyakinan pelawat semakin luntur apabila selang lima minit selepas itu gawang mereka bocor lagi apabila hantaran lintang Nani tertampan ke gawang sendiri oleh pertahanan mereka Anthony Vanden Borre.
Nani of Manchester United in action with Marc Wilson of Portsmouth
Bersambung di separuh masa kedua, United terus memberi tekanan buat pelawat dan mereka menambah gol lagi melalui Michael Carrick diminit ke 59. Rembatan dari jarak 25 meter pemain tengah itu terkena Richard Hughes sekaligus memperdaya David James buat kali ketiga. United kemudiannya hanya memerlukan tiga minit untuk menambah gol keempat melalui gerakan Dimitar Berbatov dihujung petak penalti lawan. Patrice Evra menutup pesta gol United diminit ke 69 apabila hantaran lintangnya dari sebelah kiri yang cuba ditampan Marc Wislon akhirnya menerjah ke gawang sendiri. Sementara itu Sir Alex Ferguson menganggap kesabaran pemainnya merupakan kunci utama kemenangan besar United semalam. "Kami terpaksa bersabar menanti gol pertama dan terus memberi tekanan kepada lawan. Saya rasa itu sangat penting", kata Ferguson kepada MUTV. "Mereka menyukarkan kami sepanjang separuh masa pertama namun akhirnya kami berjaya menjaringkan gol sebelum waktu rehat dan bertuah memperolehi gol kedua selepas itu," tambah Ferguson.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Liverpool (1) lwn Everton (0)
Stoke City (3) lwn Blackburn Rovers (0)
Hull City (2) lwn Manchester City (1)
Burnley (2) lwn West Ham (1)
Bolton (0) lwn Fulham (0)
Tottenham Hotspurs (0) lwn Aston Villa (0)
Sunderland (1) lwn Wigan Athletic (1)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan