12 Mac 2010

JI SUNG, KUNCI KEJAYAAN UNITED

http://fr.fifa.com/mm/photo/worldfootball/clubfootball/01/08/86/96/1088696_full-prt.jpg
Sir Alex Ferguson menilai Park Ji-Sung merupakan pemain yang menjadi kunci utama di sebalik kejayaan United menewaskan AC Milan dengan jaringan 4-0 di Old Trafford semalam. United berjaya menyingkirkan Milan buat pertama kali dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan mara ke peringkat suku akhir dengan kemenangan agregat 7-2. Biarpun hanya menyumbangkan satu gol dalam perlawanan itu, Ji-Sung dilihat pemain yang berjaya `mematikan' permainan Milan. Menurut Ferguson, keupayaan Wayne Rooney sebagai mesin gol United ketika ini memang tidak boleh dinafikan tetapi Ji-Sung berjaya memainkan peranannya dengan berkesan hingga berjaya melumpuhkan pergerakan Ronaldinho dan Andrea Pirlo. Ronaldinho dan Pirlo memang diketahui merupakan pemain yang menjadi kunci utama dalam setiap gerakan-gerakan Milan, tetapi Ji-Sung berjaya membunuh karekter kedua-dua perancang utama lawan. "Park adalah kunci utama kejayaan kami. Kita selalu bercakap tentang Rooney dan dia memang pemain yang hebat. Namun sikap, disiplin dan pengorbanan Park membolehkan kami memenangi perlawanan ini secara taktikal. Pirlo adalah pemain yang penting bagi Milan", kata Ferguson.

Kapten United, Gary Neville turut berkongsi pendapat dengan Ferguson dan memuji Ji-Sung kerana berjaya memainkan peranan dalam mematikan pergerakan Ronaldinho. Milan jelas hilang kreativiti dan daya saing selepas kedua-dua tonggak utama mereka itu gagal memainkan peranan dengan berkesan. "Saya tidak pasti bila dan di mana ada pemain yang mampu mematikan pergerakan Ronaldinho dengan mudah. Namun anda harus melihat apa yang telah Park lakukan iaitu memastikan Ronaldinho tidak mendapat bola", kata Neville. Kemenangan 4-0 itu membolehkan United membalas dendam kekalahan mereka kepada Milan dalam edisi 2007. Biarpun ketika itu United menang 3-2 di Old Trafford, Milan berjaya menyingkirkan Red Devils dengan agregat 5-3 selepas menang 3-0 di San Siro dan kemudiannya muncul juara pada tahun itu. Sementara itu, David Beckham tetap gembira walaupun Milan tewas kepada United dalam perlawanan itu. Melihat bekas pasukannya terus mengalami peningkatan, Beckham yakin United mampu mengakhiri musim ini dengan muncul sebagai juara Eropah.

11 Mac 2010

LIGA JUARA-JUARA: UNITED MELANGKAH KE SUKU AKHIR

http://d.yimg.com/a/p/ap/20100310/capt.ad9c7bafa0f047af9973ef972072f092.britain_soccer_champions_league_lts123.jpg
Dua gol jaringan Wayne Rooney membantu Manchester United melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas skuad Red Devils membelasah AC Milan 4-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Selepas berjaya menewaskan Milan 3-2 di San Siro dalam perlawanan peringkat pertama, United mara ke suku akhir dengan kelebihan agregat 7-2. Kemenangan bergaya itu juga menyaksikan United berjaya menebus kembali kekalahan mereka kepada Milan dalam pertembungan edisi 2007. Milan ketika itu berjaya mara keseparuh akhir selepas menyingkirkan United dengan agregat 5-3. Milan yang tertekan dan mahu mencari gol awal lebih menguasai bola pada permulaan permainan tetapi umpanan-umpanan dari bahagian tengah gagal dimanfaatkan barisan penyerang mereka yang beraksi tanpa Alexandre Pato. Gerakan-gerakan Milan hasil ilham Ronaldinho dan Andrea Pirlo berjaya dipatahkan benteng United yang dikemudi Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Rooney mula menguji gawang Milan yang dikawal Christian Abbiati seawal minit keempat tetapi percubaannya dari luar petak penalti sedikit tersasar. Milan pula hampir mendahului diminit ke 8 melalui Ronaldinho tetapi tandukan perancang Milan itu hanya sedikit tersasar ke sebelah kiri. Diminit ke 11, giliran Nani pula mencemaskan gawang Milan tetapi rembatan sayap Portugal itu berjaya ditepis keluar Abbiati. Dua minit selepas itu, gawang Milan akhirnya bocor apabila Rooney berjaya menanduk masuk hantaran silang Gary Neville dari sebelah kanan. United kekal mendahlui 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
http://d.yimg.com/a/p/rids/20100310/i/r95164213.jpg
Baru seminit bermula babak kedua, Rooney melebarkan penguasaan United melalui gol keduanya untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului dengan agregat 5-2. Gol kedua Rooney itu menyentap semangat juang Milan dan anak-anak buah Leonardo sudah mula menyedari bahawa hanya keajaiban mampu membantu mereka menyekat United dari mara ke suku akhir. Meskipun mencipta jurang yang cukup luas, United terus mengatur gerakan-gerakan bahaya ke kubu lawan dan hasilnya diminit 59, melalui gerakan Paul Scholes, Park Ji Sung mudah menewaskan Abbiati buat kali ketiga. Leonardo akhirnya memberi peluang buat David Beckham membuat penampilan pertama di Old Trafford dalam tempoh enam tahun selepas berhijrah ke Real Madrid. Kehadiran bekas bintang United itu merubah sedikit tempo permainan Milan melalui hantaran-hantaran berkesan dari sebelah kanan. Beckham sendiri hampir menjaringkan gol diminit ke 75 melalui voli kencang dari jarak 25 meter tetapi berjaya ditepis keluar Edwin Van Der Sar. Darren Fletcher akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya United apabila pemain tengah itu menanduk masuk hantaran jauh Rafael da Silva diminit ke 88. Dalam satu lagi perlawanan, Olympique Lyon melakar kejutan besar apabila berjaya menyingkirkan pasukan yang berbelanja mewah musim ini, Real Madrid dengan agregat 2-1. Miralem Pjanic berjaya menjaringkan gol penyamaan yang menyingkirkan Madrid selepas Cristiano Ronaldo meletakkan tuan tumah di hadapan diminit ke 6.

10 Mac 2010

MILAN TIDAK LAGI GERUNKAN UNITED

LIGA JUARA-JUARA EROPAH
(PUSINGAN KALAH MATI)


MANCHESTER UNITED lwn AC MILAN
(Old Trafford, 11 Mac 2010)
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100309/capt.c4d29be93f6f457d956b1779cea80a68.britain_soccer_champions_league_lon816.jpg
Menjelang pertemuan kedua menentang AC Milan dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara , awal pagi esok, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa United kini sudah keluar dari bayang-bayang gergasi Itali itu yang sering menghantui mereka selama ini. United akan menanti kunjungan Milan dengan memiliki kelebihan satu gol hasil kemenangan 3-2 di San Siro dalam perlawanan pertama tiga minggu lalu. Rekod pertemuan menentang Milan sebelum ini jelas tidak memihak kepada anak-anak buahnya selepas kali terakhir mereka disingkirkan skuad Rossoneri itu pada tahun 2007 di peringkat separuh akhir. Ferguson mengakui begitu resah selepas diundi menentang Milan tetapi kini kehebatan lawan tampak seakan sudah menjadi sejarah selepas United berhasil menjinakkan anak-anak buah Leonardo di gelanggang lawan. Kemenangan itu jelas memberi suntikan keyakinan kepada Ferguson bahawa pasukannya mampu mengatasi halangan Milan kali ini untuk menempah tempat ke pusingan suku akhir. "Bagi kami, kemenangan di San Siro merupakan sesuatu yang cukup besar. Ini adalah kemenangan pertama selepas tewas empat kali kepada lawan. Saya gembira kerana lawan memiliki sejarah hebat dan kami mencipta kemenangan ke atas salah satu pasukan terbaik Eropah. Kemenangan di San Siro lebih kepada kemenangan psikologi buat kami", kata Ferguson.

Sementara itu, Wayne Rooney disahkan cergas dan boleh diturunkan dalam perlawanan ini selepas direhatkan ketika United menang ke atas Wolverhampton Wanderers dalam aksi liga hujung minggu lalu. Rooney yang meledak dua gol dalam perlawanan pertama di San Siro cedera ketika turun mewakili England dalam perlawanan antarabangsa menentang Mesir Khamis lalu. Rooney telah mula menjalani latihan dan dijangka bakal diturunkan Ferguson selepas kecederaan lututnya kembali pulih. Walaupun kembali memperolehi sentuhan Rooney, United kehilangan Wes Brown dan Ryan Giggs yang mengalami kecederaan manakala Michael Carrick pula digantung perlawanan selepas menerima layang kad merah dalam perlawanan pertama. Perlawanan United-Milan awal pagi esok juga turut diwarnai dengan kembalinya David Beckham ke Old Trafford buat pertama kali dalam tempoh enam tahun. Beckham dijangka diberikan sambutan meriah oleh penyokong-penyokong United bagi menghargai sumbangan hebatnya selama 10 musim di Old Trafford sebelum dijual kepada Real Madrid pada tahun 2004. Beckham dijangka memulakan perlawanan di bangku simpanan selepas Leonardo membayangkan akan menurunkan Klaas Jan Huntelaar dalam kesebelasan permulaan Milan.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Rafael da Silva, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Park Ji Sung, Luis Antonio Valencia, Paul Scholes, Darren Fletcher, Dimitar Berbatov & Wayne Rooney

07 Mac 2010

JARINGAN SCHOLES BAWA UNITED KE TANGGA TERATAS

http://a9.vietbao.vn/images/vn975/the-thao/75227861-Paul-Scholes-Beskitas.jpg
Jaringan tunggal Paul Scholes, 18 minit sebelum tamat permainan berjaya membantu Manchester United menewaskan pasukan yang berada di zon penyingkiran, Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi tadi. Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Red Devils berjaya memintas kedudukan Chelsea di tangga teratas Liga Perdana Inggeris. United kini memiliki kelebihan 2 mata ke atas Chelsea, tetapi skuad kendalian Carlo Ancelotti itu masih memiliki kelebihan satu perlawanan kerana terlibat dengan saingan suku akhir Piala FA menentang Stoke City malam ini. Beraksi tanpa penjaring terbanyak, Wayne Rooney yang mengalami kecederaan lutut, United terpaksa bergelut menangani tentangan bersemangat tuan rumah dan dilihat sukar menembusi benteng skuad bergelar Wolves itu sepanjang tempoh permainan. Luis Antonio Valencia mencipta peluang pertama buat United di minit ke 7 tetapi rembatannya sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang lawan. Peluang terbaik Wolves hadir diminit ke 36 melalui tandukan Matt Jarvis tetapi dia yang berada di posisi terbaik sekadar melihat tandukannya berjaya ditangkap kemas Edwin Van Der Sar. Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Luis Antonio Valencia of Manchester United sees a way past Karl Henry and David Jones of Wolverhampton Wanderers
United membuat pertukaran dengan memasukkan Gary Neville menggantikan Wes Brown yang mengalami kecederaan di permulaan babak kedua. Menyedari hanya kemenangan yang mampu melonjakkan mereka ke kedudukan teratas liga, United terus mendominasi permainan dengan melancarkan gerakan-gerakan ke kubu tuan rumah tetapi tetap dihampakan dengan persembahan tersusun lawan. Bagi menambah sengat di barisan serangan, Ferguson memasukkan penyerang dari Senegal, Mame Biram Diouf untuk menggantikan Darron Gibson di pertengahan babak kedua. United akhirnya berjaya melerai kebuntuan diminit ke 72 apabila Paul Scholes berjaya memanfaatkan kesilapan Jody Craddock yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk menjaringkan gol kemenangan. Enam minit selepas itu, Diouf hampir melebarkan penguasaan United tetapi tandukannya hasil hantaran silang Gary Neville di hadapan pintu gol melambung tinggi. Di masa kecederaan Wolves hampir meranapkan impian United untuk meraih kemenangan tetapi kegopohan Sam Vokes yang merembat tinggi biarpun hanya berhadapan dengan Van der Sar di gawang menyaksikan United meraih mata ke 63 mereka.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Arsenal (3) lwn Burnley (1)
West Ham (1) lwn Bolton Wanderers (2)

06 Mac 2010

PELUANG UNITED PINTAS CHELSEA

http://img.skysports.com/09/08/800x600/Wayne-Rooney-Manchester-United-Arsenal-Premie_2354018.jpg
Manchester United berpeluang memintas kedudukan Chelsea di tangga teratas Liga Perdana Inggeris jika menang ke atas pasukan di zon penyingkiran, Wolverhampton Wanderers awal pagi nanti. United akan berkunjung ke Stadium Molineux dengan misi meraih mata penuh dan dengan saingan kini berbaki sepuluh perlawanan lagi, anak-anak buah Sir Alex Ferguson tidak harus melakukan kesilapan jika mahu mencipta sejarah sebagai pasukan pertama mempertahankan trofi Liga Perdana empat musim berturut-turut. Walau bagaimanapun misi United meraih mata penuh di gelanggang lawan sedikit terencat dengan berita kecederaan lutut yang dialami penjaring terbanyak liga ketika ini, Wayne Rooney. Rabu lalu, Rooney diturunkan hampir keseluruhan perlawanan ketika England menentang Mesir dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley. Situasi ini mengundang kemarahan Ferguson yang mendakwa pihak pengurusan England tidak berlaku adil terhadap ayam tambatannya itu. Tiga hari sebelum itu, Rooney juga beraksi di stadium yang sama ketika membantu United menewaskan Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carling.

Dengan Chelsea yang tidak beraksi minggu ini kerana terlibat dalam perlawanan suku akhir Piala FA, United boleh memintas kedudukan skuad The Blues itu dengan kelebihan dua mata sekiranya berjaya meraih mata maksimum di Molineux. Ferguson dijangka melakukan perubahan kecil dalam skuadnya andai Rooney tidak dapat diturunkan dengan kemungkinan besar memberi peluang kepada Mame Biram Diouf beraksi bersama Dimitar Berbatov di bahagian serangan. Paul Scholes, Darren Fletcher, Nani dan Park Ji Sung akan memperkuatkan bahagian tengah manakala Rio Ferdinand pula dijangka kembali memperkuatkan benteng pertahanan United selepas hanya beraksi sekali sejak Oktober tahun lalu akibat kecederaan belakang. Ferdinand, Nemanja Vidic, Gary Neville dan Patrice Evra pastinya menjadi pilihan Ferguson di benteng manakala Edwin Van Der Sar akan kembali mengawal gawang United selepas direhatkan Ferguson dalam dua perlawanan sebelum ini. Sementara itu Ferguson juga optimis dengan pengalaman yang dimiliki skuadnya, United mampu mencipta sejarah mempertahankan kejuaraan mereka untuk kali keempat berturut-turut.

04 Mac 2010

BEBAN KEWANGAN UNITED SEMAKIN PULIH

http://vtc.vn/media/vtcnews/2009/09/21/man9.jpg
Daily Mail melaporkan bahawa beban hutang yang dialami Manchester United akibat dari pengambilalihan kelab itu oleh taikun sukan Amerika Syarikat, Malcolm Glazer semakin pulih. Perkara ini diharapkan akan memulihkan kembali keyakinan dan kepercayaan penyokong-penyokong United terhadap keluarga Glazer yang teruk dikritik sejak akhir-akhir ini. Penyokong-penyokong fanatik United sebelum ini kecewa kerana kelab terikat dengan beban kewangan selepas Glazer berjaya memiliki kelab. Mereka khuatir akibat hutang yang terpaksa ditanggung, Glazer akan menjual aset milik kelab seperti padang latihan dan pemain-pemain utama mereka. Apa yang lebih membimbangkan penyokong ialah, aset paling berharga mereka iaitu Stadium Old Trafford turut akan menjadi mangsa dan sebelum semua itu berlaku mereka mendesak agar keluarga Glazer menjual sahamnya kepada pemilik baru yang lebih berkemampuan.

Untuk meredakan konflik antara keluarganya dengan para penyokong Red Devils, Glazer dijangka akan menggunakan laporan kewangan penggal kedua tahun lalu yang menunjukkan peningkatan kepada pendapatan kelab dan kemampuan mereka melunaskan hutang. Laporan kewangan itu menunjukkan peningkatan pendapatan kelab sebanyak 19 peratus, dari 121.7 juta Pound kepada 144.7 juta Pound. Pendapatan dari hak penyiaran juga meningkat sebanyak 33 peratus dari 40.3 juta Pound kepada 54.4 juta Pound manakala pendapatan komersial meningkat 16 peratus dari 33.5 juta Pound kepada 38.7 juta Pound. Hutang yang ditanggung juga menurun dari 538.1 juta Pound kepada 507.5 juta Pound. Situasi ini jelas lebih baik berbanding sebelum ini di mana United menanggung beban hutang sebanyak 716.5 juta Pound. Minggu lalu, penyokong-penyokong United mendesak agar Glazer segera menjual pegangan saham milik keluarga itu hingga memaksa pemilik United itu tidak hadir menyaksikan skuad Red Devils beraksi di perlawanan akhir Piala Carling.

01 Mac 2010

UNITED PANJANGKAN KEMARAU KEJUARAAN VILLA

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100228/i/r3771961837.jpg
Kemenangan Manchester United ke atas Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carling semalam menyaksikan skuad Red Devils menyamai rekod Nottingham Forest yang memenangi trofi itu dua kali berturut-turut. Forest pernah memenangi kejuaraan itu pada tahun 1989 dan mempertahankannya pada tahun 1990 manakala United pula memenangi piala itu musim lalu dan berjaya mempertahankannya sekali lagi tahun ini. Kekalahan kepada United menyaksikan Villa terus kempunan memenangi kejuaraan selepas kali terakhir menjulang Piala Eropah 25 tahun lalu. Perlawanan akhir malam tadi menyaksikan Villa berjaya mendahului melalui sepakan penalti James Milner diminit ke 5 selepas Gabriel Agbonlahor dikasari Nemanja Vidic. Gol itu nyata menggembirakan penyokong-penyokong lawan dan seolah-olah membayangkan Villa bakal menamatkan kemarau 25 tahun tanpa kejuaraan. Kegembiraan penyokong-penyokong Villa bagaimanapun tidak kekal lama apabila tujuh minit selepas itu Michael Owen berjaya menyamakan kedudukan buat United. Gol berpunca dari kesilapan pertahanan Villa, Richard Dunne yang membiarkan Dimitar Berbatov merampas bola dari kawalannya dan umpanan Berbatov berjaya disudahkan Owen bagi menyamakan kedudukan. Owen bagaimanapun terpaksa dikeluarkan di penghujung babak pertama selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Wayne Rooney.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100228/capt.4eb73874c597411eb931e011ff1f869b.britain_soccer_league_cup_final_lst143.jpg
Bersambung di babak kedua, gandingan Rooney dan Berbatov sering menghadirkan ancaman kepada Brad Friedel di gawang Villa. Kerja keras Rooney akhirnya berhasil diminit ke 74 apabila penyerang antarabangsa England itu menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran Luis Antonio Valencia dari sebelah kanan. Meskipun cuba memberi tekanan untuk mencari gol penyamaan, anak-anak buah Martin O'Niell gagal menembusi gawang United yang dikawal Tomasz Kuszczak. Sementara itu, Ferguson menganggap tindakan pengadil Phil Dowd yang tidak melayangkan kad merah kepada Vidic kerana mengkasari Agbonlahor sebagai tindakan yang tepat. Walau bagaimanapun tindakan Dowd yang hanya menghadiahkan sepakan penalti mengundang kritikan daripada pengendali Villa, Martin O'Niell. "Saya rasa keputusan pengadil adalah tepat dan kami akhirnya mampu bangkit selepas ketinggalan", kata Ferguson. "Kami tidak beraksi dengan baik diawal permainan dan sedikit leka. Michael Owen menjaringkan gol penting dan penampilannya cukup memukau tetapi sayangnya dia terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring. Pada awalnya kami tidak berhasrat menurunkan Rooney kerana banyak perlawanan penting yang harus kami lalui selepas ini tetapi kehadirannya memberi semangat buat seluruh pasukan", tambah Ferguson lagi.