Dua gol jaringan Wayne Rooney membantu Manchester United melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas skuad Red Devils membelasah AC Milan 4-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Selepas berjaya menewaskan Milan 3-2 di San Siro dalam perlawanan peringkat pertama, United mara ke suku akhir dengan kelebihan agregat 7-2. Kemenangan bergaya itu juga menyaksikan United berjaya menebus kembali kekalahan mereka kepada Milan dalam pertembungan edisi 2007. Milan ketika itu berjaya mara keseparuh akhir selepas menyingkirkan United dengan agregat 5-3. Milan yang tertekan dan mahu mencari gol awal lebih menguasai bola pada permulaan permainan tetapi umpanan-umpanan dari bahagian tengah gagal dimanfaatkan barisan penyerang mereka yang beraksi tanpa Alexandre Pato. Gerakan-gerakan Milan hasil ilham Ronaldinho dan Andrea Pirlo berjaya dipatahkan benteng United yang dikemudi Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Rooney mula menguji gawang Milan yang dikawal Christian Abbiati seawal minit keempat tetapi percubaannya dari luar petak penalti sedikit tersasar. Milan pula hampir mendahului diminit ke 8 melalui Ronaldinho tetapi tandukan perancang Milan itu hanya sedikit tersasar ke sebelah kiri. Diminit ke 11, giliran Nani pula mencemaskan gawang Milan tetapi rembatan sayap Portugal itu berjaya ditepis keluar Abbiati. Dua minit selepas itu, gawang Milan akhirnya bocor apabila Rooney berjaya menanduk masuk hantaran silang Gary Neville dari sebelah kanan. United kekal mendahlui 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Baru seminit bermula babak kedua, Rooney melebarkan penguasaan United melalui gol keduanya untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului dengan agregat 5-2. Gol kedua Rooney itu menyentap semangat juang Milan dan anak-anak buah Leonardo sudah mula menyedari bahawa hanya keajaiban mampu membantu mereka menyekat United dari mara ke suku akhir. Meskipun mencipta jurang yang cukup luas, United terus mengatur gerakan-gerakan bahaya ke kubu lawan dan hasilnya diminit 59, melalui gerakan Paul Scholes, Park Ji Sung mudah menewaskan Abbiati buat kali ketiga. Leonardo akhirnya memberi peluang buat David Beckham membuat penampilan pertama di Old Trafford dalam tempoh enam tahun selepas berhijrah ke Real Madrid. Kehadiran bekas bintang United itu merubah sedikit tempo permainan Milan melalui hantaran-hantaran berkesan dari sebelah kanan. Beckham sendiri hampir menjaringkan gol diminit ke 75 melalui voli kencang dari jarak 25 meter tetapi berjaya ditepis keluar Edwin Van Der Sar. Darren Fletcher akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya United apabila pemain tengah itu menanduk masuk hantaran jauh Rafael da Silva diminit ke 88. Dalam satu lagi perlawanan, Olympique Lyon melakar kejutan besar apabila berjaya menyingkirkan pasukan yang berbelanja mewah musim ini, Real Madrid dengan agregat 2-1. Miralem Pjanic berjaya menjaringkan gol penyamaan yang menyingkirkan Madrid selepas Cristiano Ronaldo meletakkan tuan tumah di hadapan diminit ke 6.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan