04 Mac 2010

BEBAN KEWANGAN UNITED SEMAKIN PULIH

http://vtc.vn/media/vtcnews/2009/09/21/man9.jpg
Daily Mail melaporkan bahawa beban hutang yang dialami Manchester United akibat dari pengambilalihan kelab itu oleh taikun sukan Amerika Syarikat, Malcolm Glazer semakin pulih. Perkara ini diharapkan akan memulihkan kembali keyakinan dan kepercayaan penyokong-penyokong United terhadap keluarga Glazer yang teruk dikritik sejak akhir-akhir ini. Penyokong-penyokong fanatik United sebelum ini kecewa kerana kelab terikat dengan beban kewangan selepas Glazer berjaya memiliki kelab. Mereka khuatir akibat hutang yang terpaksa ditanggung, Glazer akan menjual aset milik kelab seperti padang latihan dan pemain-pemain utama mereka. Apa yang lebih membimbangkan penyokong ialah, aset paling berharga mereka iaitu Stadium Old Trafford turut akan menjadi mangsa dan sebelum semua itu berlaku mereka mendesak agar keluarga Glazer menjual sahamnya kepada pemilik baru yang lebih berkemampuan.

Untuk meredakan konflik antara keluarganya dengan para penyokong Red Devils, Glazer dijangka akan menggunakan laporan kewangan penggal kedua tahun lalu yang menunjukkan peningkatan kepada pendapatan kelab dan kemampuan mereka melunaskan hutang. Laporan kewangan itu menunjukkan peningkatan pendapatan kelab sebanyak 19 peratus, dari 121.7 juta Pound kepada 144.7 juta Pound. Pendapatan dari hak penyiaran juga meningkat sebanyak 33 peratus dari 40.3 juta Pound kepada 54.4 juta Pound manakala pendapatan komersial meningkat 16 peratus dari 33.5 juta Pound kepada 38.7 juta Pound. Hutang yang ditanggung juga menurun dari 538.1 juta Pound kepada 507.5 juta Pound. Situasi ini jelas lebih baik berbanding sebelum ini di mana United menanggung beban hutang sebanyak 716.5 juta Pound. Minggu lalu, penyokong-penyokong United mendesak agar Glazer segera menjual pegangan saham milik keluarga itu hingga memaksa pemilik United itu tidak hadir menyaksikan skuad Red Devils beraksi di perlawanan akhir Piala Carling.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan