01 Mac 2010

UNITED PANJANGKAN KEMARAU KEJUARAAN VILLA

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100228/i/r3771961837.jpg
Kemenangan Manchester United ke atas Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carling semalam menyaksikan skuad Red Devils menyamai rekod Nottingham Forest yang memenangi trofi itu dua kali berturut-turut. Forest pernah memenangi kejuaraan itu pada tahun 1989 dan mempertahankannya pada tahun 1990 manakala United pula memenangi piala itu musim lalu dan berjaya mempertahankannya sekali lagi tahun ini. Kekalahan kepada United menyaksikan Villa terus kempunan memenangi kejuaraan selepas kali terakhir menjulang Piala Eropah 25 tahun lalu. Perlawanan akhir malam tadi menyaksikan Villa berjaya mendahului melalui sepakan penalti James Milner diminit ke 5 selepas Gabriel Agbonlahor dikasari Nemanja Vidic. Gol itu nyata menggembirakan penyokong-penyokong lawan dan seolah-olah membayangkan Villa bakal menamatkan kemarau 25 tahun tanpa kejuaraan. Kegembiraan penyokong-penyokong Villa bagaimanapun tidak kekal lama apabila tujuh minit selepas itu Michael Owen berjaya menyamakan kedudukan buat United. Gol berpunca dari kesilapan pertahanan Villa, Richard Dunne yang membiarkan Dimitar Berbatov merampas bola dari kawalannya dan umpanan Berbatov berjaya disudahkan Owen bagi menyamakan kedudukan. Owen bagaimanapun terpaksa dikeluarkan di penghujung babak pertama selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Wayne Rooney.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100228/capt.4eb73874c597411eb931e011ff1f869b.britain_soccer_league_cup_final_lst143.jpg
Bersambung di babak kedua, gandingan Rooney dan Berbatov sering menghadirkan ancaman kepada Brad Friedel di gawang Villa. Kerja keras Rooney akhirnya berhasil diminit ke 74 apabila penyerang antarabangsa England itu menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran Luis Antonio Valencia dari sebelah kanan. Meskipun cuba memberi tekanan untuk mencari gol penyamaan, anak-anak buah Martin O'Niell gagal menembusi gawang United yang dikawal Tomasz Kuszczak. Sementara itu, Ferguson menganggap tindakan pengadil Phil Dowd yang tidak melayangkan kad merah kepada Vidic kerana mengkasari Agbonlahor sebagai tindakan yang tepat. Walau bagaimanapun tindakan Dowd yang hanya menghadiahkan sepakan penalti mengundang kritikan daripada pengendali Villa, Martin O'Niell. "Saya rasa keputusan pengadil adalah tepat dan kami akhirnya mampu bangkit selepas ketinggalan", kata Ferguson. "Kami tidak beraksi dengan baik diawal permainan dan sedikit leka. Michael Owen menjaringkan gol penting dan penampilannya cukup memukau tetapi sayangnya dia terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring. Pada awalnya kami tidak berhasrat menurunkan Rooney kerana banyak perlawanan penting yang harus kami lalui selepas ini tetapi kehadirannya memberi semangat buat seluruh pasukan", tambah Ferguson lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan