25 April 2011

FERGUSON GEMBIRA PRESTASI HERNANDEZ


Sir Alex Ferguson telah melakukan pelaburan paling menguntungkan apabila membawa masuk penyerang muda Mexico, Javier Hernandez ke Old Trafford musim panas lalu. Hernandez membuktikan kualiti yang ada padanya pada musim pertama bersama United selepas mengumpul 12 gol dalam saingan liga setakat ini. Hujung minggu lalu, Hernandez sekali lagi membuktikan betapa pelaburan ke atasnya adalah satu tindakan bijak apabila jaringan tunggalnya ke atas Everton memberikan kemenangan berharga buat United di gelanggang sendiri. Ketika barisan serangan United tampak buntu cuba memecah benteng kental Everton, Hernandez bijak menanduk masuk bola hantaran Antonio Valencia sekaligus memberikan tiga mata berharga buat skuad Red Devils. Gol jaringan Hernandez di minit ke-83 itu membuka peluang yang cukup luas buat United mencipta rekod memenangi kejuaran liga ke-19 mereka. Dengan saingan liga musim ini berbaki empat perlawanan, United mempunyai kelebihan enam mata berbanding Chelsea yang menduduki tempat kedua dan sembilan mata mengatasi Arsenal di tangga ketiga liga.

"Javier telah melepasi jangkaan awal kami", puji Ferguson. Menurut Ferguson, penyerang mudanya itu akan terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik selepas mula memahami corak permainan di Liga Perdana Inggeris. "Kami fikir disebabkan ini adalah musim pertamanya, dia akan mula menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana Inggeris dan akan terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik", tambah Ferguson. Disiplin yang ditunjukkan Hernandez dikatakan menjadi penyebab mengapa penyerang itu cepat menyesuaikan diri dengan pasukan barunya itu selepas berhijrah dari kelab Guadalajara. "Dia telah melalui semua ujian. Dia menjadi pemain pertama yang datang dan pemain yang terakhir pulang pada setiap sesi latihan. Dia adalah pemain yang cukup berdedikasi". Sementara itu, Hernandez gembira dengan gol tunggal jaringannya itu sekaligus memastikan kedudukan United di tangga teratas semakin kukuh. "United memang mempunyai sejarah menjaringkan gol seperti itu. Kami boleh menghasilkan gol di minit awal permainan dah boleh juga menghasilkan gol di penghujung permainan", kata Hernandez.

23 April 2011

FERGUSON: ARSENAL BUKAN ANCAMAN

Menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris malam ini, Sir Alex Ferguson sempat melontar cabaran buat pesaing mereka, Arsenal. Meskipun pasukannya bakal berhadapan Everton di gelanggang sendiri malam nanti, Ferguson sebaliknya memilih melancarkan serangan terbaru ke atas skuad Arsene Wenger biarpun mereka hanya akan bertembung pada minggu hadapan. Ferguson memberitahu media bahawa beliau tidak begitu gusar dengan cabaran Arsenal dalam perlumbaan perebutan kejuaraan liga sebaliknya mula mengalihkan fokus kepada pasukan yang berada di belakang mereka iaitu Chelsea. Arsenal dan Chelsea kini terikat 74 mata, enam mata di belakang United namun kebangkitan semula skuad kendalian Carlo Ancelotti itu kini mula membimbangkan Ferguson. "Beberapa minggu lalu saya sudah mengatakan tetapi samada anda menyedarinya atau tidak bahawa ancaman utama kami adalah Chelsea". "Sekarang mereka sudah mengatasi Arsenal, Chelsea pasukan yang berpengalaman berbanding Arsenal. Mereka merupakan pasukan yang lebih kuat". "Chelsea mempunyai jadual perlawanan yang lebih mudah namun mereka perlu bermain di Old Trafford, jadi itu bukanlah tugas yang mudah buat mereka". Skuad kendalian Ferguson membawa misi mengutip tiga mata penuh ketika menanti kunjungan Everton di Old Trafford malam ini bagi mencerahkan peluang mereka menjulang kejuaraan ke-19 Liga Perdana Inggeris. Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ialah pada 11 September tahun lalu di mana kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam perlawanan liga yang diadakan di Goodison Park. Tumpuan perlawanan pada malam ini juga pastinya terarah kepada bintang muda Everton, Jack Rodwell yang dikatakan menarik minat Ferguson untuk di bawa ke Old Trafford musim panas nanti. "Jika kami menang, kami akan mempunyai baki empat perlawanan dan mempunyai kelebihan enam mata, itulah yang kami mahukan".

20 April 2011

FERGUSON: KAMI SEPATUTNYA DIHADIAHKAN PENALTI


Manchester United's Javier Hernandez (top) challenges Newcastle United goalkeeper Tim Krul for the ball during their English Premier League soccer match at St James' Park in Newcastle, northern England, April 19, 2011.
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengakui kurang berpuashati dengan keputusan seri 0-0 yang dicapai pasukannya di St James Park awal pagi tadi. United akhirnya hanya mampu meraih satu mata selepas dipaksa bekerja keras oleh Newcastle United yang memberi tentangan sengit sepanjang permainan. Walaupun menguasai perlawanan, jentera serangan United yang diketuai Wayne Rooney dan Javier Hernandez gagal menembusi gawang tuan rumah. United bagaimanapun dinafikan sepakan penalti selepas Hernandez dikasari Danny Simpson di dalam kotak penalti namun pengadil Lee Probert sebaliknya melayangkan kad kuning kepada penyerang muda Mexico itu kerana dikatakan sengaja menjatuhkan badan. Menyentuh hal tersebut, Ferguson mengulas, "Sangat jelas itu adalah penalti. Pengadil mengadili perlawanan dengan baik tapi dia melakukan kesilapan dengan melayangkan kad kuning kepada Hernandez". Keputusan seri ini menyaksikan persaingan merebut kejuaraan liga kembali terbuka dengan Arsenal di tangga kedua dan Chelsea yang berada di tangga ketiga masih berpeluang memintas United. Anak-anak buah Arsene Wenger akan berhadapan dengan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane dan Chelsea pula menanti kunjungan Birmingham di Stamford Bridge awal pagi esok. Jika kedua-dua pasukan menang, Arsenal akan merapatkan kedudukan kepada empat mata manakala Chelsea pula enam mata di belakang United. "Pada situasi sekarang, anda harus berfikiran positif kerana kami berada pada kedudukan yang bagus berbanding musim lalu pada peringkat ini", kata Ferguson.

19 April 2011

VIDIC: LUPAKAN KEKECEWAAN SAINGAN PIALA FA



Misi Manchester United memenangi kejuaraan treble sudah berakhir selepas mereka disingkir oleh Manchester City di peringkat separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu. Kekecewaan itu bagaimanapun tidak mempengaruhi kapten pasukan, Nemanja Vidic yang mahukan agar rakan sepasukan segera menumpukan perhatian mereka kepada saingan liga. United akan menentang Newcastle United di St James Park awal pagi esok dalam misi mereka merampas kejuaraan Liga Perdana dari Chelsea sekaligus memenangi kejuaran buat kali ke-19. Vidic mengakui sedikit kecewa dengan kekalahan di peringkat separuh akhir itu namun beliau menegaskan bahawa pasukannya masih mempunyai dua lagi kejuaraan untuk dimenangi. Selain berpeluang cerah memenangi trofi Liga Perdana, United juga sudah berada di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan bakal berdepan dengan kelab Jerman, Schalke 04 pada 27 April ini. "Ketika ini kami memang masih memikirkan kekalahan kelmarin. Tapi kami juga masih mempunyai dua peluang untuk memenangi sesuatu musim ini dan kami harus berusaha untuk meraihnya", kata Vidic. "Kami hanya perlu memikirkan perlawanan berikutnya menentang Newcastle United, terutamanya selepas disingkirkan City di separuh akhir". United ketika ini berada di tangga teratas, enam mata di hadapan kelab di tangga kedua Arsenal. Vidic menegaskan kunjungan United ke St James Park merupakan perlawanan yang cukup penting dari baki enam perlawanan mereka. "Ini akan menjadi perlawanan yang penting bagi kami. Kami masih mempunyai banyak perlawanan yang harus diharungi dan perlu bermain dengan baik untuk memenangi baki perlawanan seterusnya".

17 April 2011

FERGUSON: KAMI KURANG KONSENTRASI




Harapan Manchester United untuk mengulangi pencapaian treble 1999 mereka akhirnya musnah selepas tewas kepada jiran setempat, Manchester City dalam perlawanan separuh akhir Piala FA awal pagi tadi. Tewas 0-1 kepada City bermakna, United kini harus fokus kepada dua lagi kejuaraan iaitu Liga Juara-Juara dan trofi Liga Perdana yang perlu mereka menangi selepas ini. Menurut Ferguson kesilapan 15 minit pertama di babak kedua permainan akhirnya menghukum pasukannya dalam aksi derby kali ini. "Saya kira 15 minit pertama di babak kedua yang menghukum kami, kami kurang konsentrasi", kata Ferguson. "Van der Sar melakukan kesilapan ketika mengeluarkan bola yang gagal dikuasai Carrick. Kesilapan itu akhirnya dihukum". Selepas gol oleh Yaya Toure itu, perlawanan tiba-tiba dikuasai City yang kerap melakukan serangan balas tapi Ferguson nampaknya cukup menyesali dua peluang gol yang gagal disempurnakan Dimitar Berbatov di babak pertama. "Peluang pertama Berbatov dinafikan oleh aksi hebat penjaga gol mereka, namun peluang kedua seharusnya menghasilkan gol", kata Ferguson lagi. Misi United untuk mencari gol penyamaan bertambah sukar selepas Paul Scholes diperintah keluar padang kerana terjahan kerasnya ke atas Pablo Zabaleta di pertengahan babak kedua. "Kad merah yang diterima Scholes tidak menamatkan impian kami kerana kami masih bermain dengan baik selepas itu". Walaupun tewas, pada keseluruhannya Ferguson ternyata berpuashati dengan apa yang ditampilkan pasukannya dalam perlawanan itu. "Pada keseluruhannya saya kira kami agak gopoh ketika menangani serangan balas mereka".

16 April 2011

SEPARUH AKHIR PIALA FA: CITY BUKAN PENCABAR KAMI



Bintang veteran Manchester United, Paul Scholes menghangatkan pertembungan dua musuh setempat di peringkat separuh akhir Piala FA apabila melabelkan jiran mereka, Manchester City bukanlah pasukan yang layak digelar sebagai pencabar utama The Red Devils. Pertembungan derby United-City ini mungkin menjadi perlawanan terakhir Manchester buat bintang tengah itu. United dan City dijadualkan bertembung awal pagi esok di Stadium Wembley untuk satu tiket ke perlawanan akhir kejohanan kalah mati tertua di dunia itu. Meskipun sedar bahawa United tidak boleh selama-lamanya mengekang cabaran jiran mereka itu, Scholes berjanji akan bermati-matian menafikan hajat besar City menamatkan kemarau kejuaraan mereka dengan cara menyingkirkan United dalam perlawanan ini. Menurut Scholes, selagi City kemarau trofi kejuaraan, skuad bimbingan Roberto Mancini yang berbelanja besar itu bukanlah ancaman serius buat pasukannya.

"Apabila mereka menduduki tempat keempat atau kelima saya fikir mereka tidak boleh diletakkan sebagai ancaman utama. Buat masa ini, hanya Chelsea dan Arsenal saja ancaman utama kami", kata Scholes. "Adakah mereka ancaman, mungkin?. Dengan kuasa wang yang mereka miliki, mereka telah menghabiskan banyak wang dengan membeli pemain dan sedikit meningkat. Kami mungkin perlu berhati-hati di masa hadapan". Sementara itu City akan turun dalam perlawanan ini tanpa khidmat kapten mereka, Carlos Tevez yang mengalami kecederaan manakala United pula kehilangan khidmat Wayne Rooney yang digantung perlawanan. Mario Balotelli bakal memikul tugas Tevez dalam usaha mencari gol buat pasukannya manakala Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov mungkin digunakan Ferguson sebagai penyerang kembar dalam perlawanan ini. Bos City, Roberto Mancini pula melihat pemenang perlawanan ini bakal berpeluang cerah memenangi kejuaraan Piala FA musim ini.

14 April 2011

JARINGAN HERNANDEZ & PARK BAWA UNITED KE SEPARUH AKHIR



Manchester United melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas mengenepikan cabaran Chelsea di Old Trafford semalam. Kejayaan menundukkan anak-anak buah Carlo Ancelotti dengan jaringan 2-1 di gelanggang sendiri mengulangi pencapaian kemenangan mereka di Stamford Bridge minggu lalu apabila anak-anak buah Sir Alex Ferguson merakamkan kemenangan 1-0. Kemenangan dengan agregat 3-1 itu mengesahkan tempat ke separuh akhir buat United yang bakal berdepan kelab dari Jerman, Schalke 04. Javier Hernandez dan Park Ji-Sung muncul wira apabila masing-masing menyumbangkan satu gol walaupun pemain gantian Chelsea, Didier Drogba menjaringkan gol penyamaan selepas skuad The Blues itu bermain dengan 10 pemain. Hernandez membuka tirai jaringan buat United apabila berjaya menyempurnakan hantaran silang Ryan Giggs diminit ke 24. Gol itu melebarkan agregat kepada 2-0 dan usaha Chelsea untuk menghalang United mara ke separuh akhir tampak menuju titik noktah. Tugas Chelsea bertambah sukar di separuh masa kedua selepas menyaksikan mereka kehilangan khidmat pemain tengah Brazil, Ramires yang diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Pemain gantian, Didier Drogba menghidupkan semula harapan Chelsea melalui gol penyamaan diminit ke 77 namun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Park Ji-Sung meletakkan United kembali di depan tidak sampai seminit kemudian. Kekalahan ini menyaksikan Chelsea hampir pasti menamatkan musim ini tanpa sebarang piala dan nasib pengendali Itali itu tampak berada dalam situasi bahaya. Walaupun dikritik kerana menurunkan penyerang berharga 50 juta Pound Fernando Torres yang gagal menjaringkan sebarang gol sejak berhijrah dari Liverpool, Ancelotti tetap mempertahankan keputusannya itu. Menurut Ancelotti keputusannya menurunkan Torres diambil selepas dia berfikir panjang dan mengambilkira strategi yang digunakan dalam perlawanan itu. Sementara itu Ferguson melahirkan pujian ke atas bintang veterannya yang mencipta kedua-dua gol itu. "Beliau memang luar biasa, pemain dan individu yang unik. Sumbangannya penting kerana gol yang diciptanya di perlawanan pertama dan peranannya dalam jaringan gol malam ini. Untuk bermain pada usia 37 tahun memerlukan pengorbanan yang sungguh besar". Pada usia 37 tahun, Giggs ternyata masih lagi menjadi sandaran utama United dan dianggap pemain terbaik skuad The Red Devils dalam perlawanan ini.