16 April 2011

SEPARUH AKHIR PIALA FA: CITY BUKAN PENCABAR KAMI



Bintang veteran Manchester United, Paul Scholes menghangatkan pertembungan dua musuh setempat di peringkat separuh akhir Piala FA apabila melabelkan jiran mereka, Manchester City bukanlah pasukan yang layak digelar sebagai pencabar utama The Red Devils. Pertembungan derby United-City ini mungkin menjadi perlawanan terakhir Manchester buat bintang tengah itu. United dan City dijadualkan bertembung awal pagi esok di Stadium Wembley untuk satu tiket ke perlawanan akhir kejohanan kalah mati tertua di dunia itu. Meskipun sedar bahawa United tidak boleh selama-lamanya mengekang cabaran jiran mereka itu, Scholes berjanji akan bermati-matian menafikan hajat besar City menamatkan kemarau kejuaraan mereka dengan cara menyingkirkan United dalam perlawanan ini. Menurut Scholes, selagi City kemarau trofi kejuaraan, skuad bimbingan Roberto Mancini yang berbelanja besar itu bukanlah ancaman serius buat pasukannya.

"Apabila mereka menduduki tempat keempat atau kelima saya fikir mereka tidak boleh diletakkan sebagai ancaman utama. Buat masa ini, hanya Chelsea dan Arsenal saja ancaman utama kami", kata Scholes. "Adakah mereka ancaman, mungkin?. Dengan kuasa wang yang mereka miliki, mereka telah menghabiskan banyak wang dengan membeli pemain dan sedikit meningkat. Kami mungkin perlu berhati-hati di masa hadapan". Sementara itu City akan turun dalam perlawanan ini tanpa khidmat kapten mereka, Carlos Tevez yang mengalami kecederaan manakala United pula kehilangan khidmat Wayne Rooney yang digantung perlawanan. Mario Balotelli bakal memikul tugas Tevez dalam usaha mencari gol buat pasukannya manakala Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov mungkin digunakan Ferguson sebagai penyerang kembar dalam perlawanan ini. Bos City, Roberto Mancini pula melihat pemenang perlawanan ini bakal berpeluang cerah memenangi kejuaraan Piala FA musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan