Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengakui kurang berpuashati dengan keputusan seri 0-0 yang dicapai pasukannya di St James Park awal pagi tadi. United akhirnya hanya mampu meraih satu mata selepas dipaksa bekerja keras oleh Newcastle United yang memberi tentangan sengit sepanjang permainan. Walaupun menguasai perlawanan, jentera serangan United yang diketuai Wayne Rooney dan Javier Hernandez gagal menembusi gawang tuan rumah. United bagaimanapun dinafikan sepakan penalti selepas Hernandez dikasari Danny Simpson di dalam kotak penalti namun pengadil Lee Probert sebaliknya melayangkan kad kuning kepada penyerang muda Mexico itu kerana dikatakan sengaja menjatuhkan badan. Menyentuh hal tersebut, Ferguson mengulas, "Sangat jelas itu adalah penalti. Pengadil mengadili perlawanan dengan baik tapi dia melakukan kesilapan dengan melayangkan kad kuning kepada Hernandez". Keputusan seri ini menyaksikan persaingan merebut kejuaraan liga kembali terbuka dengan Arsenal di tangga kedua dan Chelsea yang berada di tangga ketiga masih berpeluang memintas United. Anak-anak buah Arsene Wenger akan berhadapan dengan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane dan Chelsea pula menanti kunjungan Birmingham di Stamford Bridge awal pagi esok. Jika kedua-dua pasukan menang, Arsenal akan merapatkan kedudukan kepada empat mata manakala Chelsea pula enam mata di belakang United. "Pada situasi sekarang, anda harus berfikiran positif kerana kami berada pada kedudukan yang bagus berbanding musim lalu pada peringkat ini", kata Ferguson.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan