14 April 2011

JARINGAN HERNANDEZ & PARK BAWA UNITED KE SEPARUH AKHIR



Manchester United melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas mengenepikan cabaran Chelsea di Old Trafford semalam. Kejayaan menundukkan anak-anak buah Carlo Ancelotti dengan jaringan 2-1 di gelanggang sendiri mengulangi pencapaian kemenangan mereka di Stamford Bridge minggu lalu apabila anak-anak buah Sir Alex Ferguson merakamkan kemenangan 1-0. Kemenangan dengan agregat 3-1 itu mengesahkan tempat ke separuh akhir buat United yang bakal berdepan kelab dari Jerman, Schalke 04. Javier Hernandez dan Park Ji-Sung muncul wira apabila masing-masing menyumbangkan satu gol walaupun pemain gantian Chelsea, Didier Drogba menjaringkan gol penyamaan selepas skuad The Blues itu bermain dengan 10 pemain. Hernandez membuka tirai jaringan buat United apabila berjaya menyempurnakan hantaran silang Ryan Giggs diminit ke 24. Gol itu melebarkan agregat kepada 2-0 dan usaha Chelsea untuk menghalang United mara ke separuh akhir tampak menuju titik noktah. Tugas Chelsea bertambah sukar di separuh masa kedua selepas menyaksikan mereka kehilangan khidmat pemain tengah Brazil, Ramires yang diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Pemain gantian, Didier Drogba menghidupkan semula harapan Chelsea melalui gol penyamaan diminit ke 77 namun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Park Ji-Sung meletakkan United kembali di depan tidak sampai seminit kemudian. Kekalahan ini menyaksikan Chelsea hampir pasti menamatkan musim ini tanpa sebarang piala dan nasib pengendali Itali itu tampak berada dalam situasi bahaya. Walaupun dikritik kerana menurunkan penyerang berharga 50 juta Pound Fernando Torres yang gagal menjaringkan sebarang gol sejak berhijrah dari Liverpool, Ancelotti tetap mempertahankan keputusannya itu. Menurut Ancelotti keputusannya menurunkan Torres diambil selepas dia berfikir panjang dan mengambilkira strategi yang digunakan dalam perlawanan itu. Sementara itu Ferguson melahirkan pujian ke atas bintang veterannya yang mencipta kedua-dua gol itu. "Beliau memang luar biasa, pemain dan individu yang unik. Sumbangannya penting kerana gol yang diciptanya di perlawanan pertama dan peranannya dalam jaringan gol malam ini. Untuk bermain pada usia 37 tahun memerlukan pengorbanan yang sungguh besar". Pada usia 37 tahun, Giggs ternyata masih lagi menjadi sandaran utama United dan dianggap pemain terbaik skuad The Red Devils dalam perlawanan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan