Misi Manchester United memenangi kejuaraan treble sudah berakhir selepas mereka disingkir oleh Manchester City di peringkat separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu. Kekecewaan itu bagaimanapun tidak mempengaruhi kapten pasukan, Nemanja Vidic yang mahukan agar rakan sepasukan segera menumpukan perhatian mereka kepada saingan liga. United akan menentang Newcastle United di St James Park awal pagi esok dalam misi mereka merampas kejuaraan Liga Perdana dari Chelsea sekaligus memenangi kejuaran buat kali ke-19. Vidic mengakui sedikit kecewa dengan kekalahan di peringkat separuh akhir itu namun beliau menegaskan bahawa pasukannya masih mempunyai dua lagi kejuaraan untuk dimenangi. Selain berpeluang cerah memenangi trofi Liga Perdana, United juga sudah berada di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan bakal berdepan dengan kelab Jerman, Schalke 04 pada 27 April ini. "Ketika ini kami memang masih memikirkan kekalahan kelmarin. Tapi kami juga masih mempunyai dua peluang untuk memenangi sesuatu musim ini dan kami harus berusaha untuk meraihnya", kata Vidic. "Kami hanya perlu memikirkan perlawanan berikutnya menentang Newcastle United, terutamanya selepas disingkirkan City di separuh akhir". United ketika ini berada di tangga teratas, enam mata di hadapan kelab di tangga kedua Arsenal. Vidic menegaskan kunjungan United ke St James Park merupakan perlawanan yang cukup penting dari baki enam perlawanan mereka. "Ini akan menjadi perlawanan yang penting bagi kami. Kami masih mempunyai banyak perlawanan yang harus diharungi dan perlu bermain dengan baik untuk memenangi baki perlawanan seterusnya".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan