Manchester United mencatat rekod sempurna 100% pada lima perlawanan awal mereka setakat ini namun prestasi terkini United nampaknya masih belum memberi kepuasan kepada Patrice Evra. Selepas merakamkan kemenangan ke atas Chelsea Ahad lalu, Evra sebaliknya mengatakan bahawa United seharusnya beraksi dengan lebih baik lagi selepas ini. Lima kemenangan dan menjaringkan 21 gol dalam lima perlawanan awal mereka setakat ini, menjadikan United sebagai calon pilihan mengekalkan kejuaraan Liga Perdana yang mereka menangi musim lalu. Melihat kepada persembahan United ketika bertemu Chelsea, Evra sebaliknya tegas mengatakan bahawa United perlu melakukan `lebih banyak kerja' jika mahu memenangi kejuaraan liga ke-20 mereka. "Lima kemenangan adalah permulaan yang bagus tetapi pada perlawanan menentang Stoke City nanti, saya ingin melihat kami melakukan sesuatu yang lebih bagus", kata Evra. Sekalipun United berjaya menjaringkan 3 gol ketika bertemu pencabar gelaran seperti Chelsea, Evra kurang berpuashati dengan persembahan keseluruhanan United pada perlawanan ini. Menurut Evra, rakan-rakannya agak gopoh dan sering kehilangan bola terutamanya di bahagian tengah hingga membolehkan Chelsea melancarkan serangan balas ke kubu United. Pada usia 30 tahun, Evra merupakan pemain paling tua dalam kesebelasan utama ketika bertemu Chelsea dan pemain berpengalaman itu menegaskan, untuk memenangi kejuaraan liga, United harus beraksi lebih baik pada setiap minggu. Glory Glory Manchester United!!!
20 September 2011
19 September 2011
UNITED KEKAL REKOD BERSIH 100%
Manchester United mengekalkan rekod bersih 100% mereka diawal musim selepas berjaya menewaskan Chelsea 3-1 di Old Trafford sebentar tadi. United membuka tirai jaringan menerusi tandukan Chris Smalling namun pelawat hampir menyamakan kedudukan melalui Ramires diminit ke-26 tetapi percubaan pemain antarabangsa Brazil itu berjaya ditepis keluar David de Gea. United kemudiannya melebarkan kedudukan melalui rembatan cantik jarak jauh Nani diminit ke-37 dan selepas itu giliran Wayne Rooney pula memanfaatkan kelemahan benteng Chelsea untuk meletakkan Red Devils terus selesa mendahului 3-0 di hadapan.
Memasuki babak kedua perlawanan, Fernando Torres akhirnya berjaya menjaringkan gol sulungnya musim ini apabila mudah menolak masuk bola hantaran Nicolas Anelka untuk kembali meletakkan Chelsea dalam saingan. Gol ini juga merupakan gol kedua Torres sejak perpindahannya dari Liverpool Januari lalu. Persembahan United keseluruhannya terutama di separuh masa pertama agak longgar. Ketiadaan Tom Cleverley di bahagian tengah memang dirasai manakala gerakan Anderson dan Darren Fletcher seringkali mudah dibaca Frank Lampard dan Ramires. Anderson hampir sahaja menghadiahkan gol saguhati kepada Chelsea diseparuh masa pertama apabila hantarannya berjaya disambar Torres, namun peluang itu gagal dimanfaatkan biarpun beliau cuma berdepan dengan de Gea. Tindakan Ferguson melakukan pertukaran pemain di separuh masa kedua berjaya memberi nafas baru kepada barisan United.
Antonio Valencia yang menggantikan Anderson berjaya menghidupkan gerakan di sebelah kanan menerusi larian-larian pantasnya dan United hampir menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Phil Dowd selepas Nani dikasari Jose Bosingwa. Rooney yang ditugaskan mengambil sepakan itu bagaimanapun sekadar melihat sepakannya jauh tersasar. Beberapa peluang terbaik selepas itu berjaya diperolehi oleh kedua-dua pasukan namun gagal disempurnakan barisan penyerang masing-masing. Beberapa peluang terbaik Chelsea untuk merapatkan kedudukan hadir melalui Torres namun gagal disempurnakan bekas penyerang Liverpool itu manakala United pula terlepas beberapa peluang keemasan melalui Rooney dan Dimitar Berbatov terutamanya di penghujung perlawanan. Pujian harus diberikan kepada barisan `back four' United yang dibarisi tiga pemain muda (Smalling, Jones dan Evans) kerana berjaya menangani asakan barisan berpengalaman Chelsea manakala de Gea pula cemerlang di gawang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan. Persembahan cemerlang de Gea turut disaksikan lagenda yang juga bekas penjaga gol United, Peter Schmeichel. Persembahan United kali ini tidaklah sebaik mana, namun apa yang penting misi mencari tiga mana di gelanggang sendiri tetap tercapai. Kemenangan ke atas pasukan yang dianggap antara pencabar gelaran musim ini dan berpengalaman seperti Chelsea amat penting bagi menyuntik semangat dan keyakinan lebih tinggi kepada barisan muda United. Glory Glory Manchester United!!!
17 September 2011
PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn CHELSEA
Perlawanan besar hujung minggu ini yang menemukan Manchester United dan Chelsea bakal menjadi ujian besar buat skuad bimbingan Sir Alex Ferguson. Selepas meraih mata maksimum dalam empat perlawanan awal mereka, kehadiran Chelsea di Old Trafford esok bakal menguji sejauh mana karekter yang dimiliki barisan muda United untuk mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. Meskipun mengakui bahawa skuad berpengalaman Chelsea adalah ujian paling berat yang bakal dihadapi United setakat ini, Ferguson yakin inilah perlawanan yang paling ditunggu-tunggu bukan saja oleh peminat tapi juga barisan muda miliknya untuk membuktikan sesuatu. Ferguson dijangkan menggunakan formasi yang sama ketika mereka membenam Bolton Wanderers minggu lalu. Ini bermakna Nani, Ashley Young, Phil Jones, Anderson, David de Gea dan Rio Ferdinand yang tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika United berkunjung ke Lisbon dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah mereka akan kembali semula memperkuatkan pasukan. Sekalipun Anders Lindegaard beraksi cemerlang mengawal gawang ketika United berhadapan dengan Benfica Khamis lalu, Ferguson menegaskan bahawa de Gea akan kembali mendapat tempatnya sebagai penjaga gol nombor satu dalam perlawanan ini. Ketiadaan Tom Cleverley kerana kecederaan ligamen bakal membuka peluang buat Darren Fletcher kembali memperkuatkan bahagian tengah United bersama Anderson.
Berbeza dengan United yang sekadar mencatat keputusan seri di Eropah, Chelsea pula tentunya masih segar dan bersemangat dengan kejayaan mereka menundukkan Bayern Leverkusen di Stamford Bridge. Sepertimana United, anak-anak buah Villas-Boas juga masih belum kalah selepas mengharungi empat perlawanan liga setakat ini. Cuma kejayaan Stoke City yang berjaya memaksa mereka berkongsi mata pada perlawanan pertama mencalarkan sedikit reputasi Chelsea sebagai pencabar utama kejuaraan liga. Pemain tumpuan Chelsea pastinya terarah kepada Juan Mata yang berjaya menjaringkan dua gol dari tiga penampilannya bersama skuad The Blues itu setakat ini. Selain itu Fernando Torres yang beraksi baik ketika membantu Chelsea menewaskan Leverkusen juga bakal menjadi tumpuan. Torres yang hanya menjaringkan satu gol di peringkat liga sejak menyertai Chelsea dari Liverpool Januari lalu bakal digandingkan dengan Nicolas Anelka dibahagian serangan menggantikan Didier Drogba yang masih cedera. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Chris Smalling, Darren Fletcher, Andeson, Nani, Ashley Young, Wayne Rooney & Javier Hernandez
Keputusan Lima Perlawanan Terakhir United/Chelsea:
8 Mei 2011: Man Utd 2 - Chelsea 1 (Liga Perdana)
8 Mei 2011: Man Utd 2 - Chelsea 1 (Liga Perdana)
12 April 2011: Man Utd 2 - Chelsea 1 (Liga Juara-Juara)
6 April 2011: Chelsea 0 - Man Utd 1 (Liga Juara-Juara)
1 Mac 2011: Chelsea 2 - Man Utd 1 (Liga Perdana)
8 Ogos 2010: Man Utd 3 - Chelsea 1 (Perisai Komuniti)
16 September 2011
GIGGS TETAP DIGERUNI
Ryan Giggs mungkin sudah menghampiri usia 38 tahun dan dianggap veteran dalam arena bolasepak namun kelibat bintang Manchester United ini terus digeruni di peringkat domestik dan Eropah. Buktinya, Giggs masih menjadi harapan Sir Alex Ferguson dan pemain penting disebalik kejayaan United memaksa Benfica berkongsi mata dalam kempen mereka di peringkat Eropah. Jaringan penyamaan Giggs diminit ke-42, pagi Khamis lalu memberikan United satu mata untuk di bawa pulang ke Old Trafford selepas Oscar Cardozo meletakkan tuan rumah di depan. Sir Alex Ferguson juga pantas memuji dan menganggap gol jaringan Giggs dalam perlawanan tersebut sebagai gol yang cukup fantastik. Giggs merupakan satu-satunya pemain yang masih setia sejak menyertai skuad utama United pada tahun 1990.
Selepas berjaya memecahkan rekod penampilan Sir Bobby Charlton untuk United (758 kali), Giggs terus melebarkan rekod penampilannya buat United dan sehingga 14 September 2011, Giggs sudah mencatat angka 880 kali penampilan untuk skuad The Red Devils. Selain itu sepanjang karier 22 tahunnya di Old Trafford, Giggs turut menyumbang 160 gol buat United dan angka itu pastinya akan terus bertambah jika mengambilkira kenyataan terbaru Giggs bahawa beliau masih belum terfikir untuk menggantung but. Penampilan Giggs di Lisbon pagi Khamis lalu, juga merupakan penampilan untuk musim ke 18 beliau bersama United dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu sejak tahun 1993. Giggs memulakan kempennya dalam Liga Juara-Juara musim 2011/12 dengan jaringan gol. Gol jaringan Giggs di Lisbon semalam seolah-olah mengimbas kembali ketika beliau dizaman mudanya. Giggs yang menerima hantaran pendek Antonio Valencia, kemudiannya membawa bola sambil berlari dan sempat melihat kedudukan Artur (penjaga gol Benfica). Belumpun sempat pertahanan lawan menutup ruang, Giggs melepaskan rembatan cantik yang pastinya mustahil untuk diselamatkan bukan saja oleh Artur, malah oleh mana-mana penjaga gol terbaik dunia ketika ini. Umur nampaknya tidak menghalang Giggs untuk terus berlari dan menjaringkan gol. Giggs tetap masih bahaya seperti dulu...Glory Glory Manchester United!!!
Trofi Giggs Bersama United:
Liga Perdana Inggeris (12 kali): 1992-93, 1993-94, 1995-96, 1996-97, 1998-99, 1999-00, 2000-01, 2002-03, 2006-07, 2007-08, 2008-09, 2010-11
Liga Perdana Inggeris (12 kali): 1992-93, 1993-94, 1995-96, 1996-97, 1998-99, 1999-00, 2000-01, 2002-03, 2006-07, 2007-08, 2008-09, 2010-11
Liga Juara-Juara Eropah (2 kali): 1999, 2008
Piala Intercontinental (1 kali): 1999
Kejohanan Kelab Dunia FIFA (1 kali): 2008
Piala FA (4 kali): 1994, 1996, 1999, 2004
Perisai Komuniti (2 kali): 2008, 2010
Piala Liga/Carling (2 kali): 2005-05, 2008-09
15 September 2011
SENTUHAN LAGENDA GIGGS
Manchester United memerlukan sentuhan berbisa Ryan Giggs untuk berkongsi mata dengan Benfica dalam perlawanan Kumpulan C, Liga Juara-Juara di Lisbon awal pagi tadi. United ketinggalan melalui jaringan Oscar Cardozo diminit ke-24 namun Giggs berjaya menyamakan kedudukan buat United diminit ke-42. Sir Alex Ferguson mengotakan janjinya mahu menurunkan skuad berbeza dengan menyenaraikan Antonio Valencia, Park Ji-Sung, Darren Fletcher, Ryan Giggs, Anders Lindegaard dan Michael Carrick dalam kesebelasan utama sambil merehatkan Phil Jones, David de Gea, Javier Hernandez, Nani dan Anderson manakala Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic diketepikan akibat kecederaan.
Walaupun statistik menunjukkan United menguasai 61% penguasaan bola namun skuad Red Devils jarang memberikan ancaman kepada Artur di gawang tuan rumah. Gol penyamaan Giggs menunjukkan betapa sentuhan bintang veteran itu masih berbisa. Giggs yang menerima hantaran pendek Valencia sempat melihat kedudukan Artur di gawang sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol berasal dari Brazil itu. Gol dari Giggs ini juga menjadikan beliau pemegang rekod baru Liga Juara-Juara sebagai pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam 16 musim berbeza. Rekod sebelum ini dikongsi Giggs bersama lagenda Sepanyol, Raul Gonzalez (15 musim). Di samping itu, Giggs juga memegang rekod sebagai pemain tertua menjaringkan gol dalam kempen Liga Juara-Juara (37 tahun, 289 hari). Sementara itu, Ferguson ternyata gembira dengan keputusan yang dicapai pasukannya dalam perlawanan ini. Sekalipun menurunkan skuad kedua, Fergie gembira United berjaya mendominasi perlawanan dan hampir membawa pulang tiga mata ke Old Trafford namun kurang bernasib baik apabila percubaan Giggs diminit ke-75 sedikit tersasar. United akan menerima kunjungan wakil Switzerland, FC Basel di Old Trafford 28 September ini untuk perlawanan kedua Kumpulan C...Glory Glory Manchester United!!!
11 September 2011
CLEVERLEY CEDERA, FERGIE KECAM DAVIES
Terjahan `brutal' kapten Bolton Wanderers, Kevin Davies ke atas Tom Cleverley mengundang kecaman keras Sir Alex Ferguson. Sekalipun mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas lawan, United bakal kehilangan khidmat bintang muda mereka itu untuk jangkamasa lama. Cleverley terpaksa dikeluarkan dipertengahan babak pertama perlawanan selepas menerima terjahan keras dari belakang oleh Davies. Sekalipun masih belum dapat dipastikan tahap sebenar kecederaan Cleverley, Ferguson menjangkakan dia bakal kehilangan sentuhan bintang mudanya itu untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan. Ferguson membidas terjahan dari belakang yang dilakukan Davies terhadap Cleverley diminit ke 22 selain mendakwa pasukannya terpaksa bertahan dengan terjahan-terjahan keras lawan sepanjang perlawanan. "Ini merupakan satu terjahan yang buruk", kata Fergie. Layangan kad kuning yang diterima Davies oleh pengadil perlawanan Andre Marriner merupakan koleksi ke 100 kapten The Trotters itu dalam kariernya. Selain Cleverley, United juga bakal kehilangan khidmat Jonny Evans yang mengalami masalah pangkal paha dan Patrice Evra (lutut) ketika kempen mereka di Eropah bermula pertengahan minggu ini. United dijadualkan bertemu Benfica dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah, di Lisbon pada 15 September ini. Glory Glory Manchester United!!!
MENANG BESAR LAGI
Manchester United benar-benar berada dalam prestasi terbaik mereka selepas sekali lagi mencatat kemenangan besar di awal musim. Selepas Arsenal melihat gawang mereka dibolosi sebanyak lapan kali, kini giliran penyokong Bolton Wanderers pula menyaksikan pasukan mereka diaibkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu. Tambah menarik, kemenangan besar ini dicatatkan di Stadium Reebok, gelanggang yang sering mendatangkan masalah buat United sejak beberapa musim kebelakangan ini. Tidak seperti musim lalu, di mana United terpaksa berhempas pulas untuk berkongsi mata di sini, kali ini skuad The Red Devils tidak berdepan laluan sukar untuk meraih tiga mata. Terima kasih atas sumbangan hatrik dari Wayne Rooney (minit ke-20, 25 dan 67) dan dua gol dari Javier Hernandez (minit ke-5 dan 59). Kehadiran semula Hernandez dalam kesebelasan utama ternyata tidak menghampakan apabila dia meletakkan United di depan ketika perlawanan baru berusia lima minit. Gol pendahuluan United itu adalah yang paling menarik dalam perlawanan ini selepas Hernandez melakukan gerakan bijak dari belakang dua pertahanan lawan (Gary Cahill dan Paul Robinson) sebelum mudah menolak masuk bola hantaran Nani. Rooney pula ternyata berada pada prestasi terbaiknya apabila sekali lagi menyumbang hatrik buat United selepas melakukannya dua minggu lalu di Old Trafford ketika pertemuan dengan Arsenal.
Kehadiran semula Hernandez menyuntik ketajaman di bahagian hadapan dan gandingannya bersama Rooney sering memberikan masalah kepada benteng The Trotters. Perlawanan ini juga menyaksikan kemunculan semula Rio Ferdinand menerajui benteng tengah pertahanan bersama Jonny Evans. Pengalaman Rio di benteng banyak membantu pertahanan muda United beraksi dengan lebih yakin terutamanya David de Gea yang berada di barisan paling belakang. de Gea terus menjadi tumpuan lensa kamera sepanjang perlawanan namun penjaga gol U-21 Sepanyol itu tampak semakin meningkat dan mempamerkan keyakinan tinggi dalam perlawanan ini. Walaupun beberapa kali diuji, terutamanya melalui rembatan Ivan Klasnic di separuh masa pertama, de Gea berjaya membuktikan bahawa pelaburan 18 juta Pound ke atas dirinya ternyata berbaloi. United bagaimanapun terpaksa membayar harga mahal untuk kemenangan ini apabila bakal kehilangan Tom Cleverley dan Jonny Evans untuk tempoh yang lama. Cleverley terpaksa dibawa keluar diminit ke-24 selepas menerima terjahan keras dari Kevin Davies dan kemudiannya muncul dibangku simpanan United dengan kaki berbalut. Jonny Evans pula terpaksa dikeluarkan diminit ke-61 apabila mengadu mengalami masalah pangkal paha. Kemenangan ini menyaksikan United terus menerajui takhta liga dengan kelebihan jaringan biarpun berkongsi 12 mata dengan Manchester City...Glory Glory Manchester United!!!
Langgan:
Catatan (Atom)











