19 September 2011

UNITED KEKAL REKOD BERSIH 100%


Manchester United mengekalkan rekod bersih 100% mereka diawal musim selepas berjaya menewaskan Chelsea 3-1 di Old Trafford sebentar tadi.  United membuka tirai jaringan  menerusi tandukan Chris Smalling namun pelawat hampir menyamakan kedudukan melalui Ramires diminit ke-26 tetapi percubaan pemain antarabangsa Brazil itu berjaya ditepis keluar David de Gea.  United kemudiannya melebarkan kedudukan melalui rembatan cantik jarak jauh Nani diminit ke-37 dan selepas itu giliran Wayne Rooney pula memanfaatkan kelemahan benteng Chelsea untuk meletakkan  Red Devils terus selesa mendahului 3-0 di hadapan.  

Memasuki babak kedua perlawanan, Fernando Torres akhirnya berjaya menjaringkan gol sulungnya musim ini apabila mudah menolak masuk bola hantaran Nicolas Anelka untuk kembali meletakkan Chelsea dalam saingan.  Gol ini juga merupakan gol kedua Torres sejak perpindahannya dari Liverpool Januari lalu.  Persembahan United keseluruhannya terutama di separuh masa pertama agak longgar.  Ketiadaan Tom Cleverley di bahagian tengah memang dirasai manakala gerakan Anderson dan Darren Fletcher seringkali mudah dibaca Frank Lampard dan Ramires.  Anderson hampir sahaja menghadiahkan gol saguhati kepada Chelsea diseparuh masa pertama apabila hantarannya berjaya disambar Torres, namun peluang itu gagal dimanfaatkan biarpun beliau cuma berdepan dengan de Gea.  Tindakan Ferguson melakukan pertukaran pemain di separuh masa kedua berjaya memberi nafas baru kepada barisan United.  

Antonio Valencia yang menggantikan Anderson berjaya menghidupkan gerakan di sebelah kanan menerusi larian-larian pantasnya dan United hampir menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Phil Dowd selepas Nani dikasari Jose Bosingwa.  Rooney yang ditugaskan mengambil sepakan itu bagaimanapun sekadar melihat sepakannya jauh tersasar.  Beberapa peluang terbaik selepas itu berjaya diperolehi oleh kedua-dua pasukan namun gagal disempurnakan barisan penyerang masing-masing.  Beberapa peluang terbaik Chelsea untuk merapatkan kedudukan hadir melalui Torres namun gagal disempurnakan bekas penyerang Liverpool itu manakala United pula terlepas beberapa peluang keemasan melalui Rooney dan Dimitar Berbatov terutamanya di penghujung perlawanan.  Pujian harus diberikan kepada barisan `back four' United yang dibarisi tiga pemain muda (Smalling, Jones dan Evans) kerana berjaya menangani asakan barisan berpengalaman Chelsea manakala de Gea pula cemerlang di gawang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan.  Persembahan cemerlang de Gea turut disaksikan lagenda yang juga bekas penjaga gol United, Peter Schmeichel.  Persembahan United kali ini tidaklah sebaik mana, namun apa yang penting misi mencari tiga mana di gelanggang sendiri tetap tercapai.   Kemenangan ke atas pasukan yang dianggap antara pencabar gelaran musim ini dan berpengalaman seperti Chelsea amat penting bagi menyuntik semangat dan keyakinan lebih tinggi kepada barisan muda United.  Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan