15 September 2011

SENTUHAN LAGENDA GIGGS


Manchester United memerlukan sentuhan berbisa Ryan Giggs untuk berkongsi mata dengan Benfica dalam perlawanan Kumpulan C, Liga Juara-Juara di Lisbon awal pagi tadi.  United ketinggalan melalui jaringan Oscar Cardozo diminit ke-24 namun Giggs berjaya menyamakan kedudukan buat United diminit ke-42.  Sir Alex Ferguson mengotakan janjinya mahu menurunkan skuad berbeza dengan menyenaraikan Antonio Valencia, Park Ji-Sung, Darren Fletcher, Ryan Giggs, Anders Lindegaard dan Michael Carrick dalam kesebelasan utama sambil merehatkan Phil Jones, David de Gea, Javier Hernandez, Nani dan Anderson manakala Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic diketepikan akibat kecederaan.  
Walaupun statistik menunjukkan United menguasai 61% penguasaan bola namun skuad Red Devils jarang memberikan ancaman kepada Artur di gawang tuan rumah.  Gol penyamaan Giggs menunjukkan betapa sentuhan bintang veteran itu masih berbisa.  Giggs yang menerima hantaran pendek Valencia sempat melihat kedudukan Artur di gawang sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol berasal dari Brazil itu.  Gol dari Giggs ini juga menjadikan beliau  pemegang rekod baru Liga Juara-Juara sebagai pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam 16 musim berbeza.  Rekod sebelum ini dikongsi Giggs bersama lagenda Sepanyol, Raul Gonzalez (15 musim).  Di samping itu, Giggs juga memegang rekod sebagai pemain tertua menjaringkan gol dalam kempen Liga Juara-Juara (37 tahun, 289 hari).  Sementara itu, Ferguson ternyata gembira dengan keputusan yang dicapai pasukannya dalam perlawanan ini.  Sekalipun menurunkan skuad kedua, Fergie gembira United berjaya mendominasi perlawanan dan hampir membawa pulang tiga mata ke Old Trafford namun kurang bernasib baik apabila percubaan Giggs diminit ke-75 sedikit tersasar.  United akan menerima kunjungan wakil Switzerland, FC Basel di Old Trafford 28 September ini untuk perlawanan kedua Kumpulan C...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan