Manchester United benar-benar berada dalam prestasi terbaik mereka selepas sekali lagi mencatat kemenangan besar di awal musim. Selepas Arsenal melihat gawang mereka dibolosi sebanyak lapan kali, kini giliran penyokong Bolton Wanderers pula menyaksikan pasukan mereka diaibkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu. Tambah menarik, kemenangan besar ini dicatatkan di Stadium Reebok, gelanggang yang sering mendatangkan masalah buat United sejak beberapa musim kebelakangan ini. Tidak seperti musim lalu, di mana United terpaksa berhempas pulas untuk berkongsi mata di sini, kali ini skuad The Red Devils tidak berdepan laluan sukar untuk meraih tiga mata. Terima kasih atas sumbangan hatrik dari Wayne Rooney (minit ke-20, 25 dan 67) dan dua gol dari Javier Hernandez (minit ke-5 dan 59). Kehadiran semula Hernandez dalam kesebelasan utama ternyata tidak menghampakan apabila dia meletakkan United di depan ketika perlawanan baru berusia lima minit. Gol pendahuluan United itu adalah yang paling menarik dalam perlawanan ini selepas Hernandez melakukan gerakan bijak dari belakang dua pertahanan lawan (Gary Cahill dan Paul Robinson) sebelum mudah menolak masuk bola hantaran Nani. Rooney pula ternyata berada pada prestasi terbaiknya apabila sekali lagi menyumbang hatrik buat United selepas melakukannya dua minggu lalu di Old Trafford ketika pertemuan dengan Arsenal.
Kehadiran semula Hernandez menyuntik ketajaman di bahagian hadapan dan gandingannya bersama Rooney sering memberikan masalah kepada benteng The Trotters. Perlawanan ini juga menyaksikan kemunculan semula Rio Ferdinand menerajui benteng tengah pertahanan bersama Jonny Evans. Pengalaman Rio di benteng banyak membantu pertahanan muda United beraksi dengan lebih yakin terutamanya David de Gea yang berada di barisan paling belakang. de Gea terus menjadi tumpuan lensa kamera sepanjang perlawanan namun penjaga gol U-21 Sepanyol itu tampak semakin meningkat dan mempamerkan keyakinan tinggi dalam perlawanan ini. Walaupun beberapa kali diuji, terutamanya melalui rembatan Ivan Klasnic di separuh masa pertama, de Gea berjaya membuktikan bahawa pelaburan 18 juta Pound ke atas dirinya ternyata berbaloi. United bagaimanapun terpaksa membayar harga mahal untuk kemenangan ini apabila bakal kehilangan Tom Cleverley dan Jonny Evans untuk tempoh yang lama. Cleverley terpaksa dibawa keluar diminit ke-24 selepas menerima terjahan keras dari Kevin Davies dan kemudiannya muncul dibangku simpanan United dengan kaki berbalut. Jonny Evans pula terpaksa dikeluarkan diminit ke-61 apabila mengadu mengalami masalah pangkal paha. Kemenangan ini menyaksikan United terus menerajui takhta liga dengan kelebihan jaringan biarpun berkongsi 12 mata dengan Manchester City...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan