17 September 2011

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn CHELSEA


Perlawanan besar hujung minggu ini yang menemukan Manchester United dan Chelsea bakal menjadi ujian besar buat skuad bimbingan Sir Alex Ferguson.  Selepas meraih mata maksimum dalam empat perlawanan awal mereka, kehadiran Chelsea di Old Trafford esok bakal menguji sejauh mana karekter yang dimiliki barisan muda United untuk mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.  Meskipun mengakui bahawa skuad berpengalaman Chelsea adalah ujian paling berat yang bakal dihadapi United setakat ini, Ferguson yakin inilah perlawanan yang paling ditunggu-tunggu bukan saja oleh peminat tapi juga barisan muda miliknya untuk membuktikan sesuatu.  Ferguson dijangkan menggunakan formasi yang sama ketika mereka membenam Bolton Wanderers minggu lalu.  Ini bermakna Nani, Ashley Young, Phil Jones, Anderson, David de Gea dan Rio Ferdinand yang tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika United berkunjung ke Lisbon dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah mereka akan kembali semula memperkuatkan pasukan.  Sekalipun Anders Lindegaard beraksi cemerlang mengawal gawang ketika United berhadapan dengan Benfica Khamis lalu,  Ferguson menegaskan bahawa de Gea akan kembali mendapat tempatnya sebagai penjaga gol nombor satu dalam perlawanan ini.  Ketiadaan Tom Cleverley kerana kecederaan ligamen bakal membuka peluang buat Darren Fletcher kembali memperkuatkan bahagian tengah United bersama Anderson.

Berbeza dengan United yang sekadar mencatat keputusan seri di Eropah, Chelsea pula tentunya masih segar dan bersemangat dengan kejayaan mereka menundukkan Bayern Leverkusen di Stamford Bridge. Sepertimana United, anak-anak buah Villas-Boas juga masih belum kalah selepas mengharungi empat perlawanan liga setakat ini.   Cuma kejayaan Stoke City yang berjaya memaksa mereka berkongsi mata pada perlawanan pertama mencalarkan sedikit reputasi Chelsea sebagai pencabar utama kejuaraan liga.  Pemain tumpuan Chelsea pastinya terarah kepada Juan Mata yang berjaya menjaringkan dua gol dari tiga penampilannya bersama skuad The Blues itu setakat ini. Selain itu Fernando Torres yang beraksi baik ketika membantu Chelsea menewaskan Leverkusen juga bakal menjadi tumpuan.  Torres yang hanya menjaringkan satu gol  di peringkat liga sejak menyertai Chelsea dari Liverpool Januari lalu bakal digandingkan dengan Nicolas Anelka dibahagian serangan menggantikan Didier Drogba yang masih cedera. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Chris Smalling, Darren Fletcher, Andeson, Nani, Ashley Young, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Keputusan Lima Perlawanan Terakhir United/Chelsea:

8 Mei 2011: Man Utd 2 - Chelsea 1 (Liga Perdana)
12 April 2011: Man Utd 2 - Chelsea 1 (Liga Juara-Juara)
6 April 2011: Chelsea 0 - Man Utd 1 (Liga Juara-Juara)
1 Mac 2011: Chelsea 2 - Man Utd 1 (Liga Perdana)
8 Ogos 2010: Man Utd 3 - Chelsea 1 (Perisai Komuniti)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan