24 Oktober 2011

MALAM JAHANAM DI OLD TRAFFORD


Apa sebenarnya yang telah berlaku ke atas skuad Red Devils malam tadi sehingga begitu mudah dijinakkan Manchester City di gelanggang keramat mereka sendiri, Old Trafford.  Sir Alex Ferguson mengakui, dia begitu kecewa dengan keputusan di akhir perlawanan yang menyaksikan United tunduk 1-6 kepada jiran mereka itu, rekod terburuk United di Theatre of Dream ketika menentang City sejak 1926.  United ketinggalan di babak pertama hasil jaringan Mario Balotelli dan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jonny Evans dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mark Clattenburg.  Balotelli menggandakan jaringan buat City diminit ke-60 dan sembilan minit kemudian giliran Sergio Aguero pula meletakkan City selesa mendahului dengan tiga gol.  

Walaupun Darren Fletcher berjaya merapatkan kedudukan diminit ke-81, Edin Dzeko merakamkan hatrik untuk melengkapkan malam derita buat skuad kendalian Sir Alex Ferguson itu.  "Ini adalah hari terburuk buat kami bahkan ketika saya masih bermain, saya tidak pernah mengalami kekalahan 1-6", kata Ferguson.  Menurut Ferguson, layangan kad merah yang diterima Evans menjadi detik penentu kejatuhan mereka dalam perlawanan itu.  Meskipun kekurangan seorang pemain, Ferguson berpendapat pasukannya harus bermain secara terbuka bagi mencari gol penyamaan sambil bergantung kepada pengalaman Rio Ferdinand dan Patrice Evra di benteng dalam menyerap asakan lawan.  "Ketika kami kekurangan seorang pemain, kami masih terus menyerang dan bermain secara terbuka.  Ini sebenarnya sungguh gila dan bolasepak sememangnya gila".  Kekalahan ini juga menyaksikan rekod kemenangan 19 perlawanan berturut-turut United di Old Trafford berakhir.  United kini ketinggalan lima mata di belakang City namun bernasib baik tidak dipintas Chelsea yang berada di tangga ketiga.  Skuad kendalian Andre Villas-Boas itu tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers dalam satu lagi perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!

21 Oktober 2011

PREVIEW: MAN UNITED lwn MAN CITY


Perlawanan antara Manchester United dan Manchester City pada 23 Oktober ini adalah derby ke 137 antara dua kelab berjiran itu dan bolehlah diangggap sebagai perlawanan terbesar di Liga Perdana Inggeris setakat ini.  United memenangi 54 perlawanan, seri 45 dan kalah 37 dari 136 perlawanan mereka sebelum ini.  Ada sebab untuk mengatakan demikian jika mengambilkira kedudukan kedua-dua kelab Manchester itu dalam liga selepas mengharungi lapan perlawanan. Kedua-dua kelab Manchester itu menguasai carta liga selepas City unggul di tangga teratas dengan 22 mata sambil diekori rapat United dengan 20 mata di tangga kedua.  Perang psikologi sudahpun dilancarkan oleh pemain kedua-dua pasukan dan yang terbaru melalui bintang tengah City, Nigel de Jong.  Seolah-olah cuba meremehkan cabaran United atau sekadar memanaskan suasana sebelum perlawanan, de Jong menganggap pasukannya adalah pilihan utama memenangi perlawanan ini biarpun menyedari mereka akan bertandang ke Old Trafford, gelanggang yang menyaksikan United mencatat 18 kemenangan berturut-turut dalam liga setakat ini.  Statistik lima perlawanan terakhir United agak kurang memberangsangkan bermula semasa mereka diikat Stoke City pada 24 September kemudian sekali lagi terpaksa berkongsi mata dengan FC Basel dalam saingan Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri pada 28 September.  United mempamerkan persembahan sederhana ketika menewaskan Norwich City, 2-0 di Old Trafford dan sekali lagi terpaksa berkongsi mata dengan Liverpool, tetapi mempamerkan aksi terpuji ketika di Anfield.  Selasa lalu, United meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara ke atas wakil Romania, Otelul Galati.  Biarpun menguasai keseluruhan permainan, United terpaksa bergantung kepada dua penalti Wayne Rooney untuk membawa pulang tiga mata penuh.  

Situasi berbeza dialami oleh City apabila mereka mencatat empat kemenangan pada lima perlawanan terakhir mereka.  Bayern Munich menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencalarkan ego skuad jutawan itu apabila membenam skuad kendalian Roberto Mancini 2-0 di Allianz Arena pada saingan Liga Juara-Juara, 28 September lalu. City mencatat kemenangan 2-0 ke atas Everton, 4-0 ke atas Blackburn Rovers, 4-1 ke atas Aston Villa dan 2-1 ke atas Villareal (Liga Juara-Juara).  Rekod sepuluh pertemuan terakhir United/City sejak 2008 bagaimanapun memihak kepada skuad The Red Devils apabila United menang 7 dan tewas 3 perlawanan kepada City.  Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan ialah ketika merebut trofi Perisai Komuniti pada 7 Ogos lalu di mana United bangkit secara dramatik untuk  memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 selepas ketinggalan 0-2.  Perlawanan kali ini juga bakal menyaksikan pertembungan dua penyerang prolifik kedua-dua pasukan antara Wayne Rooney dan Sergio Aguero. Rooney dan Aguero mempamerkan ketajaman masing-masing apabila mendahului senarai penjaring terbanyak setakat ini dengan lapan gol.  Sir Alex Ferguson melabelkan perlawanan ini sebagai derby terbesar sepanjang karier 25 tahunnya di Old Trafford.  Hanya kemenangan ke atas `jiran yang bising' itu akan menjadi hadiah terbaik buat Ferguson yang akan menyambut ulang tahun ke-25 sebagai  pengurus United pada 6 November ini.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Nani, Ashley Young, Anderson, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez 

UNITED KEJAR REKOD DI GELANGGANG SENDIRI


Perlawanan derby Manchester yang akan berlangsung Ahad ini bolehlah dianggap sebagai pertembungan besar Liga Perdana Inggeris selepas kedua-dua pasukan dari bandar Manchester itu menguasai tangga teratas liga.  Manchester City menduduki puncak takhta liga dengan 22 mata sambil diekori United di tangga kedua dengan 20 mata.  Penampilan skuad kendalian Roberto Mancini  musim ini mendapat pujian dari pemain sayap United, Nani.  "City merupakan pasukan hebat dan diperkuatkan oleh pemain-pemain hebat. Pastinya sukar untuk mengalahkan mereka", kata Nani.  Nani bagaimanapun mengingatkan jiran mereka itu, bahawa lawan mereka kali ini adalah Manchester United dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri akan dipergunakan sepenuhnya untuk meraih mata maksimum.  Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea yang merupakan pesaing utama merebut kejuaraan liga musim ini sudah merasai peritnya bila berdepan United di Old Trafford dan Nani memberi amaran bahawa City bakal menerima nasib yang sama.  "Mereka (City) harus ingat bahawa kami adalah Manchester  United dan sukar mengalahkan kami di sini (Old Trafford).  Keyakinan dalam pasukan ketika ini cukup tinggi".  United sudah memecahkan rekod kemenangan mereka di gelanggang sendiri ketika menewaskan Norwich City 1 Oktober lalu.  Kemenangan ke atas Norwich adalah kemenangan ke-18 berturut-turut mereka setakat ini di gelanggang sendiri dan United kini memburu rekod yang masih di pegang Bradford Park Avenue yang mencatat 25 kemenangan berturut-turut.  Untuk itu, United harus menewaskan Manchester City, Sunderland, Newcastle United, Wolves, Wigan Athletic dan Blackburn Rovers untuk menyamai rekod tersebut.

20 Oktober 2011

TIADA RAYUAN UNTUK KAD MERAH VIDIC


Manchester United tidak akan mengemukakan rayuan atas kad merah yang diterima kapten mereka, Nemanja Vidic ketika menentang Otelul Galati dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara kelmarin.  Vidic dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Felix Brych diminit ke-67, tiga minit selepas Wayne Rooney meletakkan United didepan melalui sepakan penalti.  Mengulas insiden tersebut, Ferguson mengatakan kekasaran yang dilakukan Vidic mungkin dianggap berbahaya oleh pengadil perlawanan terutamanya dalam saingan di peringkat Eropah.  Ferguson juga menegaskan, United tidak akan mengemukakan rayuan kepada UEFA agar layangan kad merah itu dikaji semula kerana beliau yakin usaha itu adalah sia-sia.  "Dia (Vidic) mengangkat kakinya dan dari pandangan pengadil itu adalah kekasaran yang serius terutamanya di peringkat Eropah.  Saya faham kenapa dia (Brych) melayangkan kad merah tetapi saya tetap beranggapan tindakan pengadil agak berlebihan", kata Ferguson.  Walaupun penampilan pasukannya di National Arena, Bucharest sederhana, Ferguson tetap puas meraih tiga mata berharga di sana selepas sekadar mencatat dua keputusan seri pada perlawanan sebelumnya.  Menurut Ferguson kebanyakkan perlawanan di gelanggang lawan pada peringkat ini agak sukar tetapi gembira melihat United menguasai tuan rumah sepanjang perlawanan.  "Saya puas dengan keputusan perlawanan ini, pemain-pemain juga telah  bekerja keras dan bersabar sepanjang perlawanan".  Glory Glory Manchester United!!!

19 Oktober 2011

2 PENALTI ROONEY, 3 MATA UNTUK UNITED


Manchester United akhirnya meraih tiga mata penuh selepas berjaya menewaskan wakil Romania Otelul Galati 2-0 di National Arena sebentar tadi.  Dua jaringan penalti dari Wayne Rooney sudah cukup buat skuad The Red Devils meraih tiga mata berharga selepas terpaksa berkongsi mata dalam dua perlawanan awal mereka sebelum ini.  Ferguson meletakkan David de Gea, Phil Jones dan Jonny Evans di bangku simpanan sebaliknya memberi peluang buat Anders Lindegaard dan Fabio da Silva tampil dalam perlawanan ini manakala kapten pasukan, Nemanja Vidic muncul buat pertama kali selepas diketepikan selama dua bulan kerana masalah kecederaan.  Michael Carrick, Anderson, Nani dan Antonio Valencia pula diberi kepercayaan menjana jentera tengah United manakala Rooney dan Javier Hernandez kekal sebagai penggempur utama.  Sekalipun menguasai sepenuhnya perlawanan, United gagal menembusi pintu gol tuan rumah yang dikawal Branko Grahovac sepanjang separuh masa pertama.  Diminit ke-64, United dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Sergiu Costin di dalam petak penalti dan Rooney mudah menyempurnakannya untuk meletakkan United di hadapan.  Gol itu juga adalah jaringan ke-25 Rooney dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sekaligus meletakkan dirinya sebagai pemain England paling banyak menjaringkan gol dalam saingan elit kelab-kelab Eropah itu.  Rekod sebelumnya dikongsi bersama Rooney dengan seorang lagi pemain United, Paul Scholes (24 gol).  Selang dua minit kemudian, United dikejutkan dengan layangan kad merah yang diterima Nemanja Vidic dan biarpun beraksi dengan sepuluh pemain, tuan rumah tetap gagal memberi ancaman kepada Lindegaard.  Di penghujung permainan, pengadil perlawanan Felix Brych sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat United selepas Rooney dikasari Flaviu Antal di dalam petak penalti.  Rooney yang baru-baru ini dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan pada Euro 2012 nanti memastikan tiga mata penuh buat United apabila sekali lagi mudah menyempurnakan sepakan tersebut.  Kemenangan ini melonjakkan United di tangga kedua Kumpulan C dengan lima mata selepas Benfica berjaya menewaskan FC Basel 2-0 di gelanggang lawan. Glory Glory Manchester United!!!

18 Oktober 2011

PREVIEW: OTELUL GALATI lwn MANCHESTER UTD


Sir Alex Ferguson membawa pasukannya ke Bucharest bagi misi memburu kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan C, Liga Juara-Juara dengan seribu tandatanya.  United yang dijadualkan berdepan juara Romania, Otelul Galati awal pagi esok tiba di Bucharest semalam, namun  Ferguson mengakui bertemu pasukan penuh misteri seperti  Galati amat meresahkannya.  "Saya tidak tahu Galati berada dimana dan saya juga tidak pasti jika mereka menukar nama seperti kebanyakkan kelab Eropah yang lain. Apa yang pasti saya tidak pernah mendengar nama pasukan itu", kata Ferguson.  Selain itu, Ferguson hanya mampu menganalisa permainan lawan menerusi rakaman video kerana tiada rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini.  Kunjungan United ke Romania kali ini tanpa kelibat pertahanan berpengaruh mereka,  Rio Ferdinand.  Ferguson terpaksa menyisihkan Ferdinand dari senarai pemain kerana ingin merehatkan tonggak pertahanannya itu namun kapten pasukan, Nemanja Vidic kembali dalam pasukan selepas diketepikan sejak 13 Ogos lalu kerana masalah kecederaan. "Rio bermain dengan baik ketika menentang Liverpool namun kami mengambil keputusan untuk memberikan masa rehat untuknya.  Bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari amat berisiko untuknya tetapi kami akan memperolehi kembali khidmat Vidic".

Di gawang pasukan, Ferguson mungkin memilih David de Gea yang mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Liverpool berbanding Anders Lindegaard. Selepas melakukan beberapa kesilapan diawal kemunculannya bersama United, de Gea kini dilihat semakin matang selepas melalui beberapa ujian getir, sesuatu yang jarang berlaku terhadap pemain muda sepertinya.  Disamping mahu mencari kemenangan pertama dalam kempen Eropah mereka, Ferguson juga perlu bijak melakukan penggiliran pemain kerana mereka juga akan berdepan ujian getir di liga domestik hujung minggu ini.  United akan bertemu jiran mereka yang juga pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City di Old Trafford Ahad ini.  Untuk itu, Ferguson mungkin akan menggunakan Patrice Evra, Nemanja Vidic, Jonny Evans dan Chris Smalling di bahagian pertahanan manakala Antonio Valencia, Park Ji-Sung, Nani dan Darren Fletcher di bahagian tengah.  Di bahagian serangan pula, kelibat Wayne Rooney dan Javier Hernandez yang hanya diturunkan selama 20 minit ketika pertemuan dengan Liverpool tempohari pasti akan digunakan sepenuhnya oleh Ferguson dalam perlawanan ini.  Selepas sekadar mengutip dua mata dalam dua perlawanan awal mereka, United tiada pilihan lain selain meletakkan misi mencapai tiga mata penuh dalam perlawanan ini.  Evra menjadi satu-satunya pemain United yang pernah beraksi di National Arena dan pengalamannya bersama pasukan Perancis menentang Romania di sini  dalam  kelayakan Euro 2012 mungkin sedikit berguna untuk perlawanan awal pagi esok.  Glory Glory Manchester United!!!

16 Oktober 2011

ALASAN FERGIE TAK TURUNKAN ROONEY



Ketiadaan Wayne Rooney dalam kesebelasan utama Manchester United di Anfield semalam pastinya meninggalkan bukan sedikit tandatanya baik dari penyokong lawan mahupun United sendiri.  Sir Alex Ferguson sekadar meletakkan Rooney di bangku simpanan United bersama Javier Hernandez, sebaliknya menggunakan kombinasi `pelik' di bahagian serangan dalam perlawanan dua seteru tradisi itu.  Ryan Giggs dan Danny Welbeck digunakan Ferguson sebagai penggempur utama hampir sepanjang perlawanan hinggalah Rooney dan Hernandez dibawa masuk pada penghujung perlawanan.  Menjawab persoalan dari ramai pihak mengapa penjaring terbanyak liga setakat ini sekadar diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan yang dianggap besar seperti ini, Ferguson akhirnya mengatakan mental Rooney tidak bersedia untuk perlawanan ini.  Selepas digantung tiga perlawanan oleh UEFA kerana kekasaran ketika perlawanan kelayakan Euro 2012 antara England dan Montenegro, Ferguson menganggap mental Rooney berada pada tahap terburuk.  "Mental Rooney hancur kerana hukuman gantung tiga perlawanan yang dijatuhkan oleh UEFA", kata Fergie.  "Ini merupakan minggu yang buruk buatnya dan memandangkan emosinya berada pada tahap rendah, adalah lebih baik dia diletakkan di bangku simpanan", tambah Fergie lagi. Glory Glory Manchester United!!!