Perlawanan antara Manchester United dan Manchester City pada 23 Oktober ini adalah derby ke 137 antara dua kelab berjiran itu dan bolehlah diangggap sebagai perlawanan terbesar di Liga Perdana Inggeris setakat ini. United memenangi 54 perlawanan, seri 45 dan kalah 37 dari 136 perlawanan mereka sebelum ini. Ada sebab untuk mengatakan demikian jika mengambilkira kedudukan kedua-dua kelab Manchester itu dalam liga selepas mengharungi lapan perlawanan. Kedua-dua kelab Manchester itu menguasai carta liga selepas City unggul di tangga teratas dengan 22 mata sambil diekori rapat United dengan 20 mata di tangga kedua. Perang psikologi sudahpun dilancarkan oleh pemain kedua-dua pasukan dan yang terbaru melalui bintang tengah City, Nigel de Jong. Seolah-olah cuba meremehkan cabaran United atau sekadar memanaskan suasana sebelum perlawanan, de Jong menganggap pasukannya adalah pilihan utama memenangi perlawanan ini biarpun menyedari mereka akan bertandang ke Old Trafford, gelanggang yang menyaksikan United mencatat 18 kemenangan berturut-turut dalam liga setakat ini. Statistik lima perlawanan terakhir United agak kurang memberangsangkan bermula semasa mereka diikat Stoke City pada 24 September kemudian sekali lagi terpaksa berkongsi mata dengan FC Basel dalam saingan Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri pada 28 September. United mempamerkan persembahan sederhana ketika menewaskan Norwich City, 2-0 di Old Trafford dan sekali lagi terpaksa berkongsi mata dengan Liverpool, tetapi mempamerkan aksi terpuji ketika di Anfield. Selasa lalu, United meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara ke atas wakil Romania, Otelul Galati. Biarpun menguasai keseluruhan permainan, United terpaksa bergantung kepada dua penalti Wayne Rooney untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Situasi berbeza dialami oleh City apabila mereka mencatat empat kemenangan pada lima perlawanan terakhir mereka. Bayern Munich menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencalarkan ego skuad jutawan itu apabila membenam skuad kendalian Roberto Mancini 2-0 di Allianz Arena pada saingan Liga Juara-Juara, 28 September lalu. City mencatat kemenangan 2-0 ke atas Everton, 4-0 ke atas Blackburn Rovers, 4-1 ke atas Aston Villa dan 2-1 ke atas Villareal (Liga Juara-Juara). Rekod sepuluh pertemuan terakhir United/City sejak 2008 bagaimanapun memihak kepada skuad The Red Devils apabila United menang 7 dan tewas 3 perlawanan kepada City. Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan ialah ketika merebut trofi Perisai Komuniti pada 7 Ogos lalu di mana United bangkit secara dramatik untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 selepas ketinggalan 0-2. Perlawanan kali ini juga bakal menyaksikan pertembungan dua penyerang prolifik kedua-dua pasukan antara Wayne Rooney dan Sergio Aguero. Rooney dan Aguero mempamerkan ketajaman masing-masing apabila mendahului senarai penjaring terbanyak setakat ini dengan lapan gol. Sir Alex Ferguson melabelkan perlawanan ini sebagai derby terbesar sepanjang karier 25 tahunnya di Old Trafford. Hanya kemenangan ke atas `jiran yang bising' itu akan menjadi hadiah terbaik buat Ferguson yang akan menyambut ulang tahun ke-25 sebagai pengurus United pada 6 November ini. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Nani, Ashley Young, Anderson, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez
Tiada ulasan:
Catat Ulasan