Perlawanan derby Manchester yang akan berlangsung Ahad ini bolehlah dianggap sebagai pertembungan besar Liga Perdana Inggeris selepas kedua-dua pasukan dari bandar Manchester itu menguasai tangga teratas liga. Manchester City menduduki puncak takhta liga dengan 22 mata sambil diekori United di tangga kedua dengan 20 mata. Penampilan skuad kendalian Roberto Mancini musim ini mendapat pujian dari pemain sayap United, Nani. "City merupakan pasukan hebat dan diperkuatkan oleh pemain-pemain hebat. Pastinya sukar untuk mengalahkan mereka", kata Nani. Nani bagaimanapun mengingatkan jiran mereka itu, bahawa lawan mereka kali ini adalah Manchester United dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri akan dipergunakan sepenuhnya untuk meraih mata maksimum. Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea yang merupakan pesaing utama merebut kejuaraan liga musim ini sudah merasai peritnya bila berdepan United di Old Trafford dan Nani memberi amaran bahawa City bakal menerima nasib yang sama. "Mereka (City) harus ingat bahawa kami adalah Manchester United dan sukar mengalahkan kami di sini (Old Trafford). Keyakinan dalam pasukan ketika ini cukup tinggi". United sudah memecahkan rekod kemenangan mereka di gelanggang sendiri ketika menewaskan Norwich City 1 Oktober lalu. Kemenangan ke atas Norwich adalah kemenangan ke-18 berturut-turut mereka setakat ini di gelanggang sendiri dan United kini memburu rekod yang masih di pegang Bradford Park Avenue yang mencatat 25 kemenangan berturut-turut. Untuk itu, United harus menewaskan Manchester City, Sunderland, Newcastle United, Wolves, Wigan Athletic dan Blackburn Rovers untuk menyamai rekod tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan