14 Februari 2012

KENALI LAGENDA: SIR BOBBY CHARLTON


Sir Bobby Charlton hanya berusia 20 tahun ketika beliau terbabit dengan nahas udara Munich pada 6 Februari 1958 yang mengorbankan lapan pemain dan 15 penumpang lain.  Selepas pulih dari kecederaan dan trauma akibat tragedi tersebut, Charlton bangkit dan dalam perlawanan-perlawanan yang disertainya selepas itu, beliau seolah-olah bermain untuk rakan-rakannya yang terkorban.  Dalam tempoh 17 tahun kariernya bersama United, Charlton tampil sebanyak 754 perlawanan dan menjaringkan 247 gol.  Pada usia 16 tahun, Charlton sudah mula menarik perhatian kelab-kelab utama di England namun memilih menyertai United sebagai pemain profesional pada bulan Oktober 1954.  Charlton berjaya membantu United memenangi Piala FA Remaja untuk tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1954, 1955 dan 1956.  Penampilan pertamanya bersama skuad utama United hadir pada 6 Oktober 1956 ketika menentang Charlton Athletic di Old Trafford.  Charlton memberikan impak besar pada penampilan pertamanya dalam skuad utama dengan menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.  Demi memenuhi impiannya bermain untuk skuad utama United, Charlton menyembunyikan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika itu dari pengetahuan Sir Matt Busby.  

Charlton menjaringkan 10 gol pada musim 1956/57 sekaligus membantu United memenangi gelaran liga ketika itu.  Persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama ketika itu begitu sengit, namun hatrik yang dirakam Charlton pada Januari 1958 ketika menentang Bolton Wanderers akhirnya membuka membuka mata Busby untuk menyenaraikan Charlton dalam skuad utamanya.  Sebulan kemudian, Charlton menyinar apabila beliau menjaringkan dua gol untuk mengikat Partizan Belgrade 3-3 di gelanggang lawan pada saingan peringkat Eropah.  Tragedi yang meragut nyawa lapan pemain United berlaku dalam penerbangan pulang mereka dari Belgrade tetapi Charlton hanya mengalami kecederaan kecil dan kembali bermain dalam tempoh sebulan.  Charlton muncul pemain penting dalam pembentukan semula pasukan selepas tragedi Munich dan berjaya membantu United meraih kejuaraan liga pada tahun 1965 dan 1967.  Bukan setakat di peringkat kelab, Charlton juga merupakan pemain yang ada dalam skuad England yang  memenangi Piala Dunia 1966.  Karier Charlton terus gemilang apabila dia dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan di England dan Pemain Terbaik Eropah.  Untuk skuad kebangsaan England, Charlton telah bermain sebanyak 106 perlawanan dan menjaringkan 49 gol serta tiga kali dilantik sebagai kapten pasukan. 

Walaupun sudah memenangi Piala Dunia bersama England, kemuncak kegemilangan Charlton sebagai pemain muncul apabila beliau mengetuai United meraih Piala Eropah buat pertama kalinya pada Mei 1968.  Selepas hampir sepuluh tahun membina semula pasukan selepas tragedi nahas udara Munich, Sir Matt Busby akhirnya berjaya membawa United meraih trofi sulung mereka di peringkat Eropah melalui skuad yang terkenal dengan gelaran The Busby Babes itu. Charlton menjaringkan dua gol disebalik kemenangan 4-1 United ke atas Benfica pada perlawanan akhir yang diadakan di Wembley.  Charlton akhirnya bersara pada tahun 1973 dan beliau menghabiskan tempoh dua tahun sebagai pengurus untuk Preston North End sebelum meletak jawatan pada Ogos 1975.  Beliau kembali bermain untuk Waterford di Ireland pada 1976 sebelum menjawat jawatan dalam lembaga pengarah Wigan Athletic dan dilantik sebagai pengurus pada musim 1982/83.  Pada Jun 1984, Charlton dilantik sebagai pengarah di Manchester United, jawatan yang masih beliau pegang sehingga kehari ini.  Dianugerahkan pingat OBE dan CBE yang membawa gelaran Sir pada bulan Jun 1994.  Bukan saja lagenda dan duta kelab, Charlton juga adalah lambang kepada kegemilangan United untuk masa lalu, masa kini dan masa depan kelab.

13 Februari 2012

REDKNAPP MAHUKAN SCHOLES


Teka teki siapa pengganti kepada Fabio Capello sebagai pengurus England masih belum terjawab selepas warga Itali itu meletakkan jawatan secara mengejut minggu lalu.  Individu paling hangat diperkatakan sebagai calon sesuai memimpin skuad The Three Lions itu di pusingan akhir Euro 2012, Jun ini ialah pengurus Tottenham Hotspurs, Harry Redknapp.  Walaupun FA England masih belum mengumumkan siapa yang bakal mengisi kerusi panas itu, ramai pemerhati meletakkan pertaruhan seratus peratus bahawa Redknapp bakal dipilih menerajui England.  Meskipun Redknapp sendiri masih belum mengesahkan dia bakal mengisi kekosongan jawatan pengurus England menggantikan Capello, warga England berusia 64 tahun sudahpun memberikan bayangan pemain yang mahu dibawanya ke Ukraine nanti.  Paul Scholes muncul pemain paling dikehendaki Redknapp untuk memperkuatkan barisan tengah England jika dia dipilih memegang jawatan tersebut.  "Mari kita bercakap secara jujur.  Anda pasti senang jika Paul Scholes tampil di Euro tahun ini.  Dia akan berada dalam pasukan  kerana dia pemain yang hebat", kata Redknapp.  Tanpa berselindung, Redknapp melabelkan lagenda Manchester United yang kembali dari persaraan bulan lalu itu setaraf perancang Barcelona, Xavi Hernandez.  "Scholes bermain seperti pemain Sepanyol, mirip seperti Xavi dan Andres Iniesta".  Selain Scholes, Redknapp turut memuji penampilan perancang Chelsea, Frank Lampard.  Selepas FA England melucutkan jawatan ketua pasukan dari John Terry yang bakal disiasat kerana isu perkauman ke atas pertahanan Queens Park Rangers, Anton Ferdinand, Redknapp menyebut beberapa pemain yang layak menggantikan Terry.  Antaranya ialah kapten Liverpool, Steven Gerrard serta Scott Parker, pemain tengah Tottenham Hotspurs.  Glory Glory Manchester United!!!

SUAREZ AKHIRNYA MOHON MAAF


Selepas berhadapan dengan berbagai tekanan, Luis Suarez akhirnya memohon maaf atas keengganannya bersalaman dengan Patrice Evra semasa pertemuan liga antara Manchester United dan Liverpool, Sabtu lalu.  Suarez mengeluarkan kenyataan permohonan maafnya dengan berkata, "Saya bercakap dengan pengurus selepas perlawanan di Old Trafford dan saya sedar saya telah melakukan kesilapan.  Saya bukan saja telah mengecewakannya tapi juga kepada seluruh kelab.  Saya telah melakukan kesilapan dan saya sangat menyesalinya".  Menurut Suarez lagi dia sepatutnya bersalaman dengan Evra tetapi tidak melakukannya dan berharap dengan permohonan maafnya ini, kekeruhan yang terjadi antara kedua-dua kelab dapat diatasi dan dia berharap dapat menumpukan semula fokusnya kepada bolasepak.  Pengarah Urusan Liverpool, Ian Ayre turut mengeluarkan kenyataan berkaitan insiden yang berlaku Sabtu lalu.  "Kami sangat kecewa Luis Suarez tidak bersalaman dengan Patrice Evra sebelum perlawanan.  Suarez mengatakan pada kami sebelumnya bahawa dia akan bersalaman dengan Evra tetapi ternyata dia memilih untuk tidak melakukannya.  Dia bukan hanya mengecewakan dirinya sendiri, tapi juga Kenny Dalglish, rakan-rakan serta kelab.  Tindakan Suarez sungguh tidak boleh diterima", kata Ayre.

Sementara itu ada perkhabaran mengatakan kontrak penyerang antarabangsa Uruguay itu akan dikaji semula oleh pihak pengurusan The Reds. Media di England mengatakan tempat Suarez bersama Liverpool terancam berikutan insiden yang dicetuskannya Sabtu lalu memalukan tradisi kelab.  Suarez dianggap tidak menghormati kelab apabila sebelum perlawanan telah berjanji akan bersalaman dengan Evra tetapi dia tidak melakukannya.  Sekalipun Suarez sudah memohon maaf, pihak pengurusan Liverpool setidak-tidaknya dijangka akan mengenakan tindakan disiplin ke atas Suarez.  Dalglish yang sebelumnya begitu lantang mempertahankan Suarez selepas dia didapati bersalah dan digantung lapan perlawanan oleh FA England kerana menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada Evra, turut tidak senang dengan ketegangan terbaru yang dicetuskan Suarez. Menurut The Mirror, Dalglish yang cukup terkenal sebagai `warga The Reds sejati' menganggap tindakan yang dilakukan Suarez sebagai memalukan kelab.  Menurut Mirror lagi, ada kemungkinan pemilik kelab akan melepaskan Suarez pada musim panas ini sebagai langkah mempertahankan nama baik kelab.  Glory Glory Manchester United!!!

12 Februari 2012

FERGUSON: SIKAP SUAREZ MEMALUKAN



Tiada detik paling hangat untuk diperkatakan tentang pertembungan dua musuh tradisi, Manchester United dan Liverpool semalam selain insiden membabitkan Patrice Evra dan Luis Suarez.  Mata penyokong-penyokong kedua-dua pasukan di Old Trafford tertumpu ketika detik pemain-pemain  bersalaman sebelum perlawanan dimulakan.  Keengganan Suarez bersalaman dengan Evra terus mengundang kecaman dari kem United.  Selepas Rio Ferdinand secara terbuka mengatakan beliau hilang rasa hormat terhadap penyerang Liverpool itu, giliran Sir Alex Ferguson pula mengecam Suarez secara terbuka. Ferguson mengatakan tindakan Suarez enggan bersalaman dengan Evra sebagai sangat memalukan pasukannya sendiri.  Suarez kembali berdepan United buat pertama kalinya selepas digantung lapan perlawanan kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada Patrice Evra dalam perlawanan liga di Anfield 15 Oktober lalu. Selepas tamat perlawanan Evra dan Suarez sekali lagi terlibat dengan insiden apabila kapten United itu dilihat meraikan kemenangan pasukannya di hadapan Suarez hingga memaksa pegawai keselamatan memisahkan kedua-dua pemain.  Selain memalukan Liverpool, Ferguson turut mengecam Suarez dengan mengatakan pemain itu tidak layak bermain untuk skuad Kenny Dalglish.  "Saya tidak percaya, saya benar-benar tidak percaya.  Dia (Suarez) telah memalukan Liverpool, pemain yang sepatutnya tidak lagi bermain untuk Liverpool", kata Ferguson.  "Sejarah pertembungan kedua-dua kelab dan apa yang dilakukan Suarez dalam situasi seperti ini boleh menimbulkan ketegangan.  Saya betul-betul kecewa dengan tindakannya dan apa yang dilakukannya sangat memalukan".  Ketika ditanya tentang tindakan Evra meraikan kemenangan di hadapan Suarez selepas tamat perlawanan, Ferguson menjawab, "Dia (Evra) tidak harus melakukannya".  Glory Glory Manchester United!!!

REVIEW: DUA GOL ROONEY BENAM LIVERPOOL


Pertembungan dua musuh tradisi antara Manchester United dan Liverpool yang pada mulanya dijangka panas sebelum sepak mula tidak berlaku dalam masa sebenar permainan.  Insiden Luis Suarez enggan berjabat tangan dengan Patrice Evra dan tindakan balas Evra yang meraikan kemenangan United di hadapan Suarez selepas tamat perlawanan antara yang mewarnai perlawanan semalam.  Wayne Rooney muncul wira apabila dua gol jaringannya diminit ke-47 dan 50 membantu United meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri sekaligus meletakkan skuad The Red Devils pendahulu takhta liga dengan kelebihan satu mata berbanding Manchester City.  City bagaimanapun boleh merampas semula kedudukan tangga teratas dari United sekiranya menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri di Villa Park malam nanti.  Selepas terikat 0-0 sepanjang babak pertama perlawanan, United bangkit menerusi jaringan Rooney, tiga minit selepas babak kedua bermula hasil sepakan sudut Ryan Giggs.  Tiga minit kemudian Rooney sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila menyudahkan hantaran Antonio Valencia yang sebelumnya bijak menghukum kesilapan Jay Spearing.  Suarez yang menerima ejekan dari penyokong United sepanjang perlawanan merapatkan jurang hasil `kesilapan kecil' Rio Ferdinand diminit ke-80 buat Liverpool.

Sementara itu, pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mengatakan rasa hormatnya terhadap Suarez hilang selepas melihat pemain antarabangsa Uruguay itu enggan berjabat tangan dengan Patrice Evra sebelum perlawanan bermula. Detik (ketika pemain kedua-dua pasukan bersalaman) itu amat dinantikan oleh penyokong-penyokong kedua-dua pasukan selepas Suarez digantung lapan perlawanan kerana menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada Evra. Melihat insiden itu, Ferdinand turut bertindak balas apabila dia dilihat enggan bersalaman, biarpun Suarez sudah menghulurkan tangannya.  "Saya rasa ini adalah tindakan yang buruk dari Suarez.  Ketika anda berhadapan dengan masalah yang cukup sensitif seperti ini adalah lebih baik anda melupakannya dan berjabat tangan.  Selepas menyaksikannya, saya memutuskan untuk tidak bersalaman dengannya.  Dia hilang rasa hormat yang sepatutnya dia miliki dalam situasi seperti ini.  Akan lebih baik jika dia mengakui kesilapannya dan memohon maaf.  Jadi saya sudah hilang rasa hormat terhadapnya selepas insiden ini", kata Ferdinand.  Glory Glory Manchester United!!!








11 Februari 2012

GIGGS KEKAL SEMUSIM LAGI


`Lagenda hidup' Manchester United, Ryan Giggs bersetuju menyambung kontraknya selama semusim lagi sekaligus menyaksikan dia bakal beraksi untuk musim 2012/13 nanti.  Kontrak ini juga bakal menyaksikan pemain veteran berusia 38 tahun itu akan mengharungi musim ke-22nya di Old Trafford.  Giggs yang sudahpun bermain sebanyak 898 perlawanan buat United muncul satu-satunya pemain yang menjaringkan gol pada setiap musim saingan liga England. "Ketika pertama kali menandatangani kontrak, saya tidak menyangka mampu bermain untuk United selama 22 tahun.  Saya merasa baik ketika ini dan saya  masih mampu memberikan sumbangan kepada pasukan memenangi kejuaraan", kata Giggs.  Giggs yang menyertai United pada 1987 diusia 14 tahun, melakukan debut bersama skuad utama The Red Devils pada tahun 1990 selepas menandatangani kontrak sebagai pemain profesional.  Sir Alex Ferguson dalam kenyataanya selepas mengumumkan lanjutan kontrak itu di laman rasmi United, memuji Giggs sambil menyifatkannya sebagai pemain yang cukup luar biasa.  "Ryan pemain yang luar biasa.  Dalam banyak hal, dia menjadi lambang kepada pasukan saya di United.  Dia beradaptasi dengan perubahan zaman dan sentiasa laparkan kejayaan.  Disetiap sesi latihan dan perlawanan sebenar, dia merupakan contoh buat pemain lain.  Di bilik persalinan, pemain-pemain muda harus mengambil kesempatan untuk belajar dari seorang pemain yang mempunyai rekod yang sukar untuk diatasi oleh pemain lain", kata Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!

10 Februari 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn LIVERPOOL



Banyak faktor sentimental setiap kali pertembungan Manchester United dan Liverpool berlangsung tidak kira dalam kejohanan apa sekalipun.  Esok dua musuh tradisi dalam saingan Liga Perdana Inggeris itu sekali lagi bertembung buat kali ke-157 dalam sejarah kedua-dua kelab itu.  Musim lalu, United berjaya memadamkan rekod Liverpool sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga apabila skuad The Red Devils itu muncul kelab paling berjaya dalam saingan domestik dengan memenangi kejuaraan liga ke-19 mereka.  Bagaimanapun ramai berpendapat bahawa perlawanan esok bukan lagi untuk melihat siapa paling banyak mengumpul gelaran tetapi lebih tertumpu pada isu-isu semasa.  Luiz Suarez buat pertama kali akan berdepan dengan United selepas tamat pengantungan lapan perlawanan kerana insiden perkaumannya dengan Patrice Evra dan penyokong-penyokong United pastinya memberikan ujian paling getir buat penyerang antarabangsa Uruguay itu di Old Trafford.  Walaupun perlawanan belum dimulakan, Wayne Rooney telah melakukan `serangan awal' ke atas Liverpool melalui Twitter Rabu lalu, apabila mendakwa Suarez sepatutnya dilayangkan kad merah selepas dia dilihat menendang Scott Parker ketika pertembungan dengan Tottenham Hotspurs dalam perlawanan liga.  Bukan setakat pertembungan Evra/Suarez yang menarik perhatian, perlawanan esok juga amat penting buat kedua-dua pasukan dalam menentukan sasaran mereka pada saingan liga musim ini.  United memerlukan kemenangan bagi meneruskan tekanan mereka kepada pendahulu liga ketika ini, Manchester City manakala Liverpool pula punya agenda besar untuk melayakkan diri kesaingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.  Perubahan pastinya akan dilakukan oleh Sir Alex Ferguson dan Kenny Dalglish dalam perlawanan ini selepas melihat pasukan masing-masing melepaskan dua mata dalam perlawanan terakhir mereka.  

Ferguson pasti akan menggunakan Javier Hernandez sejak dari awal perlawanan selepas penyerang Mexico itu menjaringkan gol penyamaan di Stamford Bridge hujung minggu lalu. Hernandez juga muncul penyelamat melalui gol penyamaan di penghujung perlawanan ketika United berjaya mengikat Liverpool 1-1 di Anfield dalam perlawanan liga 15 Oktober lalu. Ferguson menerima khabar gembira menjelang pertemuan ini apabila Tom Cleverley yang disisihkan sejak 29 Oktober lalu disahkan cergas untuk disenaraikan dalam skuad.  Tentunya amat menarik untuk melihat gandingan Cleverley/Carrick dalam perlawanan ini biarpun Ferguson mungkin tidak mahu mengambil risiko dengan terburu-buru menurunkan Cleverley yang baru pulih dari kecederaan.  Bagi Dalglish pula, beliau tentunya akan menggunakan kepakaran Steven Gerrard dalam melakukan serangan balas pantas ketika lawan alpa menguasai perlawanan.  Ini dibuktikan melalui kemenangan mereka ke atas Chelsea (2-1) dan Arsenal (2-0) di mana statistik selepas perlawanan menunjukkan kedua-dua pasukan menguasai saingan namun keputusan di akhir perlawanan tetap milik The Reds.  Selain Gerrard yang cukup pakar menghukum benteng lawan ketika mereka mula leka naik ke bahagian tengah padang, United juga perlu waspada dengan kelibat Suarez dan Craig Bellamy yang memiliki kepantasan melepasi barisan pertahanan lawan.  Kelemahan David de Gea dalam perebutan bola tinggi juga mungkin bakal digunakan Dalglish dalam perlawanan ini dengan dua pemain tinggi lampai mereka iaitu Andy Carroll dan Martin Kelly pasti akan digunakan dalam situasi di udara.  Apapun ramalan perlawanan ini bakal memihak kepada United dengan keputusan 2-0.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Ashley Young, Paul Scholes, Michael Carrick, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez