12 Februari 2012

REVIEW: DUA GOL ROONEY BENAM LIVERPOOL


Pertembungan dua musuh tradisi antara Manchester United dan Liverpool yang pada mulanya dijangka panas sebelum sepak mula tidak berlaku dalam masa sebenar permainan.  Insiden Luis Suarez enggan berjabat tangan dengan Patrice Evra dan tindakan balas Evra yang meraikan kemenangan United di hadapan Suarez selepas tamat perlawanan antara yang mewarnai perlawanan semalam.  Wayne Rooney muncul wira apabila dua gol jaringannya diminit ke-47 dan 50 membantu United meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri sekaligus meletakkan skuad The Red Devils pendahulu takhta liga dengan kelebihan satu mata berbanding Manchester City.  City bagaimanapun boleh merampas semula kedudukan tangga teratas dari United sekiranya menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri di Villa Park malam nanti.  Selepas terikat 0-0 sepanjang babak pertama perlawanan, United bangkit menerusi jaringan Rooney, tiga minit selepas babak kedua bermula hasil sepakan sudut Ryan Giggs.  Tiga minit kemudian Rooney sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila menyudahkan hantaran Antonio Valencia yang sebelumnya bijak menghukum kesilapan Jay Spearing.  Suarez yang menerima ejekan dari penyokong United sepanjang perlawanan merapatkan jurang hasil `kesilapan kecil' Rio Ferdinand diminit ke-80 buat Liverpool.

Sementara itu, pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mengatakan rasa hormatnya terhadap Suarez hilang selepas melihat pemain antarabangsa Uruguay itu enggan berjabat tangan dengan Patrice Evra sebelum perlawanan bermula. Detik (ketika pemain kedua-dua pasukan bersalaman) itu amat dinantikan oleh penyokong-penyokong kedua-dua pasukan selepas Suarez digantung lapan perlawanan kerana menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada Evra. Melihat insiden itu, Ferdinand turut bertindak balas apabila dia dilihat enggan bersalaman, biarpun Suarez sudah menghulurkan tangannya.  "Saya rasa ini adalah tindakan yang buruk dari Suarez.  Ketika anda berhadapan dengan masalah yang cukup sensitif seperti ini adalah lebih baik anda melupakannya dan berjabat tangan.  Selepas menyaksikannya, saya memutuskan untuk tidak bersalaman dengannya.  Dia hilang rasa hormat yang sepatutnya dia miliki dalam situasi seperti ini.  Akan lebih baik jika dia mengakui kesilapannya dan memohon maaf.  Jadi saya sudah hilang rasa hormat terhadapnya selepas insiden ini", kata Ferdinand.  Glory Glory Manchester United!!!








Tiada ulasan:

Catat Ulasan