Sir Bobby Charlton hanya berusia
20 tahun ketika beliau terbabit dengan nahas udara Munich pada 6 Februari 1958
yang mengorbankan lapan pemain dan 15 penumpang lain. Selepas pulih dari
kecederaan dan trauma akibat tragedi tersebut, Charlton bangkit dan dalam
perlawanan-perlawanan yang disertainya selepas itu, beliau seolah-olah bermain
untuk rakan-rakannya yang terkorban. Dalam tempoh 17 tahun kariernya
bersama United, Charlton tampil sebanyak 754 perlawanan dan menjaringkan 247
gol. Pada usia 16 tahun, Charlton sudah mula menarik perhatian
kelab-kelab utama di England namun memilih menyertai United sebagai pemain
profesional pada bulan Oktober 1954. Charlton berjaya membantu United
memenangi Piala FA Remaja untuk tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1954, 1955
dan 1956. Penampilan pertamanya bersama skuad utama United hadir pada 6
Oktober 1956 ketika menentang Charlton Athletic di Old Trafford. Charlton
memberikan impak besar pada penampilan pertamanya dalam skuad utama dengan
menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut. Demi memenuhi impiannya
bermain untuk skuad utama United, Charlton menyembunyikan kecederaan buku lali
yang dialaminya ketika itu dari pengetahuan Sir Matt Busby.
Charlton menjaringkan 10 gol pada
musim 1956/57 sekaligus membantu United memenangi gelaran liga ketika itu.
Persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama ketika itu begitu
sengit, namun hatrik yang dirakam Charlton pada Januari 1958 ketika menentang Bolton
Wanderers akhirnya membuka membuka mata Busby untuk menyenaraikan Charlton
dalam skuad utamanya. Sebulan kemudian, Charlton menyinar apabila beliau
menjaringkan dua gol untuk mengikat Partizan Belgrade 3-3 di gelanggang lawan
pada saingan peringkat Eropah. Tragedi yang meragut nyawa lapan pemain
United berlaku dalam penerbangan pulang mereka dari Belgrade tetapi Charlton
hanya mengalami kecederaan kecil dan kembali bermain dalam tempoh sebulan.
Charlton muncul pemain penting dalam pembentukan semula pasukan selepas
tragedi Munich dan berjaya membantu United meraih kejuaraan liga pada tahun
1965 dan 1967. Bukan setakat di peringkat kelab, Charlton juga merupakan
pemain yang ada dalam skuad England yang memenangi Piala Dunia 1966. Karier
Charlton terus gemilang apabila dia dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan di
England dan Pemain Terbaik Eropah. Untuk skuad kebangsaan England,
Charlton telah bermain sebanyak 106 perlawanan dan menjaringkan 49 gol serta
tiga kali dilantik sebagai kapten pasukan.
Walaupun sudah memenangi Piala Dunia bersama England, kemuncak
kegemilangan Charlton sebagai pemain muncul apabila beliau mengetuai United
meraih Piala Eropah buat pertama kalinya pada Mei 1968. Selepas hampir
sepuluh tahun membina semula pasukan selepas tragedi nahas udara Munich, Sir
Matt Busby akhirnya berjaya membawa United meraih trofi sulung mereka di
peringkat Eropah melalui skuad yang terkenal dengan gelaran The Busby Babes itu. Charlton menjaringkan dua gol
disebalik kemenangan 4-1 United ke atas Benfica pada perlawanan akhir yang
diadakan di Wembley. Charlton akhirnya bersara pada tahun 1973 dan beliau
menghabiskan tempoh dua tahun sebagai pengurus untuk Preston North End sebelum
meletak jawatan pada Ogos 1975. Beliau kembali bermain untuk Waterford di
Ireland pada 1976 sebelum menjawat jawatan dalam lembaga pengarah Wigan
Athletic dan dilantik sebagai pengurus pada musim 1982/83. Pada Jun 1984,
Charlton dilantik sebagai pengarah di Manchester United, jawatan yang masih
beliau pegang sehingga kehari ini. Dianugerahkan pingat OBE dan CBE yang
membawa gelaran Sir pada bulan Jun 1994. Bukan saja lagenda dan duta
kelab, Charlton juga adalah lambang kepada kegemilangan United untuk masa lalu,
masa kini dan masa depan kelab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan