10 Februari 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn LIVERPOOL



Banyak faktor sentimental setiap kali pertembungan Manchester United dan Liverpool berlangsung tidak kira dalam kejohanan apa sekalipun.  Esok dua musuh tradisi dalam saingan Liga Perdana Inggeris itu sekali lagi bertembung buat kali ke-157 dalam sejarah kedua-dua kelab itu.  Musim lalu, United berjaya memadamkan rekod Liverpool sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga apabila skuad The Red Devils itu muncul kelab paling berjaya dalam saingan domestik dengan memenangi kejuaraan liga ke-19 mereka.  Bagaimanapun ramai berpendapat bahawa perlawanan esok bukan lagi untuk melihat siapa paling banyak mengumpul gelaran tetapi lebih tertumpu pada isu-isu semasa.  Luiz Suarez buat pertama kali akan berdepan dengan United selepas tamat pengantungan lapan perlawanan kerana insiden perkaumannya dengan Patrice Evra dan penyokong-penyokong United pastinya memberikan ujian paling getir buat penyerang antarabangsa Uruguay itu di Old Trafford.  Walaupun perlawanan belum dimulakan, Wayne Rooney telah melakukan `serangan awal' ke atas Liverpool melalui Twitter Rabu lalu, apabila mendakwa Suarez sepatutnya dilayangkan kad merah selepas dia dilihat menendang Scott Parker ketika pertembungan dengan Tottenham Hotspurs dalam perlawanan liga.  Bukan setakat pertembungan Evra/Suarez yang menarik perhatian, perlawanan esok juga amat penting buat kedua-dua pasukan dalam menentukan sasaran mereka pada saingan liga musim ini.  United memerlukan kemenangan bagi meneruskan tekanan mereka kepada pendahulu liga ketika ini, Manchester City manakala Liverpool pula punya agenda besar untuk melayakkan diri kesaingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.  Perubahan pastinya akan dilakukan oleh Sir Alex Ferguson dan Kenny Dalglish dalam perlawanan ini selepas melihat pasukan masing-masing melepaskan dua mata dalam perlawanan terakhir mereka.  

Ferguson pasti akan menggunakan Javier Hernandez sejak dari awal perlawanan selepas penyerang Mexico itu menjaringkan gol penyamaan di Stamford Bridge hujung minggu lalu. Hernandez juga muncul penyelamat melalui gol penyamaan di penghujung perlawanan ketika United berjaya mengikat Liverpool 1-1 di Anfield dalam perlawanan liga 15 Oktober lalu. Ferguson menerima khabar gembira menjelang pertemuan ini apabila Tom Cleverley yang disisihkan sejak 29 Oktober lalu disahkan cergas untuk disenaraikan dalam skuad.  Tentunya amat menarik untuk melihat gandingan Cleverley/Carrick dalam perlawanan ini biarpun Ferguson mungkin tidak mahu mengambil risiko dengan terburu-buru menurunkan Cleverley yang baru pulih dari kecederaan.  Bagi Dalglish pula, beliau tentunya akan menggunakan kepakaran Steven Gerrard dalam melakukan serangan balas pantas ketika lawan alpa menguasai perlawanan.  Ini dibuktikan melalui kemenangan mereka ke atas Chelsea (2-1) dan Arsenal (2-0) di mana statistik selepas perlawanan menunjukkan kedua-dua pasukan menguasai saingan namun keputusan di akhir perlawanan tetap milik The Reds.  Selain Gerrard yang cukup pakar menghukum benteng lawan ketika mereka mula leka naik ke bahagian tengah padang, United juga perlu waspada dengan kelibat Suarez dan Craig Bellamy yang memiliki kepantasan melepasi barisan pertahanan lawan.  Kelemahan David de Gea dalam perebutan bola tinggi juga mungkin bakal digunakan Dalglish dalam perlawanan ini dengan dua pemain tinggi lampai mereka iaitu Andy Carroll dan Martin Kelly pasti akan digunakan dalam situasi di udara.  Apapun ramalan perlawanan ini bakal memihak kepada United dengan keputusan 2-0.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Ashley Young, Paul Scholes, Michael Carrick, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Tiada ulasan:

Catat Ulasan