21 Februari 2012

GIGGS YAKIN UNITED AKAN SINGKIR CITY


Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs yakin pasukannya hanya menunggu masa untuk menyingkirkan pendahulu liga ketika ini Manchester City, sekaligus mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu.  Menurut Giggs, pengalaman, semangat dan mental juara yang dimiliki United adalah aset paling penting yang tidak dimiliki `jiran yang bising' itu dalam perlumbaan mengejar kejuaraan musim ini.  Ketika ini, City menduduki tangga teratas dengan 60 mata, manakala United ketinggalan dua mata di tangga kedua liga.  Berbaki 13 perlawanan yang perlu diharungi musim ini, Giggs tetap optimis segalanya akan berubah dalam tempoh terdekat. "Saya kira kebanyakan orang memilih mereka (City) sebagai calon juara kerana mereka kini berada di puncak liga.  Mereka juga mempunyai kualiti.  Dengan kekuatan kewangan yang mereka miliki, mereka jelas sedang membina pasukan untuk tempoh 10, 20 atau 30 tahun ke depan.  Apakah mereka berjaya atau tidak, kami akan tunggu dan lihat saja", kata Giggs.  Bagi pemain berpengalaman itu,  pasukan yang berjaya mengatasi tekanan akan keluar sebagai juara di akhir musim nanti.  Meskipun mengakui, City dilimpahi dengan bakat-bakat besar seperti Sergio Aguero, Yaya Toure dan David Silva, Giggs tetap yakin United mampu menyingkirkan City dalam perebutan kejuaraan liga nanti.  "Mereka mempunyai beberapa pemain berpengalaman dalam pasukan, tetapi kami juga adalah pasukan yang berpengalaman dan sentiasa laparkan kejuaraan.  Saya kira, pengalaman akan membantu dan pengalaman pengurus (Sir Alex Ferguson) akan menjadi faktor penentu", ujarnya.  Giggs menyifatkan United memiliki sebahagian pemain berpengalaman yang sudah biasa memenangi pingat kejuaraan dan beberapa pemain muda yang laparkan kejuaraan.  Faktor ini menurut Giggs akan membantu pasukannya keluar sebagai juara di akhir musim nanti.  Glory Glory Manchester United!!!

20 Februari 2012

OLD TRAFFORD PILIHAN MODRIC?


Old Trafford adalah destinasi berpotensi buat Luka Modric jika dia meninggalkan Tottenham Hotspurs musim panas ini.  Perancang Spurs itu itu dikatakan memberitahu teman rapatnya bahawa dia gembira berada di White Hart Lane, tetapi Old Trafford adalah destinasi yang sukar untuk ditolak jika dia berhijrah musim depan.  Chelsea yang membuat dua tawaran bagi mendapatkan Modric musim panas lalu, kini bukan lagi  pilihan utama perancang antarabangsa Croatia itu.  Situasi tidak menentu skuad The Blues itu di bawah bos baru mereka, Andre Villas Boas menyebabkan Modric lebih senang memilih Old Trafford berbanding Stamford Bridge.  Chelsea juga bakal berdepan kehilangan tempat mereka dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan jika prestasi buruk mereka berterusan hingga ke penghujung musim.  Meskipun menikmati musim hebatnya bersama Spurs ketika ini, kemampuan kelab dari Utara London itu mengekalkan Modric turut bergantung kepada kedudukan Harry Redknapp sebagai pengurus mereka.  Redknapp ketika ini disebut-sebut sebagai calon paling hangat mengisi jawatan pengurus England yang dikosongkan Fabio Capello.  Pemilik Spurs, Daniel Levy berjaya menghalang percubaan Chelsea memikat Modric musim panas lalu, tetapi jika Redknapp bertindak menerima tawaran FA untuk jawatan pengurus England, Levy pastinya berdepan tugas getir dalam usahanya mengekalkan Modric di White Hart Lane musim depan.  Modric ditandatangani Juande Ramos musim panas 2008 telah melakukan 141 penampilan dan menjaringkan 16 gol untuk Spurs hingga setakat ini.  Dia juga adalah pemain penting skuad Redknapp yang ketika ini yang muncul antara pencabar utama dalam perlumbaan kejuaraan Liga Perdana musim ini.

19 Februari 2012

VIDIC DIJANGKA PULIH LEBIH AWAL


Kapten pasukan, Nemanja Vidic dijangka pulih lebih awal dari yang apa yang diramalkan sebelum ini, dan ada kemungkinan boleh membantu United memburu kejuaraan liga ke-20 mereka musim ini.  Vidic yang mengalami kecederaan lutut serius ketika pertembungan Liga Juara-Juara menentang FC Basel, 8 Disember lalu, pada mulanya dikatakan akan terlepas aksi hingga akhir musim ini.  Bagaimanapun proses pemulihan tonggak pertahanan berusia 30 tahun ini berjalan dengan pantas dari apa yang dijangkakan selepas dia menjalani pembedahan ligamen kanan hujung tahun lalu. Vidic yang sebelumnya telah meletakkan sasaran untuk kembali beraksi semula Ogos depan, turut disenaraikan Sir Alex Ferguson dalam skuad yang beraksi di Liga Europa.  Pasukan perubatan United juga optimis Vidic akan kembali semula ke padang dalam tempoh terdekat dan pemain Serbia itu juga dikatakan sudah mula menjalani latihan berat.  Ketiadaan Vidic sejak 8 Disember lalu menyaksikan Chris Smalling dan Jonny Evans silih berganti bergandingan dengan Rio Ferdinand di barisan pertahanan United.  Jika proses pemulihannya berjalan dengan lancar, Vidic dijangka memperkuatkan benteng bertahanan United ketika kunjungan mereka ke Stadium Etihad menentang Manchester City pada 28 April depan.  Glory Glory Manchester United!!!

18 Februari 2012

SCHOLES: GIGGS BOLEH GANTIKAN FERGIE


Banyak soalan yang dilontarkan sebelum ini, siapakah yang layak menggantikan Sir Alex Ferguson jika beliau mengambil keputusan bersara. Meskipun Ferguson sendiri belum memberikan tarikh yang tepat atau berapa lama lagi dia akan kekal sebagai pengurus Manchester United, sudah ada nama-nama yang disenaraikan sebagai calon sesuai menggantikan warga Scotland itu.  Antara individu yang sering disebut-sebut dan menjadi pilihan hangat pemerhati dan penyokong-penyokong United untuk menggantikan Ferguson ialah Jose Mourinho dan Josep Guardiola.  Walau bagaimanapun, baru-baru ini Ferguson nampaknya lebih senang melihat anak didiknya, yang juga lagenda di Old Trafford, Ryan Giggs menggantikan tempatnya jika dia bersara satu hari nanti.  Giggs menyertai Akademi Manchester United pada 1987, kemudiannya diserap dalam skuad utama mulai 1991, memang diketahui mempunyai hubungan baik dengan Ferguson.  Giggs juga bakal mencatat rekod baru dengan penampilan ke-900 jika dia diturunkan ketika United menentang Norwich City di Carrow Road minggu hadapan.  Lagenda yang kembali dari persaraan, Paul Scholes juga sependapat dengan Ferguson dan melihat Giggs adalah individu yang paling sesuai mengambilalih kerusi pengendali Manchester United satu hari nanti.  "Mereka bercakap tentang Jose Mourinho sebelum ini, tetapi sesuatu perkara boleh berubah dengan pantas.  Pilihan tersebut biasanya dibuat berdasarkan siapa yang lebih bagus saat itu.  Baik orang Inggeris atau bukan, anda hanya inginkan yang terbaik mengisi jawatan tersebut.  Saya dapat melihat Ryan Giggs sebagai seorang pengurus", kata Scholes.  Glory Glory Manchester United!!

KENALI LAGENDA: DENIS LAW


Berdirinya monumen Denis Law di ruang legar Stretford End sudah cukup untuk menceritakan betapa pentingnya pemain ini dalam sejarah Manchester United.  Penyerang hebat ini sentiasa memberikan seluruh jiwa raganya dalam setiap perlawanan, dianggap wira sebenar generasinya sehingga digelar sebagai `raja'.  Dilahirkan pada 24 Februari 1940 di Aberdeen, Scotland, Law menikmati karier yang panjang sebagai pemain bolasepak bermula dengan menyertai kelab Divisyen 2, Huddersfield Town pada tahun 1956.  Menghabis tempoh empat tahun bersama Huddersfield Town, Law mencatat rekod perpindahan England ketika itu apabila Manchester City terpaksa membayar 55 ribu Pound bagi mendapatkan tandatangan Law.  Setahun bersama Manchester City, Law kemudiannya menyertai Torino, tetapi mengambil keputusan meninggalkan kelab itu setahun kemudian kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di Itali.  Manchester United pantas membawa Law pulang semula ke England, di mana Law kemudiannya dijulang sebagai wira sepanjang karier 11 tahunnya bermula dari tahun 1963 hingga 1974 bersama United.  Law menjaringkan gol pertama buat United pada penampilan pertamanya ketika menentang West Bromwich Albion pada 18 Ogos 1962.  Law kemudiannya membantu United menewaskan Liecester City 3-1 diperlawanan akhir Piala FA 1963 dengan menghasilkan satu gol.  Musim berikutnya Law menjaringkan 30 gol dari 41 perlawanan dan diumumkan sebagai Pemain Terbaik Eropah pada Mei 1964.   

Law terus meraih pencapaian gemilang apabila muncul penjaring terbanyak dengan 36 gol sekaligus membantu United memenangi kejuaraan liga pada musim 1964/65.  Di musim 1966/67, Law sekali lagi mengulangi pencapaiannya (menjaringkan 36 gol) dan membantu United menang kejuaraan liga buat kali ketujuh dalam sejarah kelab. Tahun berikutnya, Law bagaimanapun terlepas saat-saat gemilang ketika United menewaskan Benfica di perlawanan akhir Piala Eropah edisi 1968 kerana mengalami kecederaan.  Selepas berakhirnya era Sir Matt Busby sebagai pengurus, masa depan Law bersama United juga dilihat semakin berada di penghujung.  Law berhadapan masalah menyesuaikan diri dengan taktikal yang digunakan Tommy Docherty dalam permainan, disamping penghijrahan beberapa tonggak United ketika itu seperti Bobby Charlton dan George Best mendorong Law memikirkan untuk keluar dari Old Trafford.  Law menyertai semula Manchester City melalui perpindahan percuma pada bulan Julai 1973 sekaligus menandakan berakhirnya era emas Manchester United sebagai kuasa bolasepak England pada dekad 50 an dan 60 an.  Detik paling diingati ialah ketika Law menjaringkan gol kemenangan City dengan tumit semasa pertembungan derby United/City pada 27 April 1974.  Kekalahan kepada City dalam perlawanan itu menyebabkan United tersingkir ke Divisyen 2.  Jaringan itu juga adalah yang terakhir dari Law dalam saingan liga dan dia kemudiannya meminta supaya dikeluarkan.

Sepanjang tempoh 11 tahun bersama United, Law menjaringkan 237 gol dari 404 penampilan dalam pelbagai kejohanan.  Selain itu, Law juga muncul penjaring kedua terbanyak United di belakang Bobby Charlton dan masih memegang rekod jaringan semusim untuk kelab dengan 46 gol yang dilakukannya pada musim 1963/64. Law meninggalkan bolasepak profesional pada musim panas 1974 selepas diberitahu pengurus City ketika itu, Tony Book bahawa dia akan hanya diletakkan dalam skuad simpanan City.  Law kemudiannya bermain dua perlawanan pra-musim City di kejohanan Piala Texaco, menjaringkan gol terakhir dalam kariernya ketika menentang Sheffield United di Bramall Lane dan bermain perlawanan terakhir ketika City menewaskan Oldham Athletic 2-1 di Maine Road pada 6 Ogos 1974. Law mengumumkan persaraan dari bolasepak selepas pusingan akhir Piala Dunia 1974 di Jerman Barat di mana dia berjaya mengumpul 55 caps dan menjaringkan 30 gol buat skuad kebangsaan Scotland.  Law turut memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Piala FA dengan 40 gol yang kemudiannya berjaya diatasi Ian Rush pada tahun 1996.

17 Februari 2012

VALENCIA BAKAL DIKETEPIKAN SELAMA 4 MINGGU


Manchester United mengesahkan bahawa mereka bakal kehilangan khidmat pemain sayap lincah, Luis Antonio Valencia selama empat minggu kerana masalah hamstring. Valencia yang masuk menggantikan Ashley Young di separuh masa kedua ketika United berdepan Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi bakal terlepas aksi penting liga menentang Tottenham Hotspurs pada 4 Mac, dan dijangka menyertai semula pasukan ketika kunjungan Fulham di Old Trafford pada 26 Mac depan.  Valencia hanya sempat beraksi selama sepuluh minit di Amsterdam Arena sebelum digantikan Danny Welbeck.  Sir Alex Ferguson nyata agak terkilan dengan kecederaan yang menimpa Valencia biarpun Ashley Young, Nani, Park Ji-Sung dan Ryan Giggs sedia mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain antarabangsa Ecuador itu.  "Agak malang kerana dia mengalami masalah hamstring.  Dia akan direhatkan selama empat minggu", kata Ferguson.  Biarpun mempunyai senarai pemain yang mampu menggantikan Valencia, Ferguson menganggap ketiadaan pemain sayap lincah itu merupakan satu kehilangan besar buat pasukan.  Minggu lalu, Valencia membuktikan kenapa dia menjadi pilihan utama Ferguson apabila berjaya membuatkan pertahanan kiri Liverpool, Jose Enrique umpama pemain amatur ketika pertembungan dua seteru tradisi itu di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

REVIEW: UNITED BAWA BEKALAN SELESA KE OLD TRAFFORD


Gol dari Ashley Young dan Javier Hernandez memberikan bekalan selesa buat Manchester United di perlawanan pertama pusingan 32 pasukan Liga Europa awal pagi tadi.  United boleh dikatakan sudah meletakkan sebelah kaki mereka ke pusingan 16 pasukan selepas mencatat kemenangan 2-0  ke atas Ajax Amsterdam di gelanggang lawan.  Perlawanan kedua bakal berlangsung di Old Trafford, 24 Februari ini, dan jika mengambilkira prestasi yang ditunjukkan anak-anak buah Frank de Boer dalam perlawanan ini, sukar bagi mereka melakukan kejutan ke atas United.  Kedua-dua pasukan agak berhati-hati di babak pertama permainan sehingga David de Gea dan Kenneth Vermeer jarang diuji.  Peluang terbaik United hadir melalui gerakan Nani diminit ke-29 dari sebelah kanan namun percubaannya sekadar melambung tinggi.  Dua minit selepas itu giliran tuan rumah pula menguji gawang United, namun rembatan deras Siem de Jong berjaya ditepis keluar de Gea.  Selepas itu kedua-dua pasukan tampak berpuashati mengekalkan keputusan 0-0 sehingga babak pertama berakhir.

Tempo permainan berubah di babak kedua apabila United mula mengawal permainan dan sering memberi tekanan kepada benteng lawan. United akhirnya memecah kebuntuan apabila Ashley Young berjaya merembat masuk bola hantaran Nani diminit ke 59.  Ajax berpeluang menyamakan kedudukan diminit ke-73 melalui serang balas, namun Christian Eriksen sekadar melepaskan rembatan tinggi melewati palang gol. United mengukuhkan cengkaman mereka di Amsterdam Arena apabila Javier Hernandez meledak gol kedua United diminit ke-84 hasil gerakan bersama Wayne Rooney dan kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.  Mengulas keputusan perlawanan itu, Sir Alex Ferguson gembira dengan kemenangan yang dicapai namun kurang berpuashati dengan prestasi yang dipamerkan pasukannya terutama persembahan mereka di babak pertama perlawanan.  "Saya gembira dengan jumlah jaringan yang kami perolehi tetapi kami tidak mempamerkan prestasi yang baik.  Saya tahu Ajax boleh menyukarkan kami melalui sistem permainan mereka dan kami pula gagal menguasai tempo permainan di babak pertama.  Kami bertambah baik di babak kedua tetapi itu bukanlah satu prestasi yang cemerlang", kata Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!