Berdirinya monumen Denis Law di
ruang legar Stretford End sudah cukup untuk menceritakan betapa pentingnya
pemain ini dalam sejarah Manchester United. Penyerang hebat ini sentiasa
memberikan seluruh jiwa raganya dalam setiap perlawanan, dianggap wira sebenar
generasinya sehingga digelar sebagai `raja'. Dilahirkan pada 24 Februari
1940 di Aberdeen, Scotland, Law menikmati karier yang panjang sebagai pemain
bolasepak bermula dengan menyertai kelab Divisyen 2, Huddersfield Town pada
tahun 1956. Menghabis tempoh empat tahun bersama Huddersfield Town, Law
mencatat rekod perpindahan England ketika itu apabila Manchester City terpaksa
membayar 55 ribu Pound bagi mendapatkan tandatangan Law. Setahun bersama
Manchester City, Law kemudiannya menyertai Torino, tetapi mengambil keputusan
meninggalkan kelab itu setahun kemudian kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan
kehidupan di Itali. Manchester United pantas membawa Law pulang semula ke
England, di mana Law kemudiannya dijulang sebagai wira sepanjang karier 11
tahunnya bermula dari tahun 1963 hingga 1974 bersama United. Law
menjaringkan gol pertama buat United pada penampilan pertamanya ketika
menentang West Bromwich Albion pada 18 Ogos 1962. Law kemudiannya
membantu United menewaskan Liecester City 3-1 diperlawanan akhir Piala FA 1963
dengan menghasilkan satu gol. Musim berikutnya Law menjaringkan 30 gol dari
41 perlawanan dan diumumkan sebagai Pemain Terbaik Eropah pada Mei 1964.
Law terus meraih pencapaian
gemilang apabila muncul penjaring terbanyak dengan 36 gol sekaligus membantu
United memenangi kejuaraan liga pada musim 1964/65. Di musim 1966/67, Law
sekali lagi mengulangi pencapaiannya (menjaringkan 36 gol) dan membantu United
menang kejuaraan liga buat kali ketujuh dalam sejarah kelab. Tahun berikutnya,
Law bagaimanapun terlepas saat-saat gemilang ketika United menewaskan Benfica
di perlawanan akhir Piala Eropah edisi 1968 kerana mengalami kecederaan.
Selepas berakhirnya era Sir Matt Busby sebagai pengurus, masa depan Law
bersama United juga dilihat semakin berada di penghujung. Law berhadapan
masalah menyesuaikan diri dengan taktikal yang digunakan Tommy Docherty dalam
permainan, disamping penghijrahan beberapa tonggak United ketika itu seperti
Bobby Charlton dan George Best mendorong Law memikirkan untuk keluar dari Old
Trafford. Law menyertai semula Manchester City melalui perpindahan percuma
pada bulan Julai 1973 sekaligus menandakan berakhirnya era emas Manchester
United sebagai kuasa bolasepak England pada dekad 50 an dan 60 an. Detik
paling diingati ialah ketika Law menjaringkan gol kemenangan City dengan tumit
semasa pertembungan derby United/City pada 27 April 1974. Kekalahan
kepada City dalam perlawanan itu menyebabkan United tersingkir ke Divisyen 2.
Jaringan itu juga adalah yang terakhir dari Law dalam saingan liga dan
dia kemudiannya meminta supaya dikeluarkan.
Sepanjang tempoh 11 tahun bersama
United, Law menjaringkan 237 gol dari 404 penampilan dalam pelbagai kejohanan.
Selain itu, Law juga muncul penjaring kedua terbanyak United di belakang
Bobby Charlton dan masih memegang rekod jaringan semusim untuk kelab dengan 46
gol yang dilakukannya pada musim 1963/64. Law meninggalkan bolasepak
profesional pada musim panas 1974 selepas diberitahu pengurus City ketika itu,
Tony Book bahawa dia akan hanya diletakkan dalam skuad simpanan City. Law
kemudiannya bermain dua perlawanan pra-musim City di kejohanan Piala Texaco,
menjaringkan gol terakhir dalam kariernya ketika menentang Sheffield United di
Bramall Lane dan bermain perlawanan terakhir ketika City menewaskan Oldham
Athletic 2-1 di Maine Road pada 6 Ogos 1974. Law mengumumkan persaraan dari
bolasepak selepas pusingan akhir Piala Dunia 1974 di Jerman Barat di mana dia
berjaya mengumpul 55 caps dan menjaringkan 30 gol buat skuad kebangsaan
Scotland. Law turut memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Piala FA
dengan 40 gol yang kemudiannya berjaya diatasi Ian Rush pada tahun 1996.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan