19 April 2012

OVEIDO, SEQUEIRA DATANG MANAKALA ANDERSON, KUSZCZAK DAN FRYERS PERGI?


Bryan Oveido
Selepas dilaporkan berjaya mendapatkan Nicolas Gaitan dari Benfica, Sir Alex Ferguson kini mengalih tumpuan untuk memperkuatkan bahagian lain skuadnya. Terdapat laporan mengatakan bahawa Ferguson kini sedang mengejar pertahanan kiri FC Copenhagen dari Costa Rica, Bryan Oveido sebagai pelapis kepada Patrice Evra.  Menurut media di England, Ferguson telah menghantar pasukan peninjaunya untuk memantau aksi Oveido ketika membantu kelabnya menewaskan HB Koge 5-0 hujung minggu lalu.  Copenhagen dilaporkan sedia menjual pemain antarabangsa Costa Rica berusia 22 tahun itu pada harga hanya 2 juta Pound. Selain Oveido, Ferguson turut mensasarkan pertahanan kiri dari kelab La Liga, Granada CF, Guilherme Siqueira.  Siqueira dikatakan teruja selepas dia dikaitkan dengan minat yang ditunjukkan United terhadapnya.  "Saya sangat senang dengan berita ini.  Jika datang tawaran yang bagus, saya terbuka untuk berbincang", kata Siqueira.  Mencari pertahanan baru terutamanya disebelah kiri menjadi keutamaan Ferguson musim hadapan selepas Fabio da Silva berkemungkinan besar dipinjamkan ke Benfica sebagai salah satu syarat untuk mendapatkan Gaitan.  Seorang lagi pemain yang beraksi di La Liga, iaitu Oscar de Marcos turut dikatakan menjadi sasaran Ferguson.  Pemain tengah Athletic Bilbao itu bagaimanapun mempunyai klausa `rumit' pada kontraknya yang mungkin menyukarkan Ferguson membawa masuk pemain itu ke Old Trafford.

Selain beberapa pemain baru yang dikatakan bakal dibawa masuk, terdapat juga beberapa pemain yang dilaporkan akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini.  Pemain yang dibelenggu kecederaan, Anderson dikatakan menarik minat Sporting Lisbon.  Selain dikaitkan dengan Sporting Lisbon, Anderson yang menyertai United dari FC Porto  pada musim panas 2007 juga dikatakan bakal bersama-sama  Fabio da Silva ke Benfica sebagai sebahagian dari perjanjian untuk membawa Gaitan ke Old Trafford. Namun langkah meminjam Anderson ke mana-mana kelab adalah lebih munasabah memandangkan selain memiliki bakat, Anderson seperti juga Wayne Rooney adalah antara pemain yang mempunyai tenaga luar biasa ketika beraksi di padang.  Jika dia bebas dari kecederaan dan dapat bermain pada musim penuhnya, Anderson akan kembali semula ke Old Trafford sebagai pemain yang mampu memberikan kekuatan buat The Red Devils di bahagian tengah sepertimana yang dilakukannya pada awal musim.  Tomasz Kuszczak adalah nama yang sudah tentu akan terkeluar dari percaturan Ferguson musim hadapan selepas dia hanya menjadi pilihan keempat di belakang David de Gea, Anders Lindegaard dan Ben Amos di gawang United.  Ezekiel Fryers pula yang masih belum menandatangani sebarang lanjutan kontrak menjadi sasaran Harry Redknapp dan Ferguson dilaporkan sedia melepaskan pemain berusia 19 tahun itu.  Glory Glory Manchester United!!!

18 April 2012

SINDROM MUSIM KEDUA DI OLD TRAFFORD?


Setahun yang lalu, kehadiran Javier `Chicharito' Hernandez dalam saingan Liga Perdana England mencetuskan fenomena di kalangan penyokong United berikutan prestasi gemilang yang dipamerkan bintang antarabangsa Mexico itu.  Dalam musim pertamanya, Chicharito sudah mempamerkan sentuhan tajam sebagai penyerang hingga menyaksikan dia berjaya menghasilkan 20 gol hingga dilabel sebagai pengganti kepada lagenda United sendiri, Ole Gunnar Solskjaer. United ketika itu dilihat cukup bertuah memiliki penyerang seperti Hernandez yang diperolehi dengan harga murah tetapi memiliki bakat yang cukup besar ditambah pula dengan faktor umur yang masih muda. Chicharito adalah bakat besar dari zon CONCACAF selepas kehadiran Dwight Yorke (Trinidad & Tobago) yang menerima sanjungan sebagai wira di Old Trafford, dan dia juga dikatakan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hugo Sanchez sejak sekian lama sebagai peledak berbisa Mexico. Chicharito pantas menyesuaikan diri dengan saingan bolasepak England pada musim pertamanya dan menjadi gandingan tetap Wayne Rooney di barisan hadapan United. Gandingannya bersama Rooney musim lalu memperlihatkan keserasian seolah-olah mereka telah bergandingan sejak sekian lama hingga berjaya membantu United mengatasi rekod Liverpool sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan  liga. Kehadiran Chicharito bukan saja menenggelamkan berita sensasi perpindahan 50 juta Pound Fernando Torres dari Liverpool ke Chelsea malah mengakibatkan Dimitar Berbatov menjadi pilihan ketiga Ferguson di barisan hadapan walaupun penyerang berpengalaman itu antara penyumbang gol paling produktif buat United musim lalu. Kepantasan adalah aset utama Chicharito yang dilihat begitu mudah melepasi perangkap offside pertahanan lawan terutamanya apabila Rooney yang bermain di belakangnya membekalkan umpanan untuk disudahkan.  Contoh paling baik adalah gol minit awal jaringannya pada 8 Mei tahun lalu ke atas Chelsea di Old Trafford dalam perlawanan penting yang menjadi penentu kejuaraan liga musim lalu. Chicharito bijak melepasi benteng pertahanan Chelsea dan menggunakan kepantasannya untuk meninggalkan David Luiz jauh di belakang. Persis penyerang berpengalaman, Chicharito kemudiannya dengan tenang mudah menolak bola masuk melepasi hadangan Peter Cech untuk memberi gol pembukaan sekaligus menyaksikan United kemudiannya menang 2-1 dan mengesahkan kejuaraan liga ke-19 mereka.  

Musim ini, Chicharito beraksi sebanyak 17 perlawanan dalam saingan liga, kurang lima perlawanan dari Danny Welbeck dan Ferguson musim ini nampaknya lebih senang menggandingkan pemain antarabangsa England itu bersama-sama Rooney di barisan hadapan. Chicharito menjaringkan 10 gol dari 26 penampilannya dalam mana-mana kejohanan musim ini, statistik yang masih cukup bagus buat seorang penyerang muda sepertinya tetapi kegagalan mengekalkan tempatnya bererti dia belum mampu membangun dan reputasinya juga sedikit menurun di mata media dan penyokong United sendiri.  `Sindrom musim kedua' sering digunakan untuk menggambarkan prestasi pemain seperti Chicharito dalam saingan Liga Perdana walaupun penurunan prestasinya tidaklah seteruk Marouane Chamakh yang hadir dengan reputasi besar dari Bordeaux pada 2010 tetapi hanya beraksi sebanyak 9 kali dalam saingan liga dan menjaringkan satu gol buat Arsenal musim ini. Chicharito sendiri boleh terjebak dengan `sindrom musim kedua' sepertimana yang pernah dialami Theo Walcott, Andy Caroll dan Chamakh selepas melakukan impak besar dalam kempen sulungnya musim lalu. Hanya masa bakal menentukan sama ada `sweet little pea' boleh bangkit kembali untuk meletakkan semula nama dalam barisan kesebelasan utama United atau terus tenggelam dengan kebangkitan Danny Welbeck, permata yang lahir hasil dari program pembangunan pemain muda The Red Devils.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

AGEN: VIDIC AKAN KEKAL DI OLD TRAFFORD

Agen Nemanja Vidic, Silvano Martina menegaskan kliennya itu akan kekal di Old Trafford biarpun terdapat khabar angin baru-baru ini mengatakan bahawa bintang antarabangsa Serbia itu akan menyertai Juventus musim depan.  Vidic yang terlepas semua aksi pusingan kedua Liga Perdana musim ini turut dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid, namun Martina menegaskan Vidic ketika ini hanya fokus untuk pulih dari kecederaan dan menyertai kembali United pada perlawanan pra musim Julai nanti. "Apakah Vidic akan berpindah ke Itali? Saya berani mengatakan perkara itu tidak akan berlaku.  Vidic sedang menjalani proses pemulihan dan semuanya berjalan lancar.  Dia kini sedang berusaha keras untuk kembali berlatih bersama rakan-rakan sepasukan.  Situasi dalam pasukan juga cukup baik dan dia masih terikat dengan kontrak hingga 2014, jadi dia sama sekali tidak memikirkan untuk berhijrah", kata Martina.

PARLOUR: SCHOLES LAYAK BERAKSI DI EURO 2012

Prestasi cemerlang Paul Scholes bersama United sejak kembali dari persaraan Januari lalu mendapat perhatian dari ramai penganalisis bolasepak.  Terbaru, bekas pemain Arsenal, Ray Parlour berpendapat Scholes layak menyertai skuad England ke pusingan akhir Euro 2012 Jun nanti. Menurut Parlour, England amat memerlukan kreativiti pemain seperti Scholes di bahagian tengah pada kempen mereka di Ukraine dan Poland nanti.  Bagi Parlour, skuad The Three Lions sudah boleh melupakan khidmat bintang tengah Arsenal, Jack Wilshere Jun nanti berikutan masalah kecederaan jangka panjang yang dialaminya.  "Saya fikir agar sukar untuk Jack tampil pada Euro nanti kerana dia tidak bermain begitu lama.  Jikapun pulih ia akan hanya berlaku bila musim ini berakhir.  Ini merupakan tamparan buat skuad England namun Paul Scholes boleh menggantikan Jack.  Scholes pemain yang hebat dan semakin hebat sejak kembali dari persaraan pada pertengahan musim ini.  Jika Scholes berhajat kembali menyertai skuad England, dia memang layak mendapat tempat", kata Parlour.  

17 April 2012

UNITED DAN BENFICA SEPAKAT HARGA GAITAN?


Nicolas Gaitan bakal menjadi pemain pertama yang ditandatangani The Red Devils musim panas ini selepas mereka dikatakan sudah mencapai kata sepakat dengan Benfica berkaitan soal perpindahan pemain tengah Argentina itu.  Meskipun klausa pelepasan Gaitan mencapai 30 juta Pound, Benfica dilaporkan tetap bersetuju dengan tawaran United bernilai lebih 20 juta Pound.  Untuk menampung baki dalam klausa pelepasan Gaitan, United akan meletakkan nama Fabio da Silva dan Federico Macheda dalam tawaran mereka. Fabio akan dipinjamkan selama setahun manakala Macheda akan berpindah secara tetap ke Benfica selepas prestasi tidak menentu yang dipamerkannya hingga menyebabkan dia pernah dipinjamkan ke Sampdoria dan Queens Park Rangers. Pihak United sendiri dikatakan tidak akan mengumumkan perkara ini secara rasmi dan akan hanya melakukannya pada jendela perpindahan musim panas Jun nanti.  Sir Alex Ferguson sudah memantau perkembangan pemain berusia 24 tahun ini dalam beberapa bulan terakhir, terutama selepas United berdepan Benfica di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.  Perpindahan Gaitan ke United bakal menjadi kenyataan apatah lagi apabila agen pemain itu, Jorge Mendes memang sudah tidak asing lagi dengan pengurusan Old Trafford kerana beliau juga pernah terlibat membawa masuk Cristiano Ronaldo dan Luis Nani sebelum ini.  Menurut perjanjian, Benfica akan membayar 20 peratus dari nilai perpindahan Gaitan kepada bekas kelabnya, Boca Juniors selepas mereka menandatangani pemain itu pada 2010.  Glory Glory Manchester United!!!

16 April 2012

UNITED REDAKAN SEMULA TEKANAN


Manchester United mengukuhkan kembali cengkaman mereka di tangga teratas liga selepas membenam Aston Villa 4-0 di Old Trafford malam tadi.  Dua jaringan Wayne Rooney dan masing-masing satu oleh Danny Welbeck dan Nani memastikan United meredakan semula tekanan selepas tewas mengejut kepada Wigan Athletic, Khamis lalu.  Sebelum perlawanan, United hanya mendahului tangga teratas dengan kelebihan dua mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City yang turut mengutip tiga mata penuh di Carrow Road pada perlawanan hari Sabtu. Kemenangan ke atas Villa malam tadi memastikan  United mengutip mata ke 82 mereka dengan baki hanya empat perlawanan yang perlu diharungi musim ini.  United yang meletakkan misi meraih tiga mata penuh selepas tewas di DW Stadium mengasak sejak awal permainan dan memperolehi penalti diminit ke-7 selepas Ciaran Clark menjatuhkan Ashley Young dalam kawasan penalti.  Rooney tidak menghadapi masalah menewaskan Shay Given untuk meletakkan United 1-0 di hadapan.  Diminit ke-18, Rooney sekali lagi hampir membolosi gawang Villa namun rembatan jarak dekatnya berjaya ditepis keluar Given.  Diminit ke-34, Given terpaksa mengerahkan aksi terbaiknya untuk menafikan percubaan Danny Welbeck biarpun penyerang muda England itu berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.  Meskipun beberapa kali berjaya menafikan peluang terbaik United, Given akhirnya tewas buat kali kedua diminit ke-43.  Selepas beberapa kali tersasar, Welbeck akhirnya meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila mudah menolak masuk bola umpanan Ashley Young dari sebelah kiri.

Bersambung di babak kedua, United terus mendominasi permainan terutamanya melalui gerakan-gerakan Paul Scholes, Rooney, Antonio Valencia dan Welbeck, namun barisan pertahanan Villa yang diketuai Alan Hutton kebal bertahan.  Selepas berterusan menerima tekanan, benteng Villa akhirnya roboh lagi apabila Rooney menjaringkan gol kedua peribadinya selepas mudah menolak masuk bola umpanan Valencia diminit ke-73. Di penghujung permainan, Nani berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan lawan sebelum mudah menolak bola masuk untuk gol keempat United sekaligus menutup pesta jaringan di gelanggang sendiri.  Mengulas tentang penalti kontroversi yang diberikan kepada pasukannya oleh pengadil Mark Hasley di awal babak pertama, Sir Alex Ferguson mengakui Ashley Young memang sengaja mencari sepakan penalti namun mempertahankan  pemainnya itu dari tuduhan menipu.  Minggu lalu, Young turut terlibat dalam situasi sama apabila United dihadiahkan sepakan penalti manakala pemain tengah Queens Park Rangers, Shaun Derry pula dilayangkan kad merah.  "Saya rasa dia (Young) memang mencari penalti.  (Ciaran) Clark jelas melanggarnya walaupun Young memang menjatuhkan diri walaupun tampak sedikit berlebihan, tetapi itu jelas penalti.  Tiada keraguan tentang hal itu.  Clark tidak seharusnya melakukan bantahan kerana dia memang menjatuhkan Young", kata Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!


Statistik Perlawanan United/Villa:

Sepakan Sudut: 11/4
Percubaan Tepat: 17/4
Percubaan Tersasar: 8/6
Kekasaran: 9/7
Kad Kuning: 3/3
Kad Merah: -/-
Offside: 1/0
Penguasaan Bola: 57%/43%

14 April 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn ASTON VILLA



Manchester United mengintai tiga mata penuh dan cuba mengukuhkan kembali cengkaman mereka selaku pendahulu apabila menanti kunjungan Aston Villa di Old Trafford esok dalam perlawanan ke-34 mereka.  Berkelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City dengan baki lima perlawanan, United perlu memastikan kelebihan gelanggang sendiri dimanfaatkan sepenuhnya untuk meraih tiga mata penuh selepas kekalahan 0-1 kepada Wigan Athletic Khamis lalu menyaksikan persaingan merebut kejuaraan kembali terbuka antara dua kelab berjiran itu.  Menjelang derby hujung bulan ini, Ryan Giggs mengingatkan rakan-rakan sepasukannya betapa pentingnya United tidak mengugurkan sebarang mata pada dua perlawanan di gelanggang sendiri selepas ini (menentang Aston Villa dan Everton).  Aston Villa hanya enam mata dari zon penyingkiran dan pengurus mereka, Alex McLeish menegaskan bahawa pasukannya tidak akan `berehat' pada baki perlawanan yang tinggal sehingga kedudukan mereka dalam liga musim hadapan terjamin.  McLeish menurunkan tujuh pemain dari akademi mereka ketika menentang Stoke City dan nyata perjudiannya berbaloi apabila pemain-pemain muda mereka menunjukkan kesungguhan tinggi ketika mengikat skuad yang berada di tangga ke-12 itu.  Kejayaan Villa mengikat Livepool di Anfield seharusnya memberikan amaran buat skuad The Red Devils agar tidak memandang mudah cabaran lawan biarpun mereka mungkin turun tanpa kelibat Stephen Warnock, Marc Albrighton, Ciaran Clark, Chris Herd, Darrent Bent, Richard Dunne dan Fabien Delph yang dibelenggu kecederaan manakala Stilyan Petrov pula masih dalam rawatan kerana menghidap leukemia.  United menang empat dari enam pertemuan terakhir mereka menentang Villa dan kali terakhir pertembungan kedua-dua pasukan di Old Trafford ialah pada Februari 2011 dimana United menang 3-1 hasil dua jaringan Wayne Rooney dan Nemanja Vidic. Rekod Villa ketika bertandang ke Old Trafford juga tidak begitu baik apabila mereka cuma menang sekali dari 26 kunjungan mereka ke gelanggang keramat United itu.  United hanya melepaskan tiga mata dari 10 perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri dan mencatat enam kemenangan berturut-turut di Old Trafford sejak kali terakhir tewas kepada Blackburn Rovers pada malam tahun baru.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Phil Jones, Antonio Valencia, Nani, Paul Scholes, Michael Carrick, Wayne Rooney & Danny Welbeck

13 April 2012

GIGGS TUNTUT UNITED BANGKIT KEMBALI


Ryan Giggs mencabar pasukannya untuk mendapatkan kembali cengkaman mereka di tangga teratas sebelum pertarungan menentang Manchester City akhir bulan ini yang juga dilabelkan sebagai `final' Liga Perdana musim ini.  United dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Wigan Athletic di gelanggang lawan hingga menyaksikan kelebihan lapan mata mereka di tangga teratas sebelum perlawanan kini mengecil kepada lima mata. Kekalahan United kepada Wigan dilihat membuka kembali peluang City dalam perlumbaan mengejar kejuaraan, namun Giggs mahukan agar pasukannya menamatkan segera cabaran pesaing terdekat mereka itu.  Lagenda Old Trafford itu meletakkan sasaran meraih  mata maksimum ketika mereka menerima kunjungan Aston Villa di gelanggang sendiri hujung minggu ini dan Everton tujuh hari kemudian.  Dua kemenangan di gelanggang sendiri (ke atas Aston Villa dan Everton) bakal memastikan United membawa kelebihan lima mata ketika kunjungan mereka ke Stadium Etihad hujung bulan ini (itupun jika City menang dua perlawanan mereka). "Adalah penting mendapatkan enam mata daripada dua perlawanan ini (Aston Villa dan Everton).  Kami bermain di gelanggang sendiri dan kami akan mencari cara terbaik untuk memenangi kedua-dua perlawanan ini.  Ada beberapa keputusan yang kurang bagus sepanjang musim ini tetapi kami sentiasa mampu bangkit semula", kata Giggs.

Menurut Giggs, adalah penting buat rakan-rakannya segera melupakan kekalahan di DW Stadium yang juga kekalahan pertama dari 13 perlawanan mereka sejak Januari lalu. Mengambil contoh kebangkitan semula United yang meraih 34 mata sejak mereka tewas kepada Newcastle United, 4 Januari lalu, Giggs berkata bahawa mereka mesti menunjukkan ciri-ciri yang sama ketika menentang Aston Villa pada Ahad ini. Giggs turut menegaskan tiada alasan tentang prestasi buruk mereka kelmarin hingga menyebabkan rekod 100% United ke atas skuad The Latics sebelum ini lebur.  Tiada mana-mana bintang The Red Devils yang menonjol sepanjang perlawanan kelmarin hinggakan nama besar seperti Wayne Rooney terpaksa ditarik keluar di babak kedua untuk memberikan nafas baru kepada gerakan serangan United.  "Kami gagal bermain dengan baik. Permainan kami kurang lancar dan sering melakukan hantaran jauh.  Kami tidak mengawal bola seperti yang biasa kami lakukan.  Anda perlu berikan kredit kepada Wigan.  Mereka meletakkan kami di bawah tekanan dengan kerja keras mereka", kata Giggs lagi.  United dinafikan sepakan penalti selepas bola jelas terkena tangan Maynor Figueroa dalam kawasan penalti namun pembantu pengadil Dave Richardson mendakwa tidak melihat insiden tersebut.  November lalu, United turut berdepan keputusan merugikan dari pegawai perlawanan apabila Phil Dowd menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada Newcastle United yang menyaksikan mereka sekadar berkongsi mata di Old Trafford.

Berita-Berita Lain:

UNITED SETUJU HARGA GAITAN

Manchester United dilaporkan tinggal selangkah lagi untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Benfica, Nicolas Gaitan. United dikatakan telah bersetuju dengan harga 45 juta Euro yang diletakkan Benfica ke atas Gaitan dan turut akan melepaskan dua pemainnya sebagai pertukaran kepada kelab Portugal itu.  Menurut media-media Portugal, United akan membayar sebanyak 25 juta Euro dalam bentuk tunai dan nilai selebihnya membabitkan dua pemain yang akan dilepaskan kepada Benfica.  Nama-nama seperti Kiko Macheda, David Petrucci dan Bebe disebut-sebut sebagai pemain yang bakal menjadi korban perjanjian tersebut.  Perbincangan perjanjian diuruskan oleh agen terkenal, Jorge Mendes yang turut memiliki hubungan baik antara kedua-dua kelab. Gaitan yang sejak Disember lalu menjadi pemain yang disebut-sebut menjadi tarikan Sir Alex Ferguson untuk memperkuatkan jentera tengah United dikatakan bakal menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford.

MEULENSTEEN SAHKAN FERGUSON MINAT HAZARD

Pembantu Sir Alex Ferguson dalam skuad utama, Rene Meulensteen mengesahkan, bosnya itu menaruh minat yang tinggi terhadap gaya permainan bintang Belgium dan LOSC Lille, Eden Hazard.  Bulan lalu, Ferguson hadir menyaksikan perlawanan antara Olympique Lyon dan Lille yang didakwa Meulensteen sengaja dilakukan Ferguson bagi memantau aksi Hazard. "Pengurus ingin menyaksikan sendiri penampilan Hazard.  Itu tandanya dia berfikir bahawa Hazard adalah pemain yang menarik.  Kami sering berbincang tentangnya (Hazard).  Penting untuk sesebuah pasukan memberikan nafas baru kepada skuad. Hazard adalah pemain yang istimewa, tetapi kami memerlukan waktu.  Contohnya ketika kami memantau David De Gea untuk tempoh yang lama sebelum mendapatkannya", kata Meulensteen. Selain Hazard, United turut dikaitkan dengan Kevin Strootman namun Meulensteen kurang yakin yang bintang PSV Eindhoven itu sesuai dengan saingan bolasepak England.  "Kami tidak pernah berbincang tentang Strootman secara serius.  Kami mengikuti perkembangan setiap pemain muda yang berpotensi.  Itu pun berlaku untuk Christian Eriksen.  Strootman pemain yang bagus namun saya tidak fikir dia sesuai untuk bolasepak England".

MANCINI: PELUANG CITY SUDAH TERTUTUP

Meskipun menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas West Bromwich kelmarin, sekaligus berjaya merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Manchester United, Roberto Mancini mendakwa peluang pasukannya meraih gelaran liga musim ini sudah berakhir.  Kekalahan United kepada Wigan Athletic membantu City menghidupkan semula harapan mereka dalam pemburuan kejuaraan liga dengan baki lima perlawanan yang perlu diharungi.  Bagaimanapun Mancini begitu yakin bahawa perkara itu (memenangi kejuaraan liga) tidak akan berlaku.  "Tidak, semuanya sudah berakhir.  Memang penting kerana secara matematiknya kami berada di posisi yang lebih baik.  Manchester United pasukan yang fantastik, mereka punya pengalaman dan saya fikir mereka akan keluar sebagai juara.  Kami sudah memiliki 74 mata dan secara realistiknya akan bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan", kata Mancini.

12 April 2012

KEJUTAN BUAT UNITED


Shaun Maloney memberikan kesan yang besar kepada dua pasukan di tangga teratas liga apabila gol tunggal jaringannya memberikan tiga mata berharga buat Wigan Athletic sekaligus menghidupkan semula peluang Manchester City dalam perlumbaan merebut kejuaraan musim ini. Kekalahan ini adalah yang pertama buat United dalam 15 pertembungan mereka dengan The Latics, sekaligus menyaksikan jurang selaku pendahulu kini mengecil kepada lima mata. Ini juga adalah kekalahan pertama United dalam 13 perlawanan sejak kali terakhir mereka tewas kepada Newcastle United pada 4 Januari lalu.  Perlawanan ini turut menyaksikan beberapa keputusan kontroversi yang dicetuskan oleh pembantu pengadil, Dave Richardson apabila dia menafikan jaringan Victor Moses di babak pertama dan tidak mengendahkan rayuan penalti United selepas bola jelas terkena tangan Maynor Figueroa dalam kawasan penalti di babak kedua.  Selepas `bencana' yang menimpa pasukannya di Stamford Bridge, di mana mereka dibolosi dua jaringan yang jelas off side, Roberto Martinez tentunya berfikir situasi serupa akan berulang lagi selepas jaringan Moses dibatalkan hingga menyaksikan dia bertikam lidah dengan pegawai keempat perlawanan.  Tiada kelihatan pemain United yang membantah jaringan itu biarpun ulang tayang menunjukkan Gary Caldwell menghalang David de Gea sebelum Moses melakukan tandukan.

Wigan jelas menguasai permainan sepanjang separuh masa pertama dengan beberapa percubaan bahaya yang dihasilkan mereka terutamanya menerusi gandingan James MacCarthy, Franco di Santo dan Moses. Skuad bimbingan Roberto Martinez itu sering diingati dengan gaya menyerang mereka, tetapi kehilangan mata penting akibat ketumpulan jentera serangan sendiri.  Situasi tersebut tampak bakal berulang lagi apabila United hampir memanfaatkan kegagalan tuan rumah memburu gol menerusi peluang terbaik yang diperolehi oleh Javier Hernandez namun berjaya dihalang Caldwell. Selepas kedudukan terikat 0-0 sepanjang babak pertama, Maloney akhirnya muncul wira apabila rembatannya hasil gerakan bersama Jean Beausejour  gagal diselamatkan De Gea.  Jaringan Maloney diminit ke-49 itu ternyata mengejutkan United yang kemudiannya bangkit dan mengubah rentak permainan mereka bagi memburu gol penyamaan. Kegagalan memecah kebuntuan memaksa Ferguson melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Danny Welbeck (menggantikan Hernandez) dan Nani (menggantikan Rooney) namun tuan rumah tetap terus mendominasi permainan.  Mereka hampir menggandakan jaringan namun percubaan Moses diminit ke-81 berjaya diselamatkan De Gea dan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat permainan.  Glory Glory Manchester United!!

Statistik Perlawanan Wigan/United:

Sepakan Sudut: 7/3
Percubaan Tepat: 8/3
Percubaan Tersasar: 3/5
Kekasaran: 8/14
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/2
Penguasaan Bola: 45%/55%