12 April 2012

KEJUTAN BUAT UNITED


Shaun Maloney memberikan kesan yang besar kepada dua pasukan di tangga teratas liga apabila gol tunggal jaringannya memberikan tiga mata berharga buat Wigan Athletic sekaligus menghidupkan semula peluang Manchester City dalam perlumbaan merebut kejuaraan musim ini. Kekalahan ini adalah yang pertama buat United dalam 15 pertembungan mereka dengan The Latics, sekaligus menyaksikan jurang selaku pendahulu kini mengecil kepada lima mata. Ini juga adalah kekalahan pertama United dalam 13 perlawanan sejak kali terakhir mereka tewas kepada Newcastle United pada 4 Januari lalu.  Perlawanan ini turut menyaksikan beberapa keputusan kontroversi yang dicetuskan oleh pembantu pengadil, Dave Richardson apabila dia menafikan jaringan Victor Moses di babak pertama dan tidak mengendahkan rayuan penalti United selepas bola jelas terkena tangan Maynor Figueroa dalam kawasan penalti di babak kedua.  Selepas `bencana' yang menimpa pasukannya di Stamford Bridge, di mana mereka dibolosi dua jaringan yang jelas off side, Roberto Martinez tentunya berfikir situasi serupa akan berulang lagi selepas jaringan Moses dibatalkan hingga menyaksikan dia bertikam lidah dengan pegawai keempat perlawanan.  Tiada kelihatan pemain United yang membantah jaringan itu biarpun ulang tayang menunjukkan Gary Caldwell menghalang David de Gea sebelum Moses melakukan tandukan.

Wigan jelas menguasai permainan sepanjang separuh masa pertama dengan beberapa percubaan bahaya yang dihasilkan mereka terutamanya menerusi gandingan James MacCarthy, Franco di Santo dan Moses. Skuad bimbingan Roberto Martinez itu sering diingati dengan gaya menyerang mereka, tetapi kehilangan mata penting akibat ketumpulan jentera serangan sendiri.  Situasi tersebut tampak bakal berulang lagi apabila United hampir memanfaatkan kegagalan tuan rumah memburu gol menerusi peluang terbaik yang diperolehi oleh Javier Hernandez namun berjaya dihalang Caldwell. Selepas kedudukan terikat 0-0 sepanjang babak pertama, Maloney akhirnya muncul wira apabila rembatannya hasil gerakan bersama Jean Beausejour  gagal diselamatkan De Gea.  Jaringan Maloney diminit ke-49 itu ternyata mengejutkan United yang kemudiannya bangkit dan mengubah rentak permainan mereka bagi memburu gol penyamaan. Kegagalan memecah kebuntuan memaksa Ferguson melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Danny Welbeck (menggantikan Hernandez) dan Nani (menggantikan Rooney) namun tuan rumah tetap terus mendominasi permainan.  Mereka hampir menggandakan jaringan namun percubaan Moses diminit ke-81 berjaya diselamatkan De Gea dan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat permainan.  Glory Glory Manchester United!!

Statistik Perlawanan Wigan/United:

Sepakan Sudut: 7/3
Percubaan Tepat: 8/3
Percubaan Tersasar: 3/5
Kekasaran: 8/14
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/2
Penguasaan Bola: 45%/55%

Tiada ulasan:

Catat Ulasan