Setahun yang lalu, kehadiran Javier `Chicharito' Hernandez dalam saingan Liga Perdana England mencetuskan fenomena di kalangan penyokong United berikutan prestasi gemilang yang dipamerkan bintang antarabangsa Mexico itu. Dalam musim pertamanya, Chicharito sudah mempamerkan sentuhan tajam sebagai penyerang hingga menyaksikan dia berjaya menghasilkan 20 gol hingga dilabel sebagai pengganti kepada lagenda United sendiri, Ole Gunnar Solskjaer. United ketika itu dilihat cukup bertuah memiliki penyerang seperti Hernandez yang diperolehi dengan harga murah tetapi memiliki bakat yang cukup besar ditambah pula dengan faktor umur yang masih muda. Chicharito adalah bakat besar dari zon CONCACAF selepas kehadiran Dwight Yorke (Trinidad & Tobago) yang menerima sanjungan sebagai wira di Old Trafford, dan dia juga dikatakan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hugo Sanchez sejak sekian lama sebagai peledak berbisa Mexico. Chicharito pantas menyesuaikan diri dengan saingan bolasepak England pada musim pertamanya dan menjadi gandingan tetap Wayne Rooney di barisan hadapan United. Gandingannya bersama Rooney musim lalu memperlihatkan keserasian seolah-olah mereka telah bergandingan sejak sekian lama hingga berjaya membantu United mengatasi rekod Liverpool sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga. Kehadiran Chicharito bukan saja menenggelamkan berita sensasi perpindahan 50 juta Pound Fernando Torres dari Liverpool ke Chelsea malah mengakibatkan Dimitar Berbatov menjadi pilihan ketiga Ferguson di barisan hadapan walaupun penyerang berpengalaman itu antara penyumbang gol paling produktif buat United musim lalu. Kepantasan adalah aset utama Chicharito yang dilihat begitu mudah melepasi perangkap offside pertahanan lawan terutamanya apabila Rooney yang bermain di belakangnya membekalkan umpanan untuk disudahkan. Contoh paling baik adalah gol minit awal jaringannya pada 8 Mei tahun lalu ke atas Chelsea di Old Trafford dalam perlawanan penting yang menjadi penentu kejuaraan liga musim lalu. Chicharito bijak melepasi benteng pertahanan Chelsea dan menggunakan kepantasannya untuk meninggalkan David Luiz jauh di belakang. Persis penyerang berpengalaman, Chicharito kemudiannya dengan tenang mudah menolak bola masuk melepasi hadangan Peter Cech untuk memberi gol pembukaan sekaligus menyaksikan United kemudiannya menang 2-1 dan mengesahkan kejuaraan liga ke-19 mereka.
Musim ini, Chicharito beraksi sebanyak 17 perlawanan dalam saingan liga, kurang lima perlawanan dari Danny Welbeck dan Ferguson musim ini nampaknya lebih senang menggandingkan pemain antarabangsa England itu bersama-sama Rooney di barisan hadapan. Chicharito menjaringkan 10 gol dari 26 penampilannya dalam mana-mana kejohanan musim ini, statistik yang masih cukup bagus buat seorang penyerang muda sepertinya tetapi kegagalan mengekalkan tempatnya bererti dia belum mampu membangun dan reputasinya juga sedikit menurun di mata media dan penyokong United sendiri. `Sindrom musim kedua' sering digunakan untuk menggambarkan prestasi pemain seperti Chicharito dalam saingan Liga Perdana walaupun penurunan prestasinya tidaklah seteruk Marouane Chamakh yang hadir dengan reputasi besar dari Bordeaux pada 2010 tetapi hanya beraksi sebanyak 9 kali dalam saingan liga dan menjaringkan satu gol buat Arsenal musim ini. Chicharito sendiri boleh terjebak dengan `sindrom musim kedua' sepertimana yang pernah dialami Theo Walcott, Andy Caroll dan Chamakh selepas melakukan impak besar dalam kempen sulungnya musim lalu. Hanya masa bakal menentukan sama ada `sweet little pea' boleh bangkit kembali untuk meletakkan semula nama dalam barisan kesebelasan utama United atau terus tenggelam dengan kebangkitan Danny Welbeck, permata yang lahir hasil dari program pembangunan pemain muda The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!
Berita-Berita Lain:
AGEN: VIDIC AKAN KEKAL DI OLD TRAFFORD
Agen Nemanja Vidic, Silvano Martina menegaskan kliennya itu akan kekal di Old Trafford biarpun terdapat khabar angin baru-baru ini mengatakan bahawa bintang antarabangsa Serbia itu akan menyertai Juventus musim depan. Vidic yang terlepas semua aksi pusingan kedua Liga Perdana musim ini turut dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid, namun Martina menegaskan Vidic ketika ini hanya fokus untuk pulih dari kecederaan dan menyertai kembali United pada perlawanan pra musim Julai nanti. "Apakah Vidic akan berpindah ke Itali? Saya berani mengatakan perkara itu tidak akan berlaku. Vidic sedang menjalani proses pemulihan dan semuanya berjalan lancar. Dia kini sedang berusaha keras untuk kembali berlatih bersama rakan-rakan sepasukan. Situasi dalam pasukan juga cukup baik dan dia masih terikat dengan kontrak hingga 2014, jadi dia sama sekali tidak memikirkan untuk berhijrah", kata Martina.
PARLOUR: SCHOLES LAYAK BERAKSI DI EURO 2012
Prestasi cemerlang Paul Scholes bersama United sejak kembali dari persaraan Januari lalu mendapat perhatian dari ramai penganalisis bolasepak. Terbaru, bekas pemain Arsenal, Ray Parlour berpendapat Scholes layak menyertai skuad England ke pusingan akhir Euro 2012 Jun nanti. Menurut Parlour, England amat memerlukan kreativiti pemain seperti Scholes di bahagian tengah pada kempen mereka di Ukraine dan Poland nanti. Bagi Parlour, skuad The Three Lions sudah boleh melupakan khidmat bintang tengah Arsenal, Jack Wilshere Jun nanti berikutan masalah kecederaan jangka panjang yang dialaminya. "Saya fikir agar sukar untuk Jack tampil pada Euro nanti kerana dia tidak bermain begitu lama. Jikapun pulih ia akan hanya berlaku bila musim ini berakhir. Ini merupakan tamparan buat skuad England namun Paul Scholes boleh menggantikan Jack. Scholes pemain yang hebat dan semakin hebat sejak kembali dari persaraan pada pertengahan musim ini. Jika Scholes berhajat kembali menyertai skuad England, dia memang layak mendapat tempat", kata Parlour.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan