Manchester United mengukuhkan kembali cengkaman mereka di tangga teratas liga selepas membenam Aston Villa 4-0 di Old Trafford malam tadi. Dua jaringan Wayne Rooney dan masing-masing satu oleh Danny Welbeck dan Nani memastikan United meredakan semula tekanan selepas tewas mengejut kepada Wigan Athletic, Khamis lalu. Sebelum perlawanan, United hanya mendahului tangga teratas dengan kelebihan dua mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City yang turut mengutip tiga mata penuh di Carrow Road pada perlawanan hari Sabtu. Kemenangan ke atas Villa malam tadi memastikan United mengutip mata ke 82 mereka dengan baki hanya empat perlawanan yang perlu diharungi musim ini. United yang meletakkan misi meraih tiga mata penuh selepas tewas di DW Stadium mengasak sejak awal permainan dan memperolehi penalti diminit ke-7 selepas Ciaran Clark menjatuhkan Ashley Young dalam kawasan penalti. Rooney tidak menghadapi masalah menewaskan Shay Given untuk meletakkan United 1-0 di hadapan. Diminit ke-18, Rooney sekali lagi hampir membolosi gawang Villa namun rembatan jarak dekatnya berjaya ditepis keluar Given. Diminit ke-34, Given terpaksa mengerahkan aksi terbaiknya untuk menafikan percubaan Danny Welbeck biarpun penyerang muda England itu berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan. Meskipun beberapa kali berjaya menafikan peluang terbaik United, Given akhirnya tewas buat kali kedua diminit ke-43. Selepas beberapa kali tersasar, Welbeck akhirnya meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila mudah menolak masuk bola umpanan Ashley Young dari sebelah kiri.
Bersambung di babak kedua, United terus mendominasi permainan terutamanya melalui gerakan-gerakan Paul Scholes, Rooney, Antonio Valencia dan Welbeck, namun barisan pertahanan Villa yang diketuai Alan Hutton kebal bertahan. Selepas berterusan menerima tekanan, benteng Villa akhirnya roboh lagi apabila Rooney menjaringkan gol kedua peribadinya selepas mudah menolak masuk bola umpanan Valencia diminit ke-73. Di penghujung permainan, Nani berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan lawan sebelum mudah menolak bola masuk untuk gol keempat United sekaligus menutup pesta jaringan di gelanggang sendiri. Mengulas tentang penalti kontroversi yang diberikan kepada pasukannya oleh pengadil Mark Hasley di awal babak pertama, Sir Alex Ferguson mengakui Ashley Young memang sengaja mencari sepakan penalti namun mempertahankan pemainnya itu dari tuduhan menipu. Minggu lalu, Young turut terlibat dalam situasi sama apabila United dihadiahkan sepakan penalti manakala pemain tengah Queens Park Rangers, Shaun Derry pula dilayangkan kad merah. "Saya rasa dia (Young) memang mencari penalti. (Ciaran) Clark jelas melanggarnya walaupun Young memang menjatuhkan diri walaupun tampak sedikit berlebihan, tetapi itu jelas penalti. Tiada keraguan tentang hal itu. Clark tidak seharusnya melakukan bantahan kerana dia memang menjatuhkan Young", kata Ferguson. Glory Glory Manchester United!!!
Statistik Perlawanan United/Villa:
Sepakan Sudut: 11/4
Percubaan Tepat: 17/4
Percubaan Tersasar: 8/6
Kekasaran: 9/7
Kad Kuning: 3/3
Kad Merah: -/-
Offside: 1/0
Penguasaan Bola: 57%/43%
Statistik Perlawanan United/Villa:
Sepakan Sudut: 11/4
Percubaan Tepat: 17/4
Percubaan Tersasar: 8/6
Kekasaran: 9/7
Kad Kuning: 3/3
Kad Merah: -/-
Offside: 1/0
Penguasaan Bola: 57%/43%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan