13 April 2012

GIGGS TUNTUT UNITED BANGKIT KEMBALI


Ryan Giggs mencabar pasukannya untuk mendapatkan kembali cengkaman mereka di tangga teratas sebelum pertarungan menentang Manchester City akhir bulan ini yang juga dilabelkan sebagai `final' Liga Perdana musim ini.  United dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Wigan Athletic di gelanggang lawan hingga menyaksikan kelebihan lapan mata mereka di tangga teratas sebelum perlawanan kini mengecil kepada lima mata. Kekalahan United kepada Wigan dilihat membuka kembali peluang City dalam perlumbaan mengejar kejuaraan, namun Giggs mahukan agar pasukannya menamatkan segera cabaran pesaing terdekat mereka itu.  Lagenda Old Trafford itu meletakkan sasaran meraih  mata maksimum ketika mereka menerima kunjungan Aston Villa di gelanggang sendiri hujung minggu ini dan Everton tujuh hari kemudian.  Dua kemenangan di gelanggang sendiri (ke atas Aston Villa dan Everton) bakal memastikan United membawa kelebihan lima mata ketika kunjungan mereka ke Stadium Etihad hujung bulan ini (itupun jika City menang dua perlawanan mereka). "Adalah penting mendapatkan enam mata daripada dua perlawanan ini (Aston Villa dan Everton).  Kami bermain di gelanggang sendiri dan kami akan mencari cara terbaik untuk memenangi kedua-dua perlawanan ini.  Ada beberapa keputusan yang kurang bagus sepanjang musim ini tetapi kami sentiasa mampu bangkit semula", kata Giggs.

Menurut Giggs, adalah penting buat rakan-rakannya segera melupakan kekalahan di DW Stadium yang juga kekalahan pertama dari 13 perlawanan mereka sejak Januari lalu. Mengambil contoh kebangkitan semula United yang meraih 34 mata sejak mereka tewas kepada Newcastle United, 4 Januari lalu, Giggs berkata bahawa mereka mesti menunjukkan ciri-ciri yang sama ketika menentang Aston Villa pada Ahad ini. Giggs turut menegaskan tiada alasan tentang prestasi buruk mereka kelmarin hingga menyebabkan rekod 100% United ke atas skuad The Latics sebelum ini lebur.  Tiada mana-mana bintang The Red Devils yang menonjol sepanjang perlawanan kelmarin hinggakan nama besar seperti Wayne Rooney terpaksa ditarik keluar di babak kedua untuk memberikan nafas baru kepada gerakan serangan United.  "Kami gagal bermain dengan baik. Permainan kami kurang lancar dan sering melakukan hantaran jauh.  Kami tidak mengawal bola seperti yang biasa kami lakukan.  Anda perlu berikan kredit kepada Wigan.  Mereka meletakkan kami di bawah tekanan dengan kerja keras mereka", kata Giggs lagi.  United dinafikan sepakan penalti selepas bola jelas terkena tangan Maynor Figueroa dalam kawasan penalti namun pembantu pengadil Dave Richardson mendakwa tidak melihat insiden tersebut.  November lalu, United turut berdepan keputusan merugikan dari pegawai perlawanan apabila Phil Dowd menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada Newcastle United yang menyaksikan mereka sekadar berkongsi mata di Old Trafford.

Berita-Berita Lain:

UNITED SETUJU HARGA GAITAN

Manchester United dilaporkan tinggal selangkah lagi untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Benfica, Nicolas Gaitan. United dikatakan telah bersetuju dengan harga 45 juta Euro yang diletakkan Benfica ke atas Gaitan dan turut akan melepaskan dua pemainnya sebagai pertukaran kepada kelab Portugal itu.  Menurut media-media Portugal, United akan membayar sebanyak 25 juta Euro dalam bentuk tunai dan nilai selebihnya membabitkan dua pemain yang akan dilepaskan kepada Benfica.  Nama-nama seperti Kiko Macheda, David Petrucci dan Bebe disebut-sebut sebagai pemain yang bakal menjadi korban perjanjian tersebut.  Perbincangan perjanjian diuruskan oleh agen terkenal, Jorge Mendes yang turut memiliki hubungan baik antara kedua-dua kelab. Gaitan yang sejak Disember lalu menjadi pemain yang disebut-sebut menjadi tarikan Sir Alex Ferguson untuk memperkuatkan jentera tengah United dikatakan bakal menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford.

MEULENSTEEN SAHKAN FERGUSON MINAT HAZARD

Pembantu Sir Alex Ferguson dalam skuad utama, Rene Meulensteen mengesahkan, bosnya itu menaruh minat yang tinggi terhadap gaya permainan bintang Belgium dan LOSC Lille, Eden Hazard.  Bulan lalu, Ferguson hadir menyaksikan perlawanan antara Olympique Lyon dan Lille yang didakwa Meulensteen sengaja dilakukan Ferguson bagi memantau aksi Hazard. "Pengurus ingin menyaksikan sendiri penampilan Hazard.  Itu tandanya dia berfikir bahawa Hazard adalah pemain yang menarik.  Kami sering berbincang tentangnya (Hazard).  Penting untuk sesebuah pasukan memberikan nafas baru kepada skuad. Hazard adalah pemain yang istimewa, tetapi kami memerlukan waktu.  Contohnya ketika kami memantau David De Gea untuk tempoh yang lama sebelum mendapatkannya", kata Meulensteen. Selain Hazard, United turut dikaitkan dengan Kevin Strootman namun Meulensteen kurang yakin yang bintang PSV Eindhoven itu sesuai dengan saingan bolasepak England.  "Kami tidak pernah berbincang tentang Strootman secara serius.  Kami mengikuti perkembangan setiap pemain muda yang berpotensi.  Itu pun berlaku untuk Christian Eriksen.  Strootman pemain yang bagus namun saya tidak fikir dia sesuai untuk bolasepak England".

MANCINI: PELUANG CITY SUDAH TERTUTUP

Meskipun menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas West Bromwich kelmarin, sekaligus berjaya merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Manchester United, Roberto Mancini mendakwa peluang pasukannya meraih gelaran liga musim ini sudah berakhir.  Kekalahan United kepada Wigan Athletic membantu City menghidupkan semula harapan mereka dalam pemburuan kejuaraan liga dengan baki lima perlawanan yang perlu diharungi.  Bagaimanapun Mancini begitu yakin bahawa perkara itu (memenangi kejuaraan liga) tidak akan berlaku.  "Tidak, semuanya sudah berakhir.  Memang penting kerana secara matematiknya kami berada di posisi yang lebih baik.  Manchester United pasukan yang fantastik, mereka punya pengalaman dan saya fikir mereka akan keluar sebagai juara.  Kami sudah memiliki 74 mata dan secara realistiknya akan bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan", kata Mancini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan