14 September 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn WIGAN ATHLETIC



Selepas berehat seminggu kerana memberi ruang kepada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014, saingan Liga Perdana England disambung kembali esok. Sepertimana yang dijadualkan, Manchester United akan berdepan Wigan Athletic di Old Trafford dengan United ketika ini menduduki tangga kelima manakala Wigan pula berada di tangga kesembilan. United mempunyai rekod yang cukup baik ketika bermain digelanggang sendiri dan perlawanan ini adalah peluang terbaik buat skuad The Red Devils meneruskan momentum kemenangan selepas mereka meraih enam mana dari dua perlawanan terakhir. Selepas berpindah dari London ke Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas, harapan tinggi diletakkan ke atas bahu Robin Van Persie dalam memburu gol musim ini agak tinggi. Namun penyerang antarabangsa Belanda itu pantas menyesuaikan diri dengan pasukan baru dan membuktikan bahawa dia adalah penyerang kelas dunia apabila sudah meledakkan empat gol dari tiga perlawanan. Van Persie menjaringkan gol yang cukup cemerlang ketika berdepan Fulham dan kemudian mencatat hatrik ketika berdepan Southampton biarpun sepatutnya dia menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti. Gandingan dengan Shinji Kagawa dibelakangnya serta Ashley Young dan Antonio Valencia di kiri dan kanan mencetuskan sesuatu yang hebat buat United, dan Wigan pastinya berdepan tugas sukar mengawal ketiga-tiga mereka dari membekalkan hantaran-hantaran berkualiti kepada Van Persie (jika Van Persie diturunkan). Dengan Wayne Rooney yang terlepas aksi selama dua bulan, Van Persie akan memikul tugas selaku penyerang utama untuk tempoh beberapa minggu lagi.

Tumpuan utama pada perlawanan ini sebenarnya bukanlah terarah kepada Van Persie, tetapi krisis kecederaan yang melanda kem United. Di barisan belakang, United kehilangan khidmat Chris Smalling, Phil Jones manakala Jonny Evans pula belum pasti diturunkan selepas pemain itu mendedahkan dia mengambil suntikan penahan sakit ketika turun mewakili Ireland menentang Russia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Selasa lalu. Van Persie dan Kagawa sendiri mengalami kecederaan ketika mewakili negara masing-masing dalam kempen kelayakan Piala Dunia namun tahap kecederaan kedua-dua bintang baru United itu diberitakan tidak membimbangkan. Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang buruk berlaku, adalah lebih baik jika Ferguson tidak menurunkan Van Persie dan Kagawa dalam perlawanan ini. Rafael dal Silva bakal menjadi pilihan Ferguson di posisi bek kanan manakala Alexander Buttner mungkin diberi peluang melakukan penampilan pertamanya bagi menggantikan Patrice Evra. Biarpun berdepan masalah kecederaan, United jelas skuad yang lebih kuat berbanding Wigan biarpun skuad bimbingan Roberto Martinez itu berjaya mengejutkan United ketika mereka menang 1-0 di gelanggang sendiri musim lalu. Kekalahan itu adalah satu peringatan buat United agar tidak mengambil mudah kemampuan The Latics. United hanya tewas dua dari 41 perlawanan liga mereka di Old Trafford dan dijangka terus melebarkan penguasaan mereka esok. Rekod di gelanggang sendiri ketika bertemu Wigan juga jelas memihak kepada United apabila skuad The Red Devils menang kesemua tujuh pertemuan mereka setakat ini. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Alexander Buttner, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Ashley Young, Paul Scholes, Michael Carrick, Antonio Valencia, Danny Welbeck & Javier Hernandez.

Barisan Kemungkinan Wigan:

Ali Al-Habsi, Antolin Alcaraz, Gary Caldwell, Ivan Ramis, Emerson Boyce, James McCarthy, Maynor Figueroa, Arouna Kone, Franco Di Santo & Shaun Maloney

13 September 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: ANDERSON DAN NANI AKAN DIJUAL JANUARI INI?


Manchester United bakal melepaskan dua pemain tengah mereka Anderson dan Nani Januari ini. Sir Alex Ferguson dikatakan sudah mula hilang sabar dengan prestasi Anderson selain rekod kecederaan pemain Brazil itu yang buruk, manakala Nani pula dikatakan kecewa gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama berikutan kehadiran Shinji Kagawa. Anderson menyertai United dari FC Porto pada 2007 dengan memikul reptuasi tinggi yang diletakkan ke atasnya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Roy Keane. Walau bagaimanapun sepanjang lima tahun di Old Trafford, pemain Brazil itu dilihat lebih banyak bergelut dengan masalah kecederaan dari membuktikan reputasinya di atas padang. Musim lalu, Anderson hanya bermain sebanyak 10 perlawanan liga untuk United dan selebihnya hanya menghabiskan masa dengan keluar masuk di bilik rawatan. Benfica dan Tottenham Hotspurs antara kelab yang dikatakan berminat mendapatkan pemain tengah itu jika United benar-benar ingin melepaskannya. Walau bagaimanapun United mahu mendapatkan sekurang-kurang 18 juta Pound hasil dari penjualan Anderson, jumlah yang mereka keluarkan ketika mendapatkan pemain itu dari FC Porto.  Nasib Anderson kini bergantung pada prestasi semasanya kerana Ferguson tidak mahu terburu-buru melepaskan pemain berusia 24 tahun itu dan masih menaruh harapan agar dia kembali semula pada prestasi terbaiknya. 

Selain itu faktor umur dan kontrak Anderson yang masih berbaki 3 tahun menyebabkan United tidak akan menjual pemain itu dengan harga yang murah. Sebelum itu, United sudahpun melihat Moussa Dembele sebagai pengganti terbaik buat Anderson sebelum pemain antarabangsa Belgium itu menyertai Tottenham Hotspurs. Sementara itu Nani pula kini menjadi sasaran gergasi Itali yang berminat membawa pemain sayap antarabangsa Portugal itu beraksi di Serie A. Selepas berjaya mendapatkan Nicklass Bendtner secara pinjaman dari Arsenal, Juventus berharap Nani bakal menjadi pembelian terbesar mereka Januari ini. Prestasi tidak konsisten Nani menyebabkan dia sering diletakkan di bangku simpanan, dan menjadi pilihan kedua Ferguson di belakangan Antonio Valencia. Tambah memburukan lagi keadaan, kedatangan Kagawa menyebabkan Nani semakin tersisih dari kesebelasan utama United. Perbincangan kontrak baru yang menemui jalan buntu menyaksikan masa depan pemain itu di Old Trafford kian kelam. Ferguson kini sedang memantau beberapa pemain tengah baru untuk dijadikan pengganti kepada Paul Scholes dan dana hasil penjualan Anderson dan Nani akan digunakan bos United itu untuk membeli pemain tengah baru Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!

BUTTNER GUGAT POSISI EVRA


Tempat Patrice Evra selaku bek kiri Manchester United kian tergugat selepas Sir Alex Ferguson diberitakan sedang mempertimbangkan untuk memberi peluang buat Alexander Buttner melakukan penampilan pertamanya ketika menentang Wigan Athletic hujung minggu ini. Prestasi Evra sejak kebelakangan ini sering menjadi perhatian utama Ferguson dan pemain antarabangsa Perancis itu sendiri tanpa ragu-ragu menyebut kedatangan Buttner adalah untuk memberi saingan kepadanya dalam mengisi slot di posisi tersebut. Buttner ditandatangani Ferguson dari kelab Eredivisie, Vittese Arnhem dengan nilai 3.9 juta Pound sebagai pelapis Evra yang kini sudah menjangkau usia 31 tahun dan dilihat semakin perlahan. Sejak menyertai United dari AS Monaco pada 2006, tempat Evra selaku bek kiri tidak tergugat dan dia adalah pilihan automatik di posisi tersebut sepanjang enam tahun kariernya di Old Trafford. Biarpun turut memiliki Fabio da Silva (Fabio kini dipinjamkan ke QPR), Evra kekal selaku pilihan utama Ferguson yang menyaksikan dia sudah beraksi keseluruhan 295 penampilan dalam kesemua pertandingan untuk United. Untuk rekod, musim lalu Evra bermain sebanyak 37 perlawanan liga dan hanya terlepas satu perlawanan ketika United berdepan Everton di Goodison Park. Glory Glory Manchester United!!!

11 September 2012

EVANS BERDEPAN KECEDERAAN LEBIH SERIUS


Situasi terkini kecederaan Jonny Evans tentunya mengundang resah buat Sir Alex Ferguson selepas pemain pertahanan itu mengakui dia bermain dalam kesakitan ketika turun mewakili skuad kebangsaan Ireland menentang Russia hujung minggu lalu. Pertahanan tengah itu yang bergelut dengan kecederaan buku lali mendakwa dia terpaksa bergantung kepada suntikan penahan sakit dalam perlawanan itu yang berkesudahan Ireland tewas dengan jaringan 0-2. Perkembangan ini tentunya bakal mencetus kemarahan Ferguson yang berdepan krisis kecederaan pemain di barisan belakang selepas kehilangan khidmat Phil Jones dan Chris Smalling untuk jangkamasa panjang. Biarpun sudah memperolehi semula khidmat Rio Ferdinand yang diturunkan ketika United menang 3-2 ke atas Southampton, kehilangan Evans tetap sesuatu yang cuba dielakkan Ferguson. Berbeza dengan sikap Ferguson yang cukup berhati-hati dalam menangani masalah kecederaan Evans, Ireland pula sebaliknya dijangka terus menggunakan khidmat pemain pertahanan itu untuk perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 mereka menentang Luxembourg di Windsor Park malam ini. Evans masih belum merasai aksi liga setakat ini kerana Ferguson mahu memberi ruang buat pemain itu pulih dari kecederaan, namun kudratnya terus ditagih skuad kebangsaan Ireland biarpun berdepan risiko kecederaan yang lebih serius. Evans memang diketahui masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan dan jika sesuatu yang buruk berlaku kepadanya dalam perlawanan menentang Luxembourg nanti, United bakal berdepan satu lagi prospek kecederaan jangka masa panjang di benteng mereka selepas apa yang melanda Jones dan Smalling. Semoga situasi di mana Michael Carrick terpaksa dikerah mengisi posisi pertahanan tengah sepertimana pada dua perlawanan awal liga tidak berulang dan Evans pula pulang ke Old Trafford dengan keadaan cergas sepenuhnya. Glory Glory Manchester United!!!

09 September 2012

JONES DIKETEPIKAN SELAMA DUA BULAN


Manchester United mengumumkan pemain pertahanan, Phil Jones akan diketepikan selama dua bulan selepas menjalani pembedahan lututnya semalam. Jones cedera ketika sesi latihan dan imbasan yang dijalankan selepas itu menunjukkan dia terpaksa berehat untuk tempoh yang panjang. Jones sudah terlepas aksi dalam tiga perlawanan awal United musim ini yang menyaksikan The Red Devils berdepan krisis kecederaan di benteng pertahanan mereka pada awal musim. Selain Jones, United turut gagal menggunakan khidmat Jonny Evans, Chris Smalling dan Rio Ferdinand pada perlawanan awal musim hingga menyaksikan pemain tengah Michael Carrick terpaksa mengisi kekosongan di bahagian tengah pertahanan. Jurucakap kelab mengatakan pertahanan berusia 20 tahun itu akan menjalani sesi pemulihan selama enam hingga lapan minggu sebelum boleh beraksi semula. Ini adalah berita buruk buat Jones yang menyertai United dari Blackburn Rovers musim lalu kerana sebelumnya dia juga terpaksa diketepikan dari skuad kebangsaan England di Kejohanan Euro 2012. Bukan hanya terlepas aksi dalam saingan liga, Jones turut diketepikan dalam kempen kelayakan Piala Dunia England dan dijangka hanya akan kembali semula pada November nanti. Di peringkat domestik, Jones akan terlepas aksi penting United menentang Liverpool, Chelsea dan Arsenal, manakala skuad kebangsaan England pula tidak dapat menggunakan khidmat Jones ketika mereka menentang San Marino dan Poland bulan hadapan. Di samping itu, Jones juga bakal terlepas aksi tiga perlawanan awal peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Galatasaray, Braga dan CFR Cluj. Selain Jones, United juga kehilangan khidmat Chris Smalling untuk jangkamasa panjang selepas tulang metatarsal pemain itu patah, namun Rio Ferdinand sudah beraksi dalam saingan liga minggu lalu ketika mereka menang ke atas Southampton manakala Jonny Evans juga sudah pulih sepenuhnya dan bersedia merasai aksi pertamanya musim ini. Glory Glory Manchester United!!!

KENAPA FERGIE BERTEMU PEP DI NEW YORK?


Perkhabaran dari media-media di Sepanyol melaporkan bahawa Sir Alex Ferguson berlepas ke Now York untuk bertemu bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola minggu lalu. Akhbar El Mundo Deportivo melaporkan bahawa Ferguson dan Guardiola tidak menghadiri forum jurulatih dan pengurus elit anjuran UEFA di Nyon, Switzerland pertengahan minggu lalu biarpun mendapat undangan dari bandan induk bolasepak Eropah itu. El Mundo Deportivo juga melaporkan tujuan utama Ferguson yang sanggup berlepas ke New York untuk bertemu dengan Guardiola ialah bagi membincangkan tentang calon penggantinya di Old Trafford. Ferguson dikatakan mahu Guardiola menggantikannya sebagai pengurus Manchester United sekiranya dia (Ferguson) mengambil keputusan untuk bersara hujung musim ini. Reputasi Guardiola ketika mengendalikan Barca selama empat tahun menyebabkan Ferguson merasakan warga Sepanyol itu adalah calon paling untuk menggantikan tempatnya. Biarpun cemerlang ketika mengemudi Barca dengan pelbagai kejuaraan yang diraihnya selain menewaskan United sebanyak dua kali di pentas final Liga Juara-Juara (2009 dan 2011), Guardiola mengambil keputusan drastik meninggalkan kelab Catalan itu penghujung musim lalu. Tekanan selaku jurulatih Barca adalah penyebab utama mengapa Guardiola mengumumkan pengundurannya sebelum mempertimbangkan tempoh setahun untuk kembali semula kearena pengurusan/kejurulatihan bolasepak. Glory Glory Manchester United!!!

08 September 2012

ROONEY INGIN TAMATKAN KARIER BERSAMA UNITED


Persoalan tentang masa depan kariernya bersama Manchester United, kecederaan awal musim hingga menyaksikannya terpaksa diketepikan selama hampir dua bulan dan hubungan dengan Sir Alex Ferguson, menjadikan permulaan musim ini sebagai antara yang paling sukar buat Wayne Rooney. Di sebalik semua persoalan dan spekulasi yang ditimbulkan, Rooney sebaliknya berkata dia gembira bersama The Red Devils dan mensasarkan untuk menamatkan kariernya di Old Trafford. "Bolehkah saya berada di sini (Old Trafford) untuk tempoh 10 tahun lagi? Saya harap begitu. Selagi penyokong mahu melihat saya kekal sebagai pemain United, maka itulah yang akan saya lakukan. Mudah-mudahan saya akan terus berada di sini untuk tempoh yang panjang. Ini adalah kelab yang hebat dan secara jujurnya ke mana lagi anda boleh pergi selain kelab ini", kata Rooney. Kini Rooney hanya perlu melihat individu di sekelilingnya dalam bilik persalinan United dan kemudian melihat bagaimana caranya untuk terus melanjutkan kerjayanya bersama United seberapa lama yang boleh. Ryan Giggs dan Paul Scholes adalah individu yang boleh dijadikan contoh terbaik buat Rooney tentang bagaimana mereka boleh terus kekal berbakti bersama kelab bermula dari zaman remaja hinggalah sekarang. Permulaan yang buruk buat Rooney apabila aksi hambarnya ketika menentang Everton pada perlawanan pembukaan menyaksikan dia diletakkan dibangku simpanan ketika menentang Fulham pada perlawanan kedua. Rooney dimasukkan di penghujung babak kedua namun tidak lama selepas itu mengalami kecederaan serius hingga menyaksikan dia terpaksa diusung keluar padang dan tidak akan beraksi selama dua bulan. Rooney menjangkakan dia akan kembali beraksi penghujung bulan ini namun kehadiran Robin Van Persie dan prestasi terkini bekas penyerang Arsenal itu menjadikan Rooney bukan lagi pilihan automatik dalam kesebelasan utama United. Adalah diharapkan selepas Rooney kembali beraksi semula nanti, dia akan lebih bersedia untuk bersaing dengan Van Persie, Javier Hernandez dan Danny Welbeck dalam perebutan slot di bahagian hadapan United. Hubungan dingin sepertimana yang digembar-gemburkan media berlaku antara Rooney dan Ferguson sedikit sebanyak meresahkan penyokong-penyokong United. Sesetengah penyokong mulai bimbang episod Oktober 2010 akan berulang kembali ketika Rooney meminta meninggalkan Old Trafford sebelum ditawarkan kontrak baru yang lebih lumayan. Kemelut ketika itu berlanjutan hingga Rooney digugurkan dari skuad bagi pertembungan dengan Blackburn Rovers pada perlawanan tahun baru selain didenda kerana berparti pada hari `Boxing Day' bersama-sama rakan sepasukan Jonny Evans dan Darron Gibson. Mengulas tentang episod itu, Rooney mengatakan ia merupakan kesilapan besar yang dilakukannya. "Saya sedar selepas melakukan kesilapan itu dan mahu memperbetulkan keadaan. Dalam tempoh 12 jam akhirnya saya menandatangani kontrak baru", jelas Rooney lagi. Kini Rooney berazam membantu United merampas kembali mahkota kejuaraan liga dari seteru setempat mereka, Manchester City sekaligus memadamkan memori buruk pada perlawanan terakhir liga musim lalu. Rooney mengakui bahawa dia masih dihantui jaringan Sergio Aguero di masa kecederaan ke atas QPR di Etihad yang menyaksikan City mengesahkan kejuaraan liga milik mereka hasil perbezaan jaringan gol. United pernah tewas kepada Chelsea dalam perebutan kejuaraan liga dengan hanya perbezaan satu mata, namun tewas kepada City menerusi perbezaan jaringan gol pada perlawanan terakhir liga adalah sesuatu yang cukup dahsyat buat Rooney. Glory Glory Manchester United!!!