Manchester United mengumumkan pemain pertahanan, Phil Jones akan diketepikan selama dua bulan selepas menjalani pembedahan lututnya semalam. Jones cedera ketika sesi latihan dan imbasan yang dijalankan selepas itu menunjukkan dia terpaksa berehat untuk tempoh yang panjang. Jones sudah terlepas aksi dalam tiga perlawanan awal United musim ini yang menyaksikan The Red Devils berdepan krisis kecederaan di benteng pertahanan mereka pada awal musim. Selain Jones, United turut gagal menggunakan khidmat Jonny Evans, Chris Smalling dan Rio Ferdinand pada perlawanan awal musim hingga menyaksikan pemain tengah Michael Carrick terpaksa mengisi kekosongan di bahagian tengah pertahanan. Jurucakap kelab mengatakan pertahanan berusia 20 tahun itu akan menjalani sesi pemulihan selama enam hingga lapan minggu sebelum boleh beraksi semula. Ini adalah berita buruk buat Jones yang menyertai United dari Blackburn Rovers musim lalu kerana sebelumnya dia juga terpaksa diketepikan dari skuad kebangsaan England di Kejohanan Euro 2012. Bukan hanya terlepas aksi dalam saingan liga, Jones turut diketepikan dalam kempen kelayakan Piala Dunia England dan dijangka hanya akan kembali semula pada November nanti. Di peringkat domestik, Jones akan terlepas aksi penting United menentang Liverpool, Chelsea dan Arsenal, manakala skuad kebangsaan England pula tidak dapat menggunakan khidmat Jones ketika mereka menentang San Marino dan Poland bulan hadapan. Di samping itu, Jones juga bakal terlepas aksi tiga perlawanan awal peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Galatasaray, Braga dan CFR Cluj. Selain Jones, United juga kehilangan khidmat Chris Smalling untuk jangkamasa panjang selepas tulang metatarsal pemain itu patah, namun Rio Ferdinand sudah beraksi dalam saingan liga minggu lalu ketika mereka menang ke atas Southampton manakala Jonny Evans juga sudah pulih sepenuhnya dan bersedia merasai aksi pertamanya musim ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan